Sunday, March 04, 2007

Koleksi Cinta Puisi Islami 7

EMPANGAN RASA CINTA

Yang kuempang itu
bukan lahar marah
tidak juga nanah duka
jauh sekali lumpur benci

Empangan rasaku
menakung
air cinta suci
riak kasih sejati
tembok kebal setia
deruan kolam bahagia

akan kualirkan semua
khusus untukmu
sebagai Raja hatiku
andai namamu tercatat
di Loh Mahfuz itu.

nzshima 4.3.2007

Saturday, March 03, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 6

MENANTI EMPANGAN RASA DIBUKA
(buat semua yang menanti jawapan)

Tuturmu mengundang resah
Sepiku menanti langkah
Andai kauharap balas kata indah
Maaf kupohon kerana ianya bukanlah mudah.

Ku tak rela membuka empangan rasa
Andai akibatnya banjir kata pemusnah
Biarlah ia dibuka
Di waktu lafaz aqadmu diucap sudah.

nzshima 3.3.2007

Thursday, March 01, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 5

ANDAI SIMFONI HUJAN TERHENTI
(ilham tercetus menjawab puisi Tuan Alang)

Rindu itu
kekal membarakah ia
Andai simfoni hujan terhenti?

Semarakkah ia
Andai terik matahari
menguasai menyilaukan
dan membutakan cinta?

Perlukah kutunggu
Awan berkumpul kembali
Untuk mendengar simfoni yang dinanti?

nzshima 1.3.2007

Tag: Keganjilan

Saya telah ditag oleh http://muhdkamil.net/story/ Prof Kamil beberapa hari yang lalu. Hari ini baru terasa nak menyambut cabaran. Hanya saya kira, perkara yang saya akan tulis, tidaklah ganjil sangat kerana saya rasa ada juga orang yang macam saya. Agaknyalah! Kalau ada, boleh beritahu saya.

Keganjilan

1. Buku
Buku adalah harta kesayangan saya. Jika disentuh atau diubah kedudukannya, saya akan tahu. Jika membaca buku saya, cara pegang, selak helaian kertas perlulah cermat. Tidak boleh melipat halamannya atau mengotorkannya.
Pilihan antara buku dan barang kemas/emas permata, saya pilih buku. Tidak berminat memiliki atau memakai banyak barang kemas ,hanya sebentuk cincin dan gelang sebagai tanda. (Pernah dulu saya tidak memakai sebarang cincin dan gelang, ramai menyangka saya belum bersuami. Bahaya!)

2. Masak
Tidak begitu selesa apabila memasak dibantu sesiapa kecuali di peringkat persediaan atau mengemas. Kekok rasanya. Sama ada saya buat semuanya sendiri atau saya tidak masak langsung.

3. Basuh Pinggan
Apabila basuh pinggan, saya mesti ikut turutan seperti berikut:
Buang sisa, gelas /cawan, sudu/garfu/senduk, pinggan ,piring,mangkuk, periuk, kuali, sink, dapur.
Sebagai contoh, saya tidak akan basuh secara rawak dan akan susun dahulu sebelum mula mencuci dan seterusnya membilas. Pinggan mangkuk yang telah kering, mesti akan disimpan dahulu dan tidak boleh bercampur dengan yang baru dibasuh.

4. Pakaian
Perlu berpadanan dan digosok. Sekiranya tidak digosok, saya rasa tidak selesa untuk memakainya kecuali dalam keadaan berkhemah atau bercuti. Tetapi masih perlu berpadanan.

5. Kepelbagaian Tugas (Multi Task)
Saya perlu buat beberapa perkara dalam suatu masa. Sekiranya tumpuan hanya kepada satu perkara, saya akan kurang bersemangat untuk membuat perkara tersebut melainkan perkara tersebut adalah keutamaan untuk diselesaikan. Tidak pula bermakna saya tidak boleh fokus langsung. Saya akan fokus kepada perkara berbeza mengikut keutamaan dan kehendak saya. Sekiranya selesai sesuatu tugasan, minda saya akan mencipta atau mencari kerja yang seterusnya. Saya akan jatuh sakit kalau terlalu ‘berehat’.

6. Mode fokus
Bila saya dalam mode fokus terhadap sesuatu perkara, saya boleh fokus sehingga tidak tidur atau rehat untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang saya suka.

Seterusnya saya akan tag…siapa ya? 6 orang itu ialah:

Dr Nor Faridah, Neomesuff, Pak Darma, Scarlet Kingsnake, Hakim Dirani, Siti Hajar.

Wednesday, February 28, 2007

Warkah Buat Puteri Baiduriku

Puteri Baiduriku sekalian,
Maaf kiranya di akhir-akhir ini, ku jauh dari pandangan. Hanya sebentar tadi dapat ku lawati beberapa kamar. Dapatlah berbalas senyuman dan bertukar cerita. Tidak banyak beza kisah yang kuterima, dari sejak mula ku jejak kaki ke kampus ini.

Kisah cinta, suka dan duka. Ketidakpuasan hati , ketidakserasian teman sekamar dan kecurangan kekasih hati dan perebutan kasih antara dua.. Ada yang bertindak agak terlalu. Mengapa perlu dirosakkan dirimu andai kecewa? Hargailah dirimu wahai para puteri Baiduriku. Ingin mencabut nyawa hanya kerana seorang lelaki? Bukan sekali dua kudengar kisah sebegini. Mengapa terlalu rendah kau letak harga dirimu?

Wahai lelaki budiman ,
Wujudkah lagi kalian?
Itulah soal para puteriku.
Bukankah kau diciptakan lebih kuat dan gagah?
Mengapa perlu mengambil kesempatan kepada yang lemah?

Soal para puteriku lagi,
Bagaimana harus mengenal lelaki beriman?

Puteri Baiduriku,
Sesungguhnya memang tiada jaminan
di antara cinta sesama manusia.
Semuanya bersifat sementara.
Yang kekal hanya cinta kepada Pencipta.

Justeru itu puteri Baiduriku,
Jagalah dan hormatilah dirimu.
Andainya dia tidak sanggup ‘menunggu’
Tandanya dia tidak pantas jadi milikmu.

Tuesday, February 27, 2007

Hamparan Maaf Buat Sang Permaisuri

Hamparan maaf kubentangkan
Kilauan impian permataku
Dikira tajam hunusan pedang
Bukan niatku mengocak tenang tasik hatimu

Hembusan udara rayuku
Bersulam jiwa suci
Kerana aku pasti
Akulah Rajamu

nzshima 27.2.2007

Penantian Sang Permaisuri

Katamu hunusan pedang
Aku dan dia belum bersatu
Penghujungnya belum tentu
Maafkan aku teman

Aku berpijak di alam sedar
Aku belum bermukim di jajahannya
Namun haruskah aku memecah tembok setia
Membuka pintu menambah tasik resah

Kau tak henti
Menghembus udara rayu
Pilihlah aku,katamu
Beristikharahlah

Aku bisa saja dibutakan
Jendela hatiku telah terkunci
Pemilik kunci bertakhta di hati
Menanti saat bergelar Raja Sehari.

(ilham rasa kisah silam)

nzshima 27.2.2007

Monday, February 26, 2007

Juara Lumba Musim

Juara Lumba Musim

kusaljukan hati
walau musim bunga
langkah tegas
yakin

matahari senyum
pohon hijau lari kencang
malu jadi tamu
sungkur

angin dingin melintas
gugur kuning perang
pasrah lekat di dahan
jatuh



putih
juara lagi
lumba musim itu
tegar

nzshima
22.2.2007

versi Inggeris di Through My Eyes

Cahaya RedaMu

andai hati beku
apakah mungkin cair ?
biar ia beku
andai cair
bawa bala

andai hati calar
apakah akan sembuh?
biar ia calar
andai sembuh
runtuh takwa

andai hati darah
apakah diubati?
biar ia darah
andai diubati
buta cahayaNya

beku
calar
darah
ku rela celik
dalam redaMu

22.2.2007

Sunday, February 25, 2007

Indahnya Terbit Matahari

Perancangan asal saya adalah untuk memandu balik ke Segamat sebaik sahaja mesyuarat selesai di sebelah petang Sabtu bersama-sama Arif dan Afiqah. Saya biasa memandu di sebelah malam dan pernah juga suatu ketika memandu sehingga jam 12 malam melalui jalan Tangkak ke Segamat daripada Kuala Lumpur atau Shah Alam. Perjalanan memandu ke Batu Pahat pula pada kebiasaannya di sebelah petang dan tidak kurang juga di sebelah malam. Namun pagi tadi adalah satu pengalaman baru untuk diri saya. Pertama kali saya memandu sesudah Subuh;iaitu bergerak pada jam 6.30 pagi daripada Kuala Lumpur menuju ke Segamat. Sangkaan saya pastilah jalanraya lengang di pagi Ahad, tetapi ternyata sangkaan saya tidak tepat. Kenderaan tidaklah berkurangan.

Melihat perubahan gelap Subuh ke terbitnya matahari adalah suatu pemandangan yang amat indah di lebuhraya. Matahari tersenyum di sebalik gunung-ganang. Saya menjerit kegembiraan, cantiknya! Jam 8 pagi saya tiba di tol Tangkak. Satu lagi pemandangan indah deretan pohon getah di kiri kanan selepas melepasi Gunung Ledang merupakan kawasan kegemaran saya. Pagi ini lebih indah lagi kerana di celah–celah deretan pohon getah itu garis-garis cahaya matahari yang menyelinap. Saya hanya mencuri pandang. Maklumlah, jalan selekoh merbahaya dan perlu fokus kepada pemanduan. Apabila suami saya memandu,selalunya saya akan perhatikan sepuas-puasnya deretan pohon getah ini.

Jam 8.30 pagi sampai di perkarangan UiTM Johor. Alhamdulilah, kami selamat sampai. Oh ya, jangan terkejut saya amat gemar memandu laju kerana memandu perlahan akan buat saya mengantuk. Berehat seketika sementara menunggu kelas TESL saya bermula pada jam 10.30 pagi. Kebiasaannya kelas bermula jam 8 pagi tetapi pagi ini saya tukar dengan rakan sekerja. Kelas berlangsung selama 3 jam. Selepas kelas, saya meninjau seketika perjalanan Modul 5 Diploma di blok kuliah. Kali ini saya tidak menjadi fasilitator. Sebaik sesi latihan dalam kumpulan bermula, saya ke pejabat sehinggalah pada jam 5 petang, saya ke Dewan Sri Temenggong pula. Pada hari yang sama juga, Modul 1 Ijazah berlangsung. Saya ke Majlis Penutup dan menyampaikan hamper serta ucapan sepatah dua kata kepada para pelajar . Jam 6 petang, pulanglah saya ke rumah di Kolej Baiduri.

Kini hanya terdengar bunyi-bunyian penghuni hutan di kegelapan malam. Mata saya akan dilelapkan. Namun,indahnya terbit matahari pagi tadi masih lagi terbayang-bayang. Mungkin akan saya gambarkan dalam bentuk lukisan. Masya Allah!

Friday, February 23, 2007

Impian ke syurga



Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya sempena ulang tahun ke-35. Beberapa hari cuti memberi ruang saya untuk merenung dan bermuhasabah. Walaupun saya menyatakan di dalam entri sebelum ini tentang dua perancangan saya yang masih belum tercapai, tidak bermakna itu sahaja impian yang ingin saya capai.

Kejayaan di dunia hanya sementara, kejayaan di akhirat jua yang kekal. Sebagai manusia biasa yang tidak sunyi dari kesilapan, saya juga berusaha menjadi seorang insan yang diredaiNya. Taat kepada perintah Allah dan menurut sunah Rasullullah. Isteri yang taat kepada suami, ibu yang solehah dan juga sebagai seorang anak. Begitu juga hubungan dengan rakan sekerja, sahabat handai dan para pelajar sekalian.

Impian yang perlu dikejar adalah untuk dihapuskan dosa-dosa dan seterusnya menuju ke syurga.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan, “Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami ; sesungguhnya Engkau maha kuasa atas segala sesuatu.” (At-Tahrim,8)


Marilah kita sama-sama berdoa untuk mencapai impian ke syurga. Amin.

Tuesday, February 13, 2007

Usiaku kini 35

35, itulah usiaku hari ini. Alhamdulilah, syukur masih berada di sini,dikurniakan kesihatan, rezeki, suami yang mengasihi disisi dan sepasang cahaya mata penawar hati, kerjaya impian sejakku berusia 7 tahun. Semuanya tidak lari jauh dari perancangan asalku. Cuma yang agak ketinggalan adalah impianku untuk mendapat ijazah kedoktoran sebelum usiaku menjangkau 35 dan mempunyai sekurang-kurangnya sepasang lagi cahaya mata. Bila kulihat semula angka ini, banyak juga bilangannya. Kadangkala seperti tidak percaya, kerana terasa diri seperti muda sentiasa. Apatah lagi dikelilingi para pelajar berusia sekitar awal dua puluhan. Mungkin inilah sebabnya . Aku tidak boleh terus terleka. Hakikatnya, usiaku makin bertambah, ijazah kedoktoran dan sepasang cahaya mata masih menjadi idaman dan perlu kusegerakan. Semoga Allah makbulkan hajatku ini. Amin.

Monday, February 12, 2007

Hanya Kata-Kata dan Angka

Sehingga ke hari ini, sudah 3 modul diploma, 1 modul ijazah dan 1 ceramah BTN berlangsung sejak 20hb. Januari 2007. Program yang berlangsung setiap hari Sabtu dan Ahad selama sekurang-kurangnya 12 jam dalam tempoh 2 hari merupakan program wajib untuk semua pelajar UiTM.

Modul 1 Diploma - Pembangunan Diri - 20 dan 21Januari 2007 - 610 pelajar -26 fasilitator
Modul 1 Ijazah -Pembentukan Insan - 27 dan 28 Januari 2007 - 170 pelajar - 6 fasilitator
Modul 2 Diploma - Perkembangan Diri - 3 dan 4 Februari 2007 - 1400 pelajar - 46 fasilitator
Modul 3 Diploma - Pengurusan Organisasi - 10 dan 11 Februari 2007 - 540 pelajar - 19 fasilitator
Ceramah Biro Tatanegara - 10 Februari 2007 - 650 pelajar

Inilah yang saya uruskan sepanjang bulan ini, urusan modul latihan dan menjadi fasilitator modul di hujung minggu.

Hanya kata-kata dan angka untuk coretan kali ini.

Bagaimana tentang rasa dan hati?

Akan saya luahkan nanti?

Wednesday, February 07, 2007

Rinduku mencairkan yang beku

Dua draf entri yang ditulis di bulan yang lalu, baru ditatapi sebentar tadi. Niat asalnya mahu menyambung penulisan tertangguh itu, tetapi berubah fikiran dengan menulis entri yang baru, walaupun belum ada tajuk yang khusus yang ingin dibicarakan. Hanya melayan fikiran,menekan-nekan aksara sambil mencatatkan kata-kata yang terlintas di hati dan fikiran. Sekiranya disambung penulisan dua entri tertangguh sudah tentunya tidak dari hati kerana saat ini tidak begitu selesa untuk menyambung cerita yang sudah 'basi'. Sebetulnya ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Namun, hati terlalu rindu untuk menulis. Terlalu banyak yang terbeku di minda dan terbuku di hati, perlu segera dibebaskan dan dicairkan sebelum lenyap.

Sunday, January 07, 2007

Cabaran bertambah, pantang mengalah

Esok kelas untuk semester baru akan bermula. Jumlah jam mengajar tidak sepadat semester lalu, iaitu 17 jam seminggu berbanding 24 jam semester lepas. Namun sudah pastinya tugas pentadbiran sebagai koordinator akan menuntut masa saya. Masa saya hari ini banyak dihabiskan untuk persediaan sepanjang minggu ini. Sebagai pensyarah sudah pastinya persediaan nota dan bahan-bahan untuk edaran perlu disediakan. Tugas baru saya sebagai koordinator juga menuntut saya menyediakan beberapa kertas kerja dan rancangan tugasan. Sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar, saya juga perlu berkhidmat di sebelah malam untuk aktiviti berkaitan kolej dan kebajikan pelajar.

Semester ini, kelas saya hari-hari, termasuk hari Sabtu dan Ahad. Dalam seminggu, dua malam, iaitu Isnin dan Khamis, kelas di sebelah malam. Nampaknya cuti saya hanya pada cuti umum sahaja iaitu pada Tahun Baru Cina nanti. Seterusnya berterusan sibuk sehingga peperiksaan menjelang pada bulan Mei nanti.

Persediaan untuk rumah juga tidak saya lupakan. Segala bawang, halia dan kunyit sudah siap dikupas. Ikan dan sotong siap disiang. Semuanya untuk mempercepatkan proses memasak di hari-hari bekerja. Hanya urusan pakaian belum selesai buat masa ini.

Fikiran saya masih ligat untuk persediaan mengajar dan idea untuk beberapa kertas kerja.

Namun, saya rehat seketika, kerana hati terpanggil untuk kemaskini blog.

Saya sedar cabaran menulis kian bertambah, tapi saya masih belum mahu mengalah.

Doakan saya sihat walafiat untuk menghadapi hari-hari mendatang yang penuh cabaran tetapi tetap menggembirakan saya.

Tuesday, January 02, 2007

Malam Pertama

1hb Januari 2007

9 pagi

Saya mendapat panggilan telefon dari Saudara Ros Hasri,
“Selamat pagi Koordinator PPKP (Program Pembangunan & Kepimpinan Pelajar)! Hari ini sudah 1hb Januari. Tugas saya sebagai koordinator sudah tamat pada 31hb Disember 2006.”

Beliau merupakan Koordinator PPKP yang telah tamat tempoh perkhidmatannya. Tujuannya menelefon adalah untuk menyampaikan beberapa perkara penting kepada saya untuk tindakan selanjutnya.

9 malam
Saya hadiri program taklimat untuk Pembantu Minggu Mesra Siswa Sesi Jan 2007. Sewaktu saya sampai , sesi suaikenal antara 47 orang pelajar sedang berlangsung dan dikendalikan oleh Saudara Yamin. Program latihan 3 hari terpaksa diubah disebabkan banjir yang melanda minggu lalu. Mereka akan membantu dalam urusan pendaftaran pelajar baru pada 2hb Januari.

Saya dijemput untuk memberi sedikit amanat kepada mereka. Maka bermulalah tugas saya sebagai Koordinator PPKP & BTN. Ucapan saya bermula dengan bagaimana saya juga pernah berada di tempat mereka kira-kira 15 tahun yang lalu.

“Ini merupakan ‘malam pertama’ saya sebagai Koordinator PPKP & BTN”, begitulah antara sebaris ayat yang saya sampaikan kepada mereka.

Saya tidak akan menulis keseluruhan ucapan saya iaitu tentang program yang dikendalikan oleh Unit PPKP kerana saya percaya saya akan menulis lagi tentang ini untuk hari-hari yang mendatang. Yang pastinya , saya akan sibuk setiap hujung minggu mengendalikan modul-modul latihan pembangunan diri untuk anak-anak bangsa, di samping sebagai pensyarah Bahasa Inggeris pada hari-hari biasa dan di waktu di antaranya sebagai seorang penulis.

Tamat sudah cerita debat kerana saya tidak lagi menjadi Penasihat Kelab Debat & Pidato.

Maka bermulalah episod baru saya kini.

Terperangkap vs Bebas

Setelah lebih seminggu ‘terperangkap’, akhirnya keluarlah saya sekeluarga pada 29 Disember 2006 daripada perkarangan UiTM Johor, Segamat ini untuk pulang ke Batu Pahat. Walaupun saya gunakan kata terperangkap sebentar tadi, ia bukanlah bermaksud yang negatif sebenarnya. Banyak perkara yang produktif yang dapat saya lakukan berbanding dengan keadaan seandainya saya tidak terperangkap.

Apa yang telah saya lakukan? Mengemas rumah. Menyusun buku-buku yang bertimbun di sebelah katil ke rak-rak buku. Membaca buku-buku yang tidak sempat dibaca sebelum ini. Mendapat ilham untuk buku-buku yang saya ingin tulis. Membaca kisah nenek saya dalam beberapa buku sejarah Johor. Mencoretkannya ke dalam buku nota saya. Melihat album lama dan mencari idea untuk projek buku skrap dan juga menulis ‘travelogue’. Retrospek.

Melayan kerenah Afiqah dan Arif. Menyemak bacaan ayat Al-Quran mereka. Menghabiskan masa berkualiti bersama-sama mereka. Saya dapat melukis dan mewarna gambar pemandangan dan mewarnakan lukisan yang dilakar oleh Arif. Sungguh menenangkan. Lama sungguh saya tidak melukis. Satu kepuasan setelah selesai lukisan tersebut.

Mendengar cerita Adib,suami saya yang membantu mangsa banjir beberapa hari berturut-turut. Insaf rasanya mendengar kesusahan orang lain. Terasa amat bersyukur kerana tidak ditimpa dugaan seperti mereka. Suami saya juga mempelajari dan dapat merasakan nilai perhubungan yang erat di UiTM Johor apabila ada yang bergotong royong membantu mangsa banjir.

Menonton televisyen. Ya, saya memang dah lama kurang menontonnya apabila semester bermula. Walaupun mungkin aktiviti ini tidaklah produktif sangat, tetapi cukup untuk buat saya rasa bersalah dan melakukan kerja yang lebih produktif selepas itu.

Pendek kata, dalam keadaan terperangkap, minda saya bebas menjelajah jauh, pelbagai perkara untuk dijadikan bahan cerita dan juga rancangan projek 2007.

Alhamdulilah, saya percaya setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya.

Saturday, December 23, 2006

Bila Hujan Tak Berhenti-henti Bertemu Bumi












Rancangan bercuti terpaksa ditunda lantaran kedua-dua jalan keluar daripada UiTM Johor tidak dapat dilalui sejak hari Rabu, 20hb Disember 2006.

Lebih kurang tiga minit memandu ke arah Jementah/Tangkak atau lebih dikenali sebagai Durian Batu oleh penduduk tempatan telah dibanjiri air.





Begitu juga dengan jalan yang menghala ke arah bandar Segamat. Lebih kurang 2 minit memandu daripada pintu gerbang UiTM Johor, jalanraya tidak dapat dilalui juga.



Kami sekeluarga cuba memandu melalui jalan pintas di Bukit Tunggal untuk ke pekan Jementah. Jalan kampung yang melalui ladang kelapa sawit dan getah itu tidak juga berjaya kami tembusi kerana telah dinaiki air.

Ada rumah yang telah tinggal bumbung sahaja. Ada juga yang masih terselamat. Ada yang mengeluarkan jaring dan mengambil peluang untuk menangkap ikan. Beberapa buah lori berderetan, sedang berkira-kira untuk mengharungi air atau sebaliknya. Tiada yang berani melepasi kerana paras air sudah meningkat.

21hb Disember 2006

Hujan masih belum jemu bertemu bumi. Kebanyakan warga UiTM tidak dapat bertugas kerana tidak dapat menembusi jalan keluar daripada rumah masing-masing. Ramai yang berada di Balai Polis Jementah untuk membuat laporan dan mendapat cuti bencana alam. Bagi warga UiTM yang tinggal dalam UiTM seperti saya pula terperangkap di dalam.

Rakan-rakan yang tinggal di Taman Bunga Raya ,Gemereh, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka ketiadaan elektrik dan air dan tidak dapat bergerak ke arah bandar Segamat atau ke arah UiTM.

Mereka yang tinggal di Kg Jawa, hanya tinggal sehelai sepinggang. Air mencecah ke bumbung. Adib cuba menghubungi rakannya yang tinggal di sana tapi tidak berjaya. Jafri,rakan sejabatan,juga Koordinator Perhubungan Korporat dan Media yang cuba balik ke Labis juga terkandas di bandar Segamat dan terpaksa diselamatkan oleh bot tentera. Sempat juga saya mendengar laporannya di Radio Johor tengaharinya. Berita lain yang diterima, kereta beberapa orang rakan sudah dimasuki air keseluruhannya dan ada rakan-rakan yang terpaksa duduk di tingkat dua rumah mereka.

Bekalan makanan hampir kehabisan di rumah saya. Saya dan suami cuba ke Jementah melalui jalan pintas di Bukit Tunggal. Hujan masih renyai tetapi kami berjaya melalui jalan tersebut dan selamat sampai ke pasar Jementah. Kami membeli segala keperluan makanan dan selamat pulang semula ke UiTM.

Kami cuba memandu ke arah bandar Segamat melalui jalan Batu Anam. Kami ke Jalan Genuang. Ya Allah, ramainya orang, seakan sedang memancing. Terkejut saya melihatkan begitu ramai yang mengambil kesempatan mengambil barang-barang yang terapung-apung, dan ada juga yang mengambil barang- barang yang masih berada di dalam kedai serbanika tersebut. Ada yang tanpa segan silu mengangkut segala barangan ke dalam lori dengan alasan kalau tidak diambil akan hanyut dibawa arus juga. Ada yang agak teragak-agak dan tidak pasti sama ada untuk meneruskan niat mereka. Tidak kurang juga seperti saya yang merakam perbuatan mereka dengan telefon bimbit masing-masing. Yang menjadi kesedihan saya adalah melihat gelagat anak-anak muda sebangsa saya dan saya kira seagama saya yang tanpa segan silu, sambil bergelak ketawa mengambil tin-tin air yang haram diminumnya.


Dalam rintik-rintik hujan, saya sekeluarga berjalan menyaksikan keadaan jalan di hadapan kami. Persis keadaan seusai tsunami. Hibanya terasa, mata saya bergenang.

Berita jam 8 malam itu menunjukkan senario yang serupa.

Syukur Alhamdulilah saya sekeluarga masih ada tempat berteduh, pakaian dan makanan secukupnya walaupun tidak dapat bergerak ke mana-mana. Bila terkenangkan rakan-rakan yang lain, tidak dapat saya bayangkan keadaan mereka.

Panggilan telefon dan SMS dari sanak saudara dan pelajar UiTM menghujani saya untuk bertanya khabar. Saya cuba untuk menulis di blog tetapi tidak berjaya membuka internet.

Kini hujan telah pun berhenti. Namun air masih belum surut lagi.

Tuesday, December 19, 2006

Tidak dapat dibendung lagi

Hujan tidak jemu-jemu bertemu bumi. Persis mindaku tak henti -henti mengolah bait-bait kata atau memaparkan rakaman episod-episod bersilih ganti antara puisi, cerpen dan novel atau setakat luahan hati. Bagaikan sedang bercinta hingga tak lalu makan jadinya. Setiap perbualanku dengan sesiapa sahaja membuahkan idea yang kukira dapat dijadikan cerita. Ya Allah, aku jadi bimbang pula. Kenapa? Aku tidak rela semuanya melintas lalu tanpa digunakan. Aku tidak rela anganku digelar 'hangat-hangat tahi ayam'. Lalu inilah dia,tidak dapat dibendung lagi . Kutulis sahaja. Perlukah kutakut dengan keinginan diri yang begitu tinggi. Aku sedar seakan 'tamak' diriku ini. Semuanya ingin diselusuri lantaran pintu sedarku telah diketuk, membawaku keluar menyaksikan dari kaca mata yang memandangku lalu berkata anugerah Illahi usah dipersiakan. Haruskah aku berundur semata-mata pengecut dilabel 'semuanya ingin dilakukan dan akhirnya satu pun tidak menjadi'? Tentu sekali bukan ini yang kucari. Buat masa ini, yang tidak dapat dibendung telah diluahkan sebahagiannya.

Ada juga yang berpendapat, hentikan sahaja penulisanku di blog ini. Menulislah untuk diterbitkan. Usah buang masaku. Entah kenapa, tidak dapat kuhentikannya buat masa ini. Apakah sebenarnya tarikan menulis di blog? Sudah tentu sekali bukan untuk pulangan wangnya. Lalu apa?

Saturday, December 09, 2006

Seminggu sebelum penerbangan


1 Disember 2006.
Arif yang menetapkan tarikh ini untuk berkhatan. Perancangan asalnya, dia ingin melakukannya bersama-sama sepupunya, Ameer Rashid yang seusia dengannya, iaitu 7 tahun juga pada tarikh yang sama.
Saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana doktor melakukannya. Arif masih boleh tersenyum. Tak sangka dia tidak menitiskan air mata dan masih boleh memandang saya. Kuat juga semangatnya rupanya.
Saya menyaksikan segala-galanya sambil memegang tangan kanannya dan berkata, “Apabila rasa sakit, pegang tangan ibu kuat-kuat.”

Keesokannya apabila balutan perlu dibuka, saya rasa agak ngeri juga. Arif masih sahaja kelihatan tabah sehingga tiba saat terakhir, balutan itu agak terlekat barulah air matanya keluar sedikit walaupun masih lagi dalam keadaan tersenyum.




Melihatkan keadaannya saya tidak jadi meneruskan perjalanan saya ke utara bersama-sama Minea.

Saya ambil cuti selama seminggu walaupun saya tidak ke mana-mana dan walaupun saya tinggal di dalam kawasan kampus UiTM. Saya menjadi surirumah sepenuh masa. Memasak, membasuh , mengemas, memasak lagi, membasuh lagi dan mengemas lagi. Sampai malam tak henti-henti. Tetapi yang seronoknya, saya tak perlu berkejar ke pejabat dan memikirkan hal-hal kerja atau di tempat kerja berkejar pula memikirkan nak masak apa. Saya hanya ‘bermalas-malasan’, menonton televisyen, DVD( sempat menonton Bilut, bagus sekali filem ini,nanti saya ulas), melayan anak, vakum rumah, masak masakan kegemaran anak (kali ini menu Arif), makanan yang hanya dia boleh makan. Saya kira inilah kali pertama saya berpeluang bercuti ‘bermalas-malasan’ sejak tiga tahun bekerja di UiTM Johor kerana sebelum ini setiap kali cuti semester, sentiasa ada tugasan lain menanti.

Rabu petang, saya tidak dapat bertahan lagi. Untuk kali terakhir, saya membawa Minea ke Batu Pahat bersama-sama Afiqah dan Arif kerana Adib masih perlu bekerja.

Khamis petang kami bergerak ke Pontian ke rumah kakak sulung Adib dan destinasi seterusnya ke Tanjung Piai.

Jumaat petang,8 Disember kembali semula ke UiTM. Saya menerima ucapan TAHNIAH melalui SMS dan juga kata-kata bahawa saya layak menerimanya. Ini memang satu kejutan kerana saya difahamkan sebelum ini tiada siapa di bahagian saya yang akan menerima’nya’. Menurut rakan saya, pengumuman dibuat melalui emel ke semua staf UiTM. Syukur Alhamdulilah, walaupun saya masih belum baca sendiri pengumuman ini.

Minea, saya dan Afiqah bersiar-siar di sekitar UiTM sambil merakamkan gambar untuk kenang-kenangan.

Penerbangannya berlepas jam 12.55 pagi, 10 Disember 2006. Saya hentikan di sini. Minea masih belum tidur lagi. Saya akan luangkan sedikit masa lagi.

Berlibur Di Kota Singa

Keletihan menyemak kertas dan memasukkan markah masih lagi terasa pada 27 November 2006. Betapa saya ingin menggantikan waktu tidur dan berehat saya setelah selesai segalanya. Jam 10.00 malam saya melayari internet untuk menyemak jadual waktu tren ke Singapura. Ekspres Senandung Malam menunjukkan ada 2 lagi tempat kosong untuk tempat tidur. Saya perlukan itu. Jadual menunjukkan tren akan sampai di Singapura jam 8 pagi. Dapatlah mungkin saya melelapkan mata seketika sebelum bersiar-siar di Kota Singa pada siang harinya. Saya juga sedar anak angkat saya, Minea sudah tentu ingin berbual-bual dengan saya di sepanjang jalan nanti tetapi saya telah memberi amaran sekiranya ingin berjalan pada siangnya , saya amat perlukan sedikit masa berehat. Tren bergerak lebih kurang pada jam 3 pagi dan saya berjaya lelap sekitar jam 4 pagi tetapi telah dikejutkan sekitar jam 5.30 pagi oleh teriakan pekerja KTMB apabila perlu mengisi borang imigresen. Saya dimaklumkan tidak perlu turun dari tren kerana pegawai imegresen akan naik ke dalam tren untuk memeriksa. Lega saya mendengarnya .
Namun begitu situasi Minea tidak mengizinkan. Pegawai imigresen meminta ‘borang ketibaan’ Minea yang sepatutnya berada bersama-sama paspotnya. Saya tidak begitu faham pada awalnya.
“Ibu!” Minea memanggil saya apabila disoal oleh pegawai tersebut.
Pegawai tersebut bertanya, “Borang ketibaannya mana?”
“Borang yang bagaimana?” saya menjawab dengan soalan.
Dengan nada yang tinggi, beliau menjawab, “Borang yang diisi apabila dia sampai ke Malaysia.”
Saya agak terkejut dengan nadanya tetapi dengan tenang cuba bertanya Minea. Minea membalas dalam ketidakpastian bahawa dia tidak menyimpannya. Pegawai tersebut masih dalam nada suara tingginya cuba menerangkan tentang borang tersebut berulangkali.
Saya sungguh tak faham kenapa dia perlu marah, lalu saya terus sahaja mencelah dan bersuara, “Baiklah, borang itu memang tak ada sekarang. Apa yang boleh kami lakukan?”
“ Cik perlu turun dari tren dan isi borang baru untuknya,” dia membalas.
“Terima kasih, kami turun sekarang, ”saya bergerak pantas dan tersenyum meninggalkannya sambil terfikir di dalam hati ,”Kenapalah dia membuang masa bersoal jawab dengan kami sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan mudah?”

Saya dan Minea memang menjadi perhatian ramai. Maklumlah seorang gadis Eropah dan seorang wanita Melayu bertudung berjalan bersama-sama.

Sebetulnya setibanya kami di Tanjung Pagar, kami masih belum tahu arah tujuan kami. Kami memang sengaja tidak merancang atau menempah hotel atau mengikuti mana-mana program pelancong. Hanya berbekal sebuah bag galas seorang satu, lagak kami seakan-akan peserta Explorace atau Amazing Race. Bermulalah pengembaraan kami.

Sambungan kisah ini boleh dibaca di blog bahasa Inggeris saya, Through My Eyes. Jemput ke sana.

Monday, November 20, 2006

Sebetulnya belum layak

Sebetulnya saya belum layak memberi ganjaran ini kepada diri sendiri lantaran ada 5 bungkusan untuk kod BEL100 yang mempunyai 12 halaman setiap satu yang sedang menanti dengan penuh setia. Di dalam setiap bungkusan pula terdapat sebanyak 38 + 38 + 38 + 36 + 26 ,iaitu berjumlah 176 semuanya dan perlu siap disemak dan ditaipkan markahnya menjelang 25hb November ini. Bahagian yang akan disemak yang akan mengambil masa adalah bahagian eseinya.

Kod BEL 490 (Speech Communication) telah dapat saya sempurnakan minggu lalu dan keputusan mereka juga telah saya ketahui.

Di waktu saya perlu menyudahkan pemyemakan kod tersebut berbagai perkara berlaku yang saya anggap sebagai dugaan. Pertama sekali, anak saudara suami saya, yang berumur 15 tahun menjalani pembedahan hati di Hospital Selayang,lalu kami sekeluarga melawatnya di sana. Alhamdulilah telah selamat kini. Di waktu yang sama berlaku suatu kejadian kepada anak angkat saya, Minea yang tidak akan saya dedahkan di sini, tetapi cukuplah sekadar mengatakan ia amat memberi pengajaran kepadanya dan membuat dia lebih memahami mengapa dan kenapa…

Sepanjang minggu ini, ada dua jamuan hari raya, iaitu peringkat UiTM Johor dan juga di peringkat Akademi Pengajain Bahasa di samping 3 kali mengawas peperiksaan selama 3 jam setiap satu. Paling mencabar ketika menjadi Ketua Pengawas di Dewan Besar. Ini merupakan kali pertama saya menjadi Ketua Pengawas di Dewan Besar yang menempatkan lebih kurang 400 pelajar. Perkara yang perlu diambil kira ialah menetapkan kedudukan pelajar untuk 5 kod /subjek yang berbeza dan membuat jadual untuk 8 orang pengawas lain. Ada 6 pintu dewan yang berbeza yang perlu ditetapkan untuk setiap kumpulan pelajar dan setiap pengawas perlu ditugaskan untuk mengawas kumpulan pelajar yang berbeza supaya skrip jawapan tidak bercampur. Saya juga perlu pastikan bilangan meja betul mengikut bilangan pelajar. Sejam sebelum peperiksaan bermula, kertas soalan perlu diambil dari bilik gerakan peperiksaan dan dibawa ke dewan peperiksaan. Setiap pengawas akan membantu meletakkan kertas soalan dan jawapan di atas meja para pelajar mengikut jadual yang telah saya tetapkan. 10 minit sebelum peperiksaan bermula, kedengaran suara saya memanggil dengan bantuan mikrofon semua pelajar untuk masuk ke dewan. Peraturan am saya sampaikan dan genap jam 9 pagi maka bermulalah peperiksaan. Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan peperiksaan tamat pada jam 12 dengan bantuan rakan pensyarah dan pembantu pengawas yang lain.

Pada hari Jumaat ,17 November ,saya juga meluangkan masa ke sekolah anak saya untuk Majlis Penyampaian Hadiah. Afiqah Nadzirah agak kecewa dengan pencapaiannya kali ini kerana dapat tempat keempat berbanding ketiga. Dia juga menerima hadiah kerana mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita bahasa Inggeris peringkat Johor dan berjaya menjadi Johan. Arif Nukman pula menerima sijil sebagai ketua kelas.

18 November, sejurus selepas pengawasan peperiksaan jam 5.30 petang berakhir, kami sekeluarga ke Bayu Beach Resort di Port Dickson untuk menghadiri Majlis Perpisahan dan hari raya untuk anak angkat saya , Minea yang akan berangkat pulang pada 10 Disember nanti.

Seperti yang telah saya katakan di awal tulisan saya ,sebetulnya belum layak saya memberi ganjaran pada diri saya sendiri tetapi saya anggap ini sebagai ganjaran untuk 3 bungkusan pertama yang telah saya sempurnakan minggu lalu dan sebagai pengubat rindu untuk menulis. Doakanlah saya dapat menyemak dengan tenang dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Terima kasih.

Maaf juga kerana 7 entri seperti yang telah diumumkan sebelum ini masih dibentuk draf dan isinya masih berlegar di ruang minda.

Wednesday, November 01, 2006

Tiada lagi akhbar lama

Jangan risau,anda tidak akan membaca 'akhbar lama' saya lagi.
Ada 7 entri yang dalam proses kemaskini.

Tajuk-tajuknya:
1. Bicara 18 oktober
2. Balik Kampung: Entri 21 Oktober
3. 1 Syawal 1427
4. 2 & 3 Syawal 1427
5. Nostalgia Jalan Bunga Kertas II
6. Sebelum Pulang ke Segamat
7. Cuti-cuti Melaka

Semuanya akan disajikan ke mata pembaca selesai saya menanda kertas peperiksaan nanti, sebagai ganjaran kepada diri saya sendiri setelah selesai menyudahkan tugas hakiki saya.

Friday, October 06, 2006

SN A. Samad Said di UiTM Johor

Saya mengalu-alukan kehadiran anda semua ke majlis

Bicara Tokoh : Sasterawan Negara A. Samad Said

anjuran UPENA UiTM Johor dan Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor

pada hari Rabu ,18 Oktober 2006, 2.00 - 5.00pm

di UiTM Johor,Segamat.

Tiada bayaran dikenakan.

Sebarang pertanyaan atau untuk pendaftaran,

boleh tinggalkan nama penuh dan no tel/emel untuk dihubungi di sini atau

boleh hubungi saya di emel:

alinazsh@yahoo.com atau

nazha218@johor.uitm.edu.my

Santai di Secret Recipe

Sehari sebelum Ramadan sedang saya bersembang-sembang dengan Mak,dengan spontan saya bersuara,"Jom kita pergi Melaka nak?" "Kita ke Mahkota Parade."

Mak dan Abah yang pada asalnya sedang bersiap-siap untuk balik ke Batu Pahat langsung mengubah rancangan mereka.

Maka memandulah saya ke Melaka untuk meninjau beg tangan dan kasut raya untuk mak dan anak-anak. Selepas lebih kurang satu jam setengah memandu,sampailah kami di Mahkota Parade. Destinasi pertama ,memandangkan perut masing-masing telah 'berorkestra' adalah ke tempat kegemaran kami iaitu di Secret Recipe.




Arif Nukman dengan hidangan fish and chips

<

Afiqah Nadzirah sedang menikmati Irish Lamb Stew.



Menu pilihan saya -Tomyam Spagetti dan air Apple Kasturi




Setelah 'orkestra' berhenti, acara santapan seterusnya adalah di kedai buku MPH. Saya membeli beberapa novel untuk saya ,Afiqah dan Arif serta satu buku masakan untuk mak.

Acara santai terakhir,mencari beg dan kasut untuk Mak. Terlalu banyak pilihan. Rambang mata jadinya. Sudahnya,pembelian ditangguhkan lalu kami ke Giant untuk membeli beberapa keperluan untuk bershahur.

Sekembalinya ke rumah, Adib yang tadinya menyertai pertandingan golf bulanan di Segamat Country Club sudah pun berada di rumah. Saya terus bertanya,"Macam mana?" "Menang?" " Dapat apa?"

Adib menjawab,"Tempat keempat,dapat jam tangan Casio."

Monday, September 25, 2006

Awal Ramadan 1427

Apakah yang lebih menggembirakan hati seorang ibu apabila juadah yang dimasak semuanya dinikmati dengan penuh selera dan dapat dihabiskan oleh anak-anak dan suami?

Di waktu lapang, saya suka memasak masakan kegemaran mereka dan kadangkala mencipta resipi sendiri. Kebiasaannya saya hanya memasak makanan kegemaran anak-anak, Afiqah dan Arif atau ayahnya,Adib. 1 Ramadan, lauk kegemaran Arif Nukman jadi pilihan,iaitu masak lemak ketam. Afiqah Nadzirah pula berselera barat, dengan kambing bakar yang telah saya perapkan dengan rempah ratus beberapa jam sebelumnya. 2 Ramadan, pilihan Afiqah, spagetti bolognaise, yang telah saya fusionkan dengan rempah tom yam. Strawberi jeli dan pudding mangga segera juga pilihan Afiqah.

Esok, kelas telah bermula, sampai jam 6 pula. Tak pasti lagi masih berkesempatankah saya menyediakan makanan kegemaran mereka?

Mungkin juga berbuka puasa di masjid UiTM sahaja bersama warga pelajar dan staf yang lain. Boleh juga sambil merapatkan siratulrahim.

Di ‘Through My Eyes’ (blog Bahasa Inggeris saya), saya mengimbau kenangan Ramadan 16 tahun lalu. Jemputlah ke sana!

Wednesday, September 20, 2006

Menabur Budi Semampunya

Petang ini
Sebahagian topeng telah terbuka
Termangu-mangu seketika
Begini rupanya duduk bicara
Benarlah naluri ku berkata
Ada sesuatu yang tak kena
Tak ku ketahui puncanya
Baru kini kusedari
Sebenarnya ku silap
Di mata mereka
Baru kini bersuara
Begitu dan begini rupanya
Tak mengapa
Aku banyak silap rupanya
Ada yang mengejutkan
Ada yang melukakan
Tak kurang juga yang ku rasa
bagai nak ketawa
bagai lagak si anak kecil
Tak kuketahui harapan mereka
Menggunung tinggi rupanya
Ku silap menafsir hati
Tapi ku merasa lega
Akhirnya pertanyaan ku terjawab
Naluri ku tepat
Walau dinafikan
Pada mulanya
Aku berundur
Bukan erti kalah
Patah semangat?
Tiada dalam kamusku
Walau berjujuran mutiara di pipi
Semangat ku waja seakan besi
Penghijrahan seterusnya
Kepada yang lebih memerlukan
Menabur budi semampunya

Thursday, September 14, 2006

Kerana Saya Menulis Dari Hati

Seorang teman sekerja bertanya," Dah lama tak kemaskini blog?"
Saya menjawab," Ya ke?"
Sambil mengingat kembali tarikh terakhir saya menulis, saya pun menjawab," Yalah,dah lebih seminggu.
Dia menyambung menyoal,"Sibuk ke?"
Tercari-cari jawapannya dan langsung menjawab,"Sibuk sikit".
Dalam hati saya berkata,"Itu hanya alasan".

Hakikatnya,kerana saya menulis dari hati, ada beberapa perkara yang berlaku yang tidak dapat saya luahkan dan dikongsi bersama dalam bentuk tulisan dan dibaca oleh semua.

Adakalanya,kata-kata lebih tajam dari pedang. Adakalanya, perbuatan dan mimik muka lebih melukakan. Adakalanya,salah sangka,salah tafsiran dan andaian menjadikan kita mangsa. Adakalanya perkara begini menyebabkan pembaziran tenaga.

Cuma saya yakini, Allah tidak akan membebani kita dengan bebanan yang lebih daripada yang kita mampu tanggung. Insya Allah. Kesabaran menjadi teman setia.

Wednesday, September 06, 2006

UiTM Johor Juara Debat Naib Canselor 2006

Alhamdulilah,terima kasih kepada semua yang mendoakan.

Tiba di UiTM Johor sekitar jam 1 petang tadi bersama-sama beberapa orang pelajar yang akan pulang bercuti ke rumah masing-masing di Johor Bahru. Sungguh sunyi sekali saat ini. Semua pelajar sedang bercuti. Ya,ringkas sekali penulisan saya kali ini,perlu segera kembali ke rumah kepada mereka yang telah saya tinggalkan sejak hari Sabtu yang lalu.

Friday, September 01, 2006

Orang Berbudi Kita Berbahasa...

...Orang Memberi Kita Merasa

Berikut adalah catatan emel PENGHARGAAN saya kepada semua warga UiTM Johor, pensyarah dan staf. Sekadar berkongsi.

Anugerah Aktiviti Pelajar 2006 : Kelab Debat & Pidato
Kelab Terbaik : Kelab Debat & Pidato (Pemenang)
Siswa Harapan: Sallehin Mokhtar (Finalis)
Siswi Harapan: Nur Sharizad Shahimi (Finalis)
Joanna Ghazali (Finalis)

Pemimpin Siswa Terbaik: Ahmad Farihan (Finalis)
Pemimpin Siswi Terbaik: Siti Halimatul Saadiah (Pemenang)
Fatmah Faisol (Finalis)

Penasihat Terbaik: Pn Nazhatulshima Nolan ( Pemenang)
En. Syamsul Samsudin ( Finalis)

* Nama yang saya sebut di atas adalah para pendebat/penasihat yang menjadi Finalis dan Pemenang sahaja

Syukur Alhamdulilah kepada Allah s.w.t di atas pencapaian keseluruhan warga Kelab Debat dan Pidato.

Untuk makluman semua , sepanjang tempoh 2 tahun iaitu, Januari 2005 sehingga Ogos 2006,Kelab Debat dan Pidato telah menganjurkan dan juga menyertai pertandingan berjumlah 31 kesemuanya, tidak termasuk aktiviti latihan mingguan. Di sepanjang tempoh berikut sudah tentunya kami tidak dapat bergerak tanpa sokongan pihak – pihak berikut:

JASAMU DIKENANG:
1. Pengarah
Prof Madya Dr. Omar Samat
-memberi sokongan dengan meluluskan kertas kerja serta merasmikan majlis- majlis kami
Bekas Pengarah
Prof Madya Dr Mohamed Hashim bin Mohd Kamil
-memberi sokongan dengan meluluskan kertas kerja serta merasmikan majlis-majlis kami
Puan Shamsiah binti A.Rahman
-menerima maklumat pertandingan dan mengeluarkan surat arahan bertugas

2. Timbalan Pengarah (HEA)
Prof Madya Arun Mohamed
-memberi pelepasan kuliah kepada pelajar yang terlibat dalam aktiviti debat
Cik Mardiyana binti Ibrahim
- menguruskan surat pelepasan kuliah para pendebat

3. Timbalan Pengarah (HEP)
Prof Madya Zaluddin Sulaiman
-memberi sokongan dengan meluluskan kertas kerja serta merasmikan majlis- majlis kami

Puan Haslina binti Hussin
-menyampaikan maklumat pertandingan

Staf HEP:
Penolong Pendaftar HEP
Puan Nor Aishah binti Haji Husain
Puan Rohani Jangga
Puan Hamedah Haji Samsuri
- menguruskan urusan pemergian ke pertandingan dan aktiviti,borang-borang,surat menyurat dan laporan
Encik Zaharudin bin Othman (urusan Speaker’s Corner)

4. Bendahari

Tuan Haji Mohd Yusof bin Mustapa
Puan Hajah Ruwiyah binti Mohd. Tahar
Puan Yang Chik binti Haji Abd. Wahid
Encik Onn bin Haji Ab. Majid
Encik Md Fadly bin Abdullah
Encik Awal Ludin bin Haji Ibrahim
Cik Rosfaizah binti Muslim
- menguruskan kewangan, LO dan pendahuluan

5. Unit Pentadbiran –

Puan Zainah binti Ani
Tuan Haji Ariffin bin Salleh
-menguruskan kenderaan

Encik Zuraidi
-menhantarkan surat, memo dan pekeliling

Encik Razib bin Marzuki
-mengambil gambar aktiviti

6. Unit Kenderaan
– Para Pemandu bas dan kereta yang membawa kami ke destinasi pertandingan 7.

ILQAM/USPP
Ustaz Saidin bin Wan Ismail
Encik Roslan
Encik Zainal Tumpang
- urusan rakaman aktiviti

8. Unit Percetakan
Encik Mohamad Latif bin Abdul Talib
Encik Hasrin bin Haji Ariffin
–mencetak bahan –bahan aktiviti
9. Unit Keselamatan
10. Unit Penyelenggaraan
11. Para Pensyarah yang berkorban masa cuti Sabtu Ahad dan sebelah malam menjadi hakim
12. Cik Gouri dan Encik Syamsul Samsudin( Penasihat KDP) serta Puan Haryati (pernah menjadi Penasihat)
13. PM Arun Mohamed dan Cik Normah Ismail( Penasihat KDP sebelum saya) yang mempelawa saya menjadi Penasihat setelah 2 bulan berkhidmat di UiTM Johor,iaitu sejak Disember 2003.

*Nama yang saya telah senaraikan adalah mereka yang saya sering berurusan secara langsung apabila menguruskan aktiviti Kelab Debat & Pidato. Sekiranya ada nama yang tidak disebut tetapi hakikatnya anda ada menyumbang tenaga dan masa ,saya mohon maaf.

Saya doakan semoga Allah membalas segala khidmat bakti anda dan segala urusan anda semua dipermudahkan juga. Insya Allah.

Saya juga memohon maaf seandainya sepanjang berurusan dengan anda semua terdapat perbuatan atau tutur kata yang menyinggung perasaan atau menyusahkan. Kejayaan kelab ini adalah hasil bantuan anda semua juga.

Sesungguhnya penilaian ini adalah dari sudut pandangan manusia. Saya memohon begitulah juga di sisi Allah s.w.t.

P/S: Mulai 2hb hingga 5hb September 2006, Kelab Debat & Pidato menghantar 6 pasukan debat Bahasa Inggeris dan 2 pasukan Bahasa Melayu ke Pertandingan Debat Piala Naib Canselor 2006 di UiTM Shah Alam. Diharap dapat mendoakan kejayaan kami.

Sekian,terima kasih.

Ikhlas,
Nazhatulshima Nolan
Pensyarah Bahasa Inggeris
Merangkap Penasihat Kelab Debat dan Pidato
(Sejak Disember 2003 hingga kini)

Wednesday, August 30, 2006

Ulang Tahun Perkahwinan Abah dan Mak

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang Ke 39 kepada
Haji Nolan bin Nani dan Ungku Hamidah Bte Ungku Abdullah

Ibu bapa saya selalu terlupa tarikh perkahwinan mereka dan juga tarikh lahir mereka. Bila saya telefon Mak dan Abah untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun,dia akan bertanya,"Oh, hari ini ya?"

Melalui telefon dia berkata,"Mak tahu, selalunya nanti Shima akan ingatkan."
Nanti saya bertanya pula,"Mak ingat yang ke berapa?"

Selalunya perbualan telefon kami akan berkisar tentang maklumat terkini saudara mara di Batu Pahat dan penyampaian Mak memang kebiasaannya sungguh rinci. Mak saya memang suka bercerita. Abah pula agak pendiam orangnya. Walaupun mereka berbeza personalitinya, saya doakan jodoh mereka kekal sepanjang hayat hingga ke akhirat. Amin.

Tuesday, August 29, 2006

Antara PSC, ZM,DPSW ke MITEK

Antara Public Speaking, Zoo Melaka ,Debat Piala Seri Wacana ke MITEK

Pemergian urusan rasmi saya sebagai pegawai pengiring 2 orang peserta ‘public speaking’, Joanna dan Sallehin, kali ini diringi oleh ‘para pengiring peribadi’ saya, iaitu suami, Adib Lukman, serta kedua-dua anak saya, Afiqah Nadzirah dan Arif Nukman.

24 Ogos,Khamis malam, kedua pelajar saya bermalam di hostel, UiTM Melaka kerana keesokannya mereka akan bertanding peringkat semi final. Tajuk yang dipilih adalah sama dengan tajuk yang telah diberi di peringkat UiTM Johor. Dari segi isi, saya tidak banyak mengubah ucapan Joanna, hanya setakat memastikan struktur idea dan cuba memastikan pembukaan dan penutup ucapan dapat menarik perhatian dan dapat meninggalkan kesan. Sallehin masih belum bersedia sepenuhnya dan saya tidak dapat membaca rangka ucapannya.

UiTM Melaka terletak di Lendu. Pegawai pengiring tidak disediakan penginapan di kampus lalu harus menginap di hotel di Air Keroh. Selesai urusan taklimat di UiTM Melaka saya sekeluarga bergerak ke Air Keroh ke King’s Hotel di mana semua pegawai pengiring dari seluruh Malaysia ditempatkan.

Afiqah dan Arif yang selalunya teruja apabila tidur di hotel kecewa kerana tiada kolam renang di hotel ini. Untuk memujuk mereka, selepas makan malam, kami sekeluarga melawat Zoo Melaka lebih kurang pada jam 10.30 malam. Pertama kali melawat zoo di malam hari. Seronok juga melihat binatang di malam hari. Barulah mereka bertambah bersemangat. Tak henti-henti bertanyakan soalan itu dan ini. Ada juga yang tidak begitu jelas kelihatan di malam hari lalu saya berjanji akan membawa mereka pada sebelah siang sekiranya berkesempatan.

25 Ogos,Jumaat ,10.00 pagi bermulalah pertandingan. Seramai 18 orang peserta berentap untuk terpilih ke peringkat akhir di mana hanya 3 orang sahaja yang terpilih. Alhamdulilah, Joanna adalah antara 3 orang yang terpilih. Petang itu saya membawanya untuk menginap di King’s Hotel. Sebelum ke hotel sempat ke zoo lagi. Arif terutamanya amat teruja dan berjalan pantas cuba mengingati jalan yang dilalui pada malam sebelumnya sambil menyebut nama –nama harimau yang telah diberitahu oleh pemandu pelancong. Menjelang Maghrib,pulang ke hotel.

10 malam, bertemu Joanna untuk persiapan terakhir.

26 Ogos, Sabtu- Syukur alhamdulilah Joanna berjaya mendapat Naib Johan Piala Naib Canselor bagi gugusan perniagaan dan pengurusan. Terima kasih kepada yang mendoakan kejayaan kami.

Tamat acara, terus sahaja bergerak ke UiTM Johor kerana pertandingan akhir Debat Piala Seri Wacana akan berlangsung dan saya perlu menjadi hakim. Sempat juga berkejar ke Gemereh seketika untuk menunaikan jemputan majlis perkahwinan keluarga staf UiTM Johor. 3.30 petang dimulakan dengan Debat Bahasa Inggeris dan diikuti dengan Debat Bahasa Melayu. Seterusnya acara penyampaian hadiah. Selesailah sudah acara debat antara kolej-kolej kediaman dan program. Banyak juga bakat baru yang dapat dicungkil melalui pertandingan kali ini.

Pada sebelah malam, jam 9 , perasmian MITEK( Minggu Terbuka Kolej). Acara pertama adalah pertandingan lagu puisi kemerdekaan. Terdapat berbagai acara sepanjang minggu hingga 31 Ogos 2006.

Saturday, August 26, 2006

Kenapa Lama Tak Kemaskini Blog?

Baru sebentar tadi saya menyemak emel dari seorang teman bertanyakan khabar dan juga bertanyakan soalan di atas.

Urusan debat dan ‘public speaking’, kelas harian, selain tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadi keutamaan saya pada minggu ini, walau hati resah tidak berblog.

Alhamdulilah saya sihat sahaja. Jawapannya bacalah entri 17 Ogos saya yang telah didrafkan dan hanya sempat diposkan hari ini. Semasa menaip entri ini saya berada di bilik hotel di Melaka. Beberapa jam yang lalu saya sedang membantu pelajar saya membuat persiapan terakhir untuk pertandingan ‘Public Speaking’ Piala Naib Canselor dan dalam beberapa jam lagi dia akan bertanding. Doakan kejayaannya,ya? Lawan antara seluruh cawangan UiTM di Malaysia.

Selesai pertandingan kami akan ke UiTM Johor semula untuk pertandingan akhir Debat Piala Seri Wacana yang akan bermula jam 3.30 petang.

Malamnya pula perasmian program MITEK(Minggu Terbuka Kolej) di UiTM Johor sehingga 31 Ogos.

Usahlah gundah gulana wahai teman
Penulisanku akan diteruskan
Bukankah amaran telah kuberikan
Ogos yang sibuk memang cabaran

Thursday, August 17, 2006

Debat Piala Seri Wacana & 'Public Speaking Challenge'

Saya tak dapat mengalihkan fikiran saya tentang perkara lain. Terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan berkaitan debat dan juga ‘Public Speaking Challenge’ selain kelas yang berlangsung antara 2 hingga 8 jam sehari seperti biasa.

Ringkasnya:

Rentetan Public Speaking UiTM Challenge (Bahasa Inggeris)
8 Ogos , 8.30pm-10.30pm - Ujibakat 2 minit untuk pemilihan peserta
15 Ogos, 8.30pm-10.30pm - Ujibakat 5 minit untuk pemilihan peserta ke Semi Final
16 Ogos ,12.30pm –2.30pm – 11 peserta bertanding untuk ke Final
18 Ogos, 8.00am – 10.00am – 5 peserta bertanding ,
2 peserta terbaik mewakili UiTM Johor pada
24 Ogos – 26 Ogos di UiTM Melaka untuk Piala Naib Canselor

*18 Ogos, 10.00am-12.00pm – Kelas ‘Speech Communication’/ ‘Public Speaking’ diadakan di Speaker’s Corner. Hari ini pelajar Ijazah Sarjanamuda Pemasaran saya perlu memberi hanya 2 minit ucapan pembukaan dan strategi untuk menarik perhatian pendengar. Selepas setiap pelajar berucap, saya akan terus memberikan komen secara terbuka. Aspek pengajaran yang saya tekankan pada hari ini adalah peringkat permulaan,iaitu :
1. Menarik perhatian
2. Memperkenalkan tajuk
3. Menyatakan prebiu ucapan mereka

Rentetan Debat Piala Sri Wacana (Bahasa Inggeris & Bahasa Melayu),UiTM Johor
18 Ogos, 2.45pm – 4.30pm – Menyampaikan taklimat penghakiman Bahasa Inggeris
19 Ogos, 8.30am – 7.00pm – Berlangsung serentak debat BI & BM
20 Ogos, 2.00pm –7.00pm – Sambungan debat BM
23 Ogos, 2.00pm-5.00pm – Sambungan Semi Final Debat BI
23 Ogos, 8.00pm-11.00pm – Sambungan Semi Final Debat BM
26 Ogos, 3.00pm-5.00pm – Final Debat BM & BI.

19 Ogos,8.30am-10.30am
Ceramah Motivasi kepada pelajar Tahun 4 hingga 6 di SRK Bukit Tunggal
Di sebalik kesibukan menguruskan hal debat dan ‘Public Speaking’, saya juga menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah motivasi. Sekadar berkongsi pengalaman teknik belajar dan memberi perangsang kepada mereka. Sempat juga mengajak mereka mendeklamasi puisi ‘Azam’ oleh A.Samad Said sebagai penutup ceramah saya.

Episod Pelajar Sakit

Awal pagi Selasa,15 Ogos

Sedang enak dibuai mimpi terngiang-ngiang bunyi telefon.
Kedengaran di corong telinga,"Puan Shima ada pelajar sakit,dia sesak nafas."
Saya langsung bertanya," Telefon dari mana ni?"
Suara itu menjawab,"Dari bilik, Puan."
Saya menyambung,"Awak ada telefon ke telefon bimbit saya ke tadi?"
Sambil menunggu jawapannya saya meninjau skrin telefon bimbit yang terpapar nama 'Radhi',YDP Kolej Baiduri lalu terpandang waktu menunjukkan jam 3 pagi.
Baru 2 jam yang lalu saya melelapkan mata.
Saya lalu berkata,"Tunggu sebentar, saya salin pakaian."
Saya mengejutkan Adib," Boleh teman sekejap?""Ada pelajar sakit."

Antara sedar dengan tidak, Adib hanya mengangguk dan terus menyalin pakaian.
Dia menyarankan saya menelefon Encik Borhan, pegawai di Pusat Kesihatan UiTM.
Mujurlah saya ada menyimpan nombornya di telefon bimbit.
Dalam kerisauan menanti jawapan disambut, hati saya berkata,"Bagaimana kalau dia tidak sedar?"

Beberapa saat berlalu dan akhirnya panggilan dijawab.
Setelah menerangkan apa yang berlaku, beliau pun meminta saya membawa pelajar berkenaan ke Klinik Penawar. (Nama lain bagi pusat kesihatan)

Saya menelefon Radhi semula, "Boleh bawa pelajar itu ke bawah?"
Radhi menjawab,"Boleh Puan?"
Kami kemudiannya menghantar pelajar tersebut ke Penawar.
Rupa-rupanya pelajar ini sudahpun berjumpa dengan Encik Borhan pada sebelah paginya dan telah diberikan alat pernafasan oksigen.
Encik Borhan membuat beberapa pemeriksaan dan membuat keputusan untuk menghantar pelajar tersebut ke Hospital Segamat.
Saya pulang ke rumah lebih kurang jam 4.30 pagi.
Mujurlah ada Pegawai Kesihatan dan doktor sekarang. Sebelum ketibaan mereka,kami perlu menghantar pelajar ke hospital yang jauhnya lebih kurang 25km, dengan kenderaan sendiri. Kebiasaannya sakit-sakit begini datang lewat tengah malam atau awal pagi.

Usai azan Zohor,15 Ogos,bermulalah episod seterusnya.
Terpapar di telefon bimbit saya nombor yang tidak dikenali.
Saya menjawab panggilan dan terdengarlah suara dihujungnya berbicara," Puan ada pelajar pengsan di kolej. Ini Intan."
Saya membalas," Tunggu sebentar, saya di pejabat sekarang."
Saya berkata dalam hati,"Sekarang waktu rehat, tentu tiada siapa di Penawar."
Saya terfikir," Telefon Encik Nor Rahman, pemandu ambulan."
Sejurus mendail,kedengaran suaranya menjawab. Setelah menyampaikan berita kepadanya,dia berkata,"Saya solat Zohor dahulu dan kemudian akan mengambil ambulan"
Jawapan saya pula," Baiklah,saya akan balik ke kolej sekarang untuk melihat pelajar tersebut".
Segala urusan selesai lebih kurang jam 3 petang dan saya pulang semula ke pejabat untuk membuat persediaan ke kelas jam 4 petang. Hampir jam 4 petang, saya mendapat panggilan semula daripada teman pelajar yang sakit.
"Puan,doktor kata tiada masalah . Boleh ambil pelajar tersebut dan balik semula ke Kolej Baiduri sekarang."
Kehairanan,saya menyoal," Tak ada apa-apa?"
Saya meneruskan bicara,"Tunggu sebentar ya, saya ada kelas sebentar lagi."
Tangan menekan sambil mencari nombor telefon wakil kelas petang itu dan memberitahunya supaya tunggu sebentar kerana saya akan tiba lewat untuk menguruskan seorang pelajar sakit.
Saya bergegas ke Penawar dan berjumpa doktor.
"Mana pelajar yang pengsan tadi?"
"Dah sihat ke?"
Doktor menjawab,"Ada di dalam. Kami akan menghantarnya ke Hospital Segamat".
Dalam kebingungan saya bersuara, "Tadi kawannya menelefon dan mengatakan dia sudah baik dan perlu dijemput pulang."
Perasaan bercampur baur,"Jika begitu saya akan ke kelas sekarang"
Kelas tamat jam 6 petang dan saya pun pulang ke rumah.

Waktu Maghrib saya dikunjungi pelajar lagi.
"Puan kami perlu ke hospital untuk menghantar beberpa barang pelajar yang pengsan tadi ke hospital."
Saya menyoal," Nak cepat ke?" " Saya ada program 'audition Public Speaking' jam 8.30 malam ni. Selapas selesai program, bolehlah ke hospital. Tapi tak tentu lagi habis jam berapa. Mungkin dalam kurang lebih jam 10 malam".

Selesai program,saya menelefon Sara,"Dah sedia nak ke hospital?"
Dia menerangkan,"Dah boleh jemput balik ."
Untuk mendapat kepastian,saya bertanya semula," Yang pengsan tadi pun boleh balik juga?'

Sampai di rumah semula lebih jam 12 tengah malam.

Menghantar dan mengambil pelajar sakit memang sebahagian daripada bidang tugas Pegawai Pembangunan Pelajar. Pernah juga saya memandu jam 1 pagi menghantar pelajar dan perlu menjemput semula pelajar yang sama pada jam 4 pagi. Saya hanya berfikir, "Ini hari mereka. Apabila sampai masanya nanti, mungkin saya yang akan sakit selain anak-anak atau suami saya."

Begitulah berakhirnya episod menghantar dan mengambil pelajar-pelajar sakit.

Di kelas, saya ingatkan pelajar-pelajar saya untuk menjaga kesihatan dan makan dengan teratur. Maklumlah musim-musim ada ujian,tugasan dan pembentangan , membuatkan pelajar yang tidak dapat mengatur masa dengan bijak akan rasa tertekan dan terabaikan makan minumnya sehingga menjejaskan kesihatan pula.

Melalui perbualan saya bersama Pegawai Pembangunan Pelajar yang lain,ada juga kes pelajar yang berpura-pura sakit.
Bila ditanya tentang tugasan dan kelas yang akan ditinggalkan semasa cuti sakit,kami dapat membuat kesimpulannya.
"Puan saya ada tiga tugasan yang perlu dihantar esok" " Puan boleh tolong sampaikan kepada Puan..., saya masih belum selesaikannya."

Bila ada kes-kes begini,urut dada sahajalah. Tertipu rasanya...

Monday, August 14, 2006

Mataku Berterusan Kelaparan

mataku berterusan kelaparan
menatap aksara-aksara
melambaiku untuk disantap
mindaku seakan kebuluran
lahap menikmati
juadah pelbagai rasa
kujamah semuanya
seperti tiada esoknya
bila letih ku mengunyah
jariku menari lagi


Hakcipta Nazhatulshima Nolan.

Friday, August 11, 2006

Jari Terus Menari

tengah malam sunyi
ramai hanyut dibuai mimpi
ku masih berjaga lagi
minda terus berlari
bayangan silih berganti
kata-kata mencurah-curah
mataku kian merah
jari terus menari


Hakcipta Nazhatulshima Nolan.

(Terjemahan 'Fingers Keep Dancing' oleh penulis dan merupakan karya asli penulis sendiri)
Boleh lawat 'Through My Eyes' untuk versi Bahasa Inggeris.

Tiba-tiba terciptalah yang seterus ini...kesinambungannya,

Jari rancak menari
lagu diminda tak mahu henti
akupun tak pasti
kuasa apakah ini
yang kupasti
hidupku penuh warna warni
disinari sang mentari
sesekali hujan turun
mentari bersinar kembali
terbitlah pelangi
walau hanya seketika
cukup membahagiakan


Hakcipta Nazhatulshima Nolan

Rangkait di PD

5 Ogos, Sabtu
Saya meneruskan perjalanan ke Port Dickson dengan memandu sekitar kelajuan 160km sejam. Memang saya suka memandu laju tetapi di waktu itu ia lebih kepada keperluan kerana saya agak mengantuk. Seandainya memandu perlahan, sudah pasti tertidur. Tambahan lagi saya mahu segera sampai ke Port Dickson untuk mengikuti bengkel puisi di Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di Hotel Le Paris & Costa Rica.

Sempat juga saya mengikuti Bengkel Pantun kelolaan Cikgu Ali Badron. Beliau kebetulannya adalah jiran kepada Atuk Sor saya semasa mereka duduk di kuarters kerajaan di belakang RISDA, Batu Pahat. Lalu saya memperkenalkan diri saya dengan menyebut nama abah. Seterusnya dia bertanya pula perkembangan terkini sepupu-sepupu saya yang juga berjiran dengannya.

Kami perlu buat persembahan malam itu. Kak Lin menyarankan kami berempat berangkait. (Pantun berkait) dan mencoretkan 4 rangkap rangkait berikut yang disalin secara lisan daripada Cikgu Ali Badron.:

Tanya sama pokok
Apa sebab goyang
Nanti jawab pokok
Angin yang goncang

Tanya sama langit
Apa sebab hujan
Nanti jawab langit
Tanyalah awan

Awan nanti kata
Aku kandung air
Sampai tempat sejuk
Aku pun cair

Tengok dalam air
Nampak bayang-bayang
Campak satu batu
Bayang pun hilang

Usai makan malam saya menyertai rakan-rakan menyaksikan persembahan peserta seminar yang lain. Saya langsung bertanya Kak Lin, “Jadi ke nak buat persembahan?” “Tak pasti lagi, tengoklah apa kata Cikgu Ali” balas Kak Lin. Kami dipanggil juga ke pentas. Tanpa sebarang latihan,hanya sekadar pembahagian baris mana untuk dinyanyikan maka berangkaitlah saya bersama-sama Kak Lin , Kak Peah dan Siti Mariam.

Thursday, August 10, 2006

Debat 50 Jam Tanpa Henti: Rekod Baru

4 Ogos, Jumaat
Disebabkan tiada pemandu atau kenderaan yang dapat membawa para pendebat saya ke UiTM Shah Alam untuk menyertai program ’50 Hours Non Stop Debate' ,maka saya pun menjadi pemandu merangkap pengiring 8 orang pendebat saya ke sana. 4 pendebat menaiki kereta saya dan 4 lagi menaiki kenderaan rakan sekerja saya ,Kak Zaira.

Saya memang suka memandu. Program berlangsung di Seksyen 17, Fakulti Pendidikan UiTM Shah Alam. Ah bernostalgia lagi saya…15 tahun yang lalu , saya juga di sini. Sambil berkata kepada pelajar saya dalam Bahasa Inggeris, “Di Dewan Angsana ini jugalah saya pernah berdebat dan mendapat pendebat terbaik dan johan berdebat Bahasa Inggeris peringkat program TESL” Waktu itu, Dewan Angsana berbeza sekali keadaannya dengan apa yang saya lihat sekarang. Di luar Dewan Angsana pula, masih lagi terbayang saya berdiri di hadapan mikrofon di bawah pokok sambil mendeklamasi sajak dalam satu pertandingan. Seingat saya , saya hanya berjaya mendapat tempat kedua. Memang banyak kenangan manis di situ. Tiga tahun saya menimba ilmu di Pusat Pendidikan Persediaan/ITM. Dua tahun menjalani Matrikulasi TESL dan satu tahun pula mengikuti Sarjana Muda Pendidikan TESL. Tahun Kedua barulah ke Universiti Kebangsaan Malaysia memandangkan ITM belum lagi sebuah universiti waktu itu.

Berbalik kepada kisah debat. Saya membawa 4 pasukan semuanya. Satu pasukan berdebat pada jam 10 hingga 11 malam, satu lagi jam 2 hingga 3 pagi, seterusnya 3 hingga 4 pagi dan terakhir jam 8 hingga 9 pagi. Dua pasukan balik dulu ke hotel bersama Kak Zaira dan saya menunggu sehingga jam 4 pagi. Lebih kurang 4.30 pagi saya memandu dan menghantar mereka ke INTEKMA. Saya pula seterusnya memandu di awal pagi ke Hotel Concorde Shah Alam untuk berehat seketika. Tak pernah saya memandu seorang diri di waktu begini. Tapi masih ada lagi beberapa kereta di sekitar Shah Alam di awal pagi Sabtu itu. Kak Zaira menghantar 2 pasukan lagi pada jam 7 pagi dan lebih kurang jam 10 pagi saya pula membawa 2 pasukan yang saya bawa awal pagi tadi untuk ke tempat program untuk menyaksikan 2 jam terakhir debat. Sambil menunggu sempat berjumpa dengan pensyarah TESL yang pernah mengajar saya dulu dan juga super senior yang merupakan kumpulan pertama pelajar TESL. Masing-masing bertukar cerita tentang kisah lalu semasa kami menjadi pelajar di sini. Diam tak diam masa pun berlalu. Maka akhirnya terciptalah satu rekod baru mendahului rekod sebelumnya selama 36 jam dengan berdebat tanpa henti selama 50 jam 9 minit di dalam Malaysian Book of Record.
Kisah hari itu tidak tamat di sini. Perjalanan saya seterusnya ke Port Dickson pula.

Thursday, August 03, 2006

Ogos yang sibuk! Tapi bila yang tidaknya?

Sebelum menatap kisah Ogos saya,izinkan saya sudahi 3 hari terakhir Julai dahulu yang dihabiskan bersama keluarga.

29 Julai
12.30 saya sekeluarga sampai ke PKNS Kompleks Shah Alam untuk program bercerita sempena Pesta Buku Selangor.

8.30-11.30 malam, saya dan Minea, anak angkat Finland ke AFS Gala Dinner di Concorde Hotel. Untuk mengetahui cerita di sana , silalah ke blog Inggeris saya.
Malamnya sehingga jam 4 pagi saya menghabiskan masa di bilik hotel bersama-sama Afiqah dan Minea bersembang-sembang, melukis ,menari dan mendengar lagu. Adib dan Arif sudah hanyut dibuai mimpi.

30 Julai
Ramainya pelancong Arab di hotel ini. Rasa macam bukan di Malaysia pula. Kami sekeluarga menikmati sarapan secara buffet. Bersantai di bilik hotel sementara menunggu waktu check out jam 12 tengahari sebelum turun ke kompleks membeli belah. Adib berjalan ke Imbi Plaza manakala saya dan anak-anak ke Borders. Hampir 2 jam di Borders, banyak juga duit yang melayang dek buku-buku kami sekeluarga. Saya tak berniat nak membeli belah hari ni tapi melihatkan tawaran hebat harga ‘closing down’ Debenham telah mengubah niat saya.. Lebih kurang jam 5 petang kami meninggalkan kawasan KL bergerak ke selatan.

Destinasi seterusnya ke sempadan Muar Batu Pahat, iaitu Kg Sg Kelat, rumah Adib dilahirkan. Tidur semalam di kampung. Malam itu, tiba-tiba suhu badan Arif naik. Demam pula dia malam tu.

31 Julai
Jam 9 pagi, bergerak ke UiTM Segamat. Singgah sebentar di Tangkak, rumah Uda, abang Adib yang kedua. Sesampai di Jementah, Arif masih lagi demam. Singgah pula ke Klinik Keluarga. Hari ini masa saya dihabiskan dengan menguruskan rumah, berehat bersama anak-anak saya sehingga malam. Johor cuti hari ini.


Ogos yang sibuk

Bila menaip tajuk ini teringat saya kata-kata seorang rakan sekerja. Ketika itu saya memberitahunya tentang satu rancangan untuk menganjurkan satu program. Saya pun mengatakan yang saya akan anjurkan program tersebut apabila saya tidak sibuk. Lantas dia pun bersuara, ”Bila masanya yang Shima tak sibuk ?” Termenung sejenak memikirkan kata-katanya sambil tersenyum saya pun menjawab, “Iyalah, setakat ini memang tak pernah lagi yang tak sibuk.”.


1 Ogos
Kelas jam 8 hingga 10 pagi. Kemudiannya, terima maklumat terkini, tajuk-tajuk untuk Public Speaking Challenge 2006. Terus menyiapkan kertas kerja untuk menganjurkan program ini di peringkat UiTM Johor. Sebelum ke kelas jam 4 petang sempat bertemu PM Zaludin untuk menghantar kertas kerja dan mohon kelulusan program. Program diluluskan. Beliau seterusnya menyerahkan satu maklumat lagi untuk debat Bahasa Inggeris yang akan diadakan di UiTM Shah Alam. Tak sempat nak berbincang panjang kerana kelas jam 4 petang akan bermula.

Selesai kelas balik semula ke pejabat untuk menyediakan kelas jam 8.30 malam. Sebelum kelas bermula, saya bertemu dengan beberapa orang pendebat Bahasa Inggeris jam 8 malam untuk menentukan pendebat yang akan mengikuti program ’50 Hours Non Stop Debate’ di UiTM Shah Alam. Perbincangan belum selesai tetapi saya perlu ke kelas Kursus Kemahiran Bahasa untuk pelajar dewasa. Sesudah kelas, singgah seketika melihat pendebat Bahasa Melayu membuat latihan sambil membuat pengumuman tentang Public Speaking Challenge. Lebih kurang jam 11.30 malam barulah sampai ke rumah.

2 Ogos
Lewat sedikit ke pejabat memandangkan kelas mula jam 10 pagi. Usai kelas jam 12 tengahari, mesyuarat ringkas bersama-sama ahli jawatankuasa Kelab Debat dan Pidato untuk pembahagian tugas program Public Speaking Challenge yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos 2006. Hari ini urusan untuk ke program 50 Hours Non Stop Debate’ pula. Setiap kali saya mengiringi pendebat berbagai perkara yang perlu disediakan. Pemilihan peserta. Maklumat lengkap peserta. Ini mengambil masa kerana nak dapat kepastian sama ada mereka ingin ikut atau tidak. Surat permohonan untuk kelulusan diiringi Borang C yang perlu diisi dengan berbagai maklumat. Borang mohon kenderaan. Borang kelulusan lantikan sebagai pegawai pengiring. Sambil melengkapkan keperluan di sini,perlu membuat pengesahan kepada pihak penganjur tentang berapa orang pendebat yang akan menyertai beserta maklumat lengkap mereka. Akhirnya jam 5 petang sempat juga saya berlari dan memanjat ke pejabat HEP untuk menghantar segala surat dan borang. Semuanya perlu dihantar kerana hari Khamis adalah hari yang amat sibuk untuk saya uruskan semua kerja. Kenderaan belum tentu ada. Sekiranya tiada,perlu saya fikirkan alternatif lain.

3 Ogos
Kelas 8 jam, 8-10,10-12 & 2-4,4-6.

4 Ogos
Kelas 8-10 & 10 –12. Insya Allah bergerak ke UiTM Shah Alam jam 3 petang untuk 50 Hours Non Stop Debate.

5 Ogos
Tengahari, selesai program iring pendebat ke UiTM Johor semula.
Bergerak ke PD pula untuk Seminar Persuratan danPeradaban sehingga 6 Ogos

Selain kelas seperti biasa…aktiviti sampingan saya adalah seperti berikut:
8 Ogos,malam – audition untuk peserta Public Speaking Challenge
9 Ogos,12.30-2.30pm – Semi final PSC & 5.00-6.00pm – Final PSC
10 Ogos, 9mlm – Pertemuan dengan pendebat Bahasa Inggeris
12&13 Ogos – Bengkel Penulisan di KL
15,16 & 17 Ogos – Lawatan & Debat Persahabatan ke UiTM Pahang, Terengganu dan Kelantan
19 Ogos – Ke Batu Pahat ,jemputan majlis perkahwinan
24-26Ogos – Iring pelajar untuk Public Speaking Challenge VC Cup di UiTM Melaka
27 Ogos – 3Sept – Debat Perdana di UiTM Johor

Semoga masih ada ruang untuk saya terus menulis, Insya Allah!

Tuesday, August 01, 2006

Nostalgia Jalan Bunga Kertas

Masih terbayang kenangan berulang alik dari Jalan Bunga Kertas ke kawasan berdekatan.
Berjalan ke kedai di Jalan Lim Yew Leong, kedai di simpang traffic light Jalan Kluang berhadapan stor JKR, ke padang permainan bertentangan Jalan Matahari. Ke 635 Jalan Kluang,rumah arwah Atuk Sor,terletak berhampiran bangunan RISDA. Kalau tidak berjalan, berbeca pula. Teringat pula rumah arwah Atuk Ungku Chom,bersaudara dengan arwah Atuk Ungku Hawa, ibu kepada mak saya. Rumahnya di Jalan Lim Yew Leong, juga berhampiran dengan kedai.

Sering juga berbeca ke sana ke mari. Mak selalu juga bawa saya bermain di 'fountain'. sekarang di kenali sebagai Dataran Batu Pahat. Sudah tiada lagi 'fountain' atau pancutan air. Yang tersergam kini hanyalah arca batu yang sedang dipahat sejak 10 tahun yang lalu. Saya sering ke sini,duduk di kerusi batu,berlari-lari. Kadangkala menghirup cendol atau mengunyah kacang yang pelbagai aneka yang dijual oleh 'aya' sambil Abah bermain 'tennis' atau 'billiard' di Kelab Batu Pahat.

saat kesibukan
masih terselit ingatan
ruang peribadi
sentiasa dihuni
nostalgia

bersilih ganti
impian mendatang
yang belum
tentu hadirnya

Friday, July 28, 2006

Genap Sebulan Hari Ini

Alhamdulilah,
Genap sebulan hari ini blog ini dimulakan dan saya masih terus menulis. Terima kasih yang sudi berkunjung dan memberikan komen dan sokongan!

Nostalgia Zaman Sekolah Rendah (Permainan)

Rabu,26 Julai - Usai kelas jam 12, saya bergerak bersama-sama dua rakan sekerja ke Batu Pahat atas urusan rasmi. Lawatan yang paling mengimbau kenangan ialah ketika ke SRK Temenggong Ibrahim (lebih dikenali sebagai TIPS) dan SRK Tengku Mariam (TMS).

Di TIPS,dahulunya kawasan sekolah ini adalah sekolah agama. Tapi yang ingin saya ceritakan di sini adalah pengalaman yang terbayang apabila memasuki perkarangan sekolah ini,iaitu, perlawanan bola jaring peringkat daerah Batu Pahat dan ketika itu saya mewakili TMS sebagai 'wing attack'. Masih segar di ingatan bermain dalam keadaan hujan tanpa kasut. Perlawanan akhir yang amat sengit, kami hanya berjaya sebagai Naib Johan,berderet mengambil piala individu sambil esakan kesedihan kerana gagal menjadi juara. Saya Darjah 6 waktu itu.

Destinasi selepas TIPS,ialah TMS.
Tengku Mariam sekolah tercinta tempat ilmuku terima
(Antara baris lagu sekolah yang masih kekal di ingatan)

Untuk catatan seterusnya,saya mengubah sedikit suara 'saya' kepada 'aku/ku'.

Beginilah kisahnya...

Kawasan yang dahulunya hijau dengan pokok dan semak samunnya kini bertukar ke bangunan apartmen. Tidak pula kuteliti bangunan itu kerana pandanganku lebih tertumpu ke arah Jalan Bunga Kertas di sebelah kiri, aku tak mahu biarkan waktu itu berlalu kerana ingin mengutip kembali bayangan silam di zaman kanak-kanak,kira-kira 27 tahun dahulu. Aneh sungguh melihat rumah yang pernah kuhuni kini entah menjadi milik siapa. Tetapi lebih aneh lagi perasaanku membandingkan keadaan dahulu dan sekarang. Bukan perbandingan baru dan lama tetapi lebih kepada besar kecilnya. Deretan rumah teres di sepanjang jalan itu kelihatan sungguh kerdil. Seakan mengecil 5 kali ganda. Hakikatnya usiaku yang bertambah 5 kali ganda. Kesan tapak kakiku sudah tentunya tidak lagi kelihatan tapi kupasti bumi sekitarnya dapat menjadi saksi jejak-jejakku pernah melewati tanah yang diliputi tar itu. Di hadapan rumah yang keenam ,walaupun tanahnya hanya sekangkang kera, cukuplah sekadar untuk melukis tapak untuk bermain teng-teng di bawah pohon jambu batu. Tapak teng-teng dilukis dengan ranting kayu. Lebih kurang 4 petak menegak,petak terakhir ditambah 2 petak lagi di kiri dan kanan dan bersambungan dengan 3 petak terakhir ini separa bulatan dilukis. Dengan sebelah kaki, setiap petak perlu dipijak kecuali yang terletak batu milikku atau milik pemain yang lain. Terlupa pula bagaimana pula sudahnya permainan ini. ( Sesiapa ingat boleh ingatkan?)

Letih bermain teng-teng, berganti dengan cakar ayam. Bukan cakar ayam makanan tetapi cakar ayam permainan. Sedikit tanah akan dicungkil untuk diadakan lubang agar ranting kayu dapat diletakkan di tengah lubang itu. Ranting kayu yang satu lagi dijadikan penyungkil untuk mengangkat pergi kayu yang tadi. Apabila jatuhnya kayu yang terbang, kayu yang satu lagi masih di tangan,lalu ia dibuat sebagai pengukur jarak antara lubang dengan jatuhnya kayu tersebut. Siapa yang paling jauh kiraan jaraknya, maka dialah pemenangnya.

Di tepi pagar rumah itu,ada sebuah longkang yang agak dalam. Ada ikan keli berenang. Seingatku kadangkala ada yang datang menangkapnya. Bertentangan pagar rumah,terdiri satu bangsal yang gunanya meletakkan kenderaan. Kadangkala dipenuhi dengan deretan basikal pelajar Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar. Dengan pakaian seragam mereka, kadangkala beredar sebelum waktunya. Tidak kusedari saat itu mereka melanggar peraturan sekolah.

Sekolah pertamaku juga tidak jauh dari situ. Dengan pakaian seragam biru tua paras hanya sedikit bawah lutut berkemeja putih di dalamnya, berkasut dan berstokin putih,ku melangkah ke Sekolah Rendah Tengku Mariam bersama beg segiempat tepat, keras, kotak-kotak merah dan hitam. Pemegangnya seakan pemegang pintu. Sebelum melangkah keluar, tangan emak ,atuk dan sesiapa yang lebih tua dicium dahulu diikuti dengan bacaan doa penerang hati. Begitulah kebiasaanku sehari-hari. Kadangkala ku melangkah bersama-sama sepupu-sepupu yang lain ke sekolah melepasi Sekolah Rendah Kebangsaan Limpoon dan seterusnya diikuti dengan bangunan klinik gigi. Di penghujungnya, di situlah sekolah pertamaku dan tempat bermain. Bekalan ke sekolah sekadar 10 sen atau 20 sen. Dapatlah menjamah ais krim Malaysia perasa asam kecut.

Sesampai di sekolah,andai masih ada waktu,permainan seterusnya cop tiang atau galah panjang dan kalau dibenarkan ke padang ,cakar ayam. Tiang sekolahku tidak tegak berdiri, agak condong sedikit. Di tiang-tiang itulah jari jemariku ,kiri dan kanan bersilih ganti, bertukar kedudukan dengan rakan sambil cepat melangkah supaya tetap dapat mencapai tiang sebelum teman-teman. Mulut pula sambil menghitung ,mengira kekerapan bertukarnya tangan.. Menyebut soal menghitung,teringat pula. Di gelanggang badminton , berhadapan dengan tandas murid, permainan galah panjang sering diadakan. Permainan galah panjang terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan di barisan pertama dan kedua cuba menghalang kumpulan kedua yang cuba melepasi halangan itu. Sesiapa yang dicuit barisan pertahanan tidak dapat meneruskan permainan.

Selain itu, permainan batu seremban juga menjadi pilihan ,terutama sekali apabila cuaca panas dan tidak mendapat kebenaran bermain di luar. Tidak juga dilupakan permainan 'Nama,Negara,Objek, Buah-buahan dan Binatang'. Tidak pula kuingat nama ringkas permainan ini. Satu abjad akan dipilih dan pemain perlu menulis setiap ruangan. Setiap ruangan yang berbeza dengan pemain yang lain akan mendapat 10 markah tetapi sekiranya ada persamaan dengan pemain yang lain akan dipotong 5 markah. Sekiranya tiada perkataan yang ditulis, maka tiada sebarang markah. Permainan menggunakan atlas juga menjadi kegemaran. Bersama-sama sepupuku, salah seorang akan bergilir membaca nama tempat sementara seorang lagi mencari tempat tersebut di dalam atlas.

Begitulah permainan zaman sekolah rendahku dan mungkin juga zaman anak yang lahir di awal 70-an.

Kelihatan seimbas lalu, hidup zaman sekolah rendahku penuh dengan kegembiraan dan permainan. Namun hakikatnya, di sebaliknya ada juga warna-warninya. Di usia ku telah mengenali baik buruknya sesuatu, sudah tentunya ada pertentangan antara yang ideal dan realiti. Realiti yang selalu dipaparkan di kaca TV atau novel keluarga, pernah berlaku di depan mataku. Tak pernah kukesali. Semuanya mematangkanku. Menjadikanku lebih memahami ranjau liku hidup manusia yang berbagai gelagat. Tidak perlulah kupaparkan di sini untuk menjaga nama baik mereka yang terlibat.

Sebelum kuakhiri catatan ini, terlintas di fikiran. Adakah Afiqah dan Arif mengetahui setiap permainan yang kucatatkan ini? Akan kupastikan mereka tahu.

Sunday, July 23, 2006

Imbasan sebelum Ibu pulang

Sepanjang minggu mencari ruang untuk menulis. Terbukti di luar kemampuan. Keutamaan perlu didahulukan. Hanya sekadar menulis komen di blog sendiri dan rakan. Pelik juga ya. Kenapa pula saya seakan rasa bersalah bila tidak menulis? Seakan seperti satu tanggungjawab yang tak terlaksana, seperti janji yang tak tertunai, seperti harapan yang perlu dikecewakan.

Imbasan…
5.30pm ,23 Julai
Baru selesai latihan Modul 2, Program Pembangunan Pelajar.
Seramai lebih kurang 541orang pelajar Bahagian 2 dan 28 fasilitator terlibat dalam sesi Modul 2 yang membawa pengisian tentang Perkembangan Diri. Sesi yang bermula sejak jam 8 pagi semalam dirasmikan Pemangku Pengarah. Saya bertindak sebagai pengacara majlis diikuti dengan penyampaian taklimat kepada pelajar. Ada 3 sesi latihan dalam kumpulan (LDK) semalam dan saya juga menyampaikan ceramah Komunikasi Berkesan dan Kemahiran Sosial di sebelah malamnya. Memandangkan saya telah beberapa kali menyampaikan ceramah ini, persediaan hanyalah sekadar memperbaiki persembahan ‘slide’ dengan menambah beberapa grafik dan kata-kata yuang sesuai. Pagi ini bersambung dengan LDK dan tamatlah sudah program ini sebentar tadi.

20 & 21 Julai

Sempat juga menulis beberapa ayat untuk blog Bahasa Inggeris saya, http://www.nazhatulshimanolan.blogspot.com/ Jemputlah ke sana.

Khamis, kelas 8 jam,8 pagi hingga 6 petang. Jumaat pula ,4 jam. Untuk kelas peringkat ijazah, saya telah mulakan e-group memandangkan saya hanya bertemu mereka 2 jam seminggu dan menggunakan cara ini untuk ‘bertemu’ lebih kerap dengan mereka. Oh silapnya, beratus emel yang saya terima. Sampai tak larat nak baca.

19 Julai
Pagi kelas seperti biasa. Petang saya memberi taklimat kepada fasilitator kerana sedikit perubahan dalam pelaksanaan modul kali ini. Malangnya ada juga yang tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat yang lain.

18 Julai
Siang kelas, malamnya pula ada perjumpaan PPP (Pegawai Pembangunan Pelajar) dengan seluruh penghuni Kolej Baiduri. Saya pun mengambil peluang ini dengan memberi ucapan untuk menghidupkan kembali projek ‘bayi’ saya,iaitu, English Speaking College.

Sampai di sini dulu imbasan saya.

Terasa rindu pula dengan putera puteri saya.

Afiqah & Arif,
Sebentar lagi ibu pulang
Sebentar lagi kita sembang
Bercerita tentang apa yang dibuat
Bercerita tentang apa yang perlu dibuat
Melakukan apa yang jadi rinduan
Yang pastinya ciuman ibu akan singgah di pipi
Yang pastinya pelukan ibu akan menghangatkan
Tapi kakak dan adik memang tak kisah
kakak dan adik memang dah faham
Kakak dan adik memang dah tahu
kakak dan adik memang dah tunggu
kerana
Begitulah selalunya yang berlaku
Setiap kali ibu pulang.

Tuesday, July 18, 2006

Kisah 5 hari Tak Menulis

Diam tak diam dah 5 hari saya tak menulis. Terfikir semula apa yang saya lakukan sepanjang waktu ini sehingga tidak meluangkan masa untuk blog saya. Waktu saya banyak dipenuhi dengan kelas, mesyuarat,kertas kerja ,kemaskini bajet,persediaan mengajar dan persediaan Modul 2.

Rabu, 12 Julai
Jadual terkini menunjukkan Amahah Tugas Akademik(ATA) mencecah 24 jam seminggu. Jumlah keseluruhan 7 kelas akan diajar. 5 kelas pelajar bahagian 1 ,Diploma yang kesemuanya berjumlah antara 35 ke 39 orang sekelas. Kursus yang diajar BEL100 (Introductory English). 2 kelas lagi kelas Ijazah Pemasaran, kursus BEL 490 (Speech Communication). Subjek yang sama diajar semester lepas. Alhamdulilah,persediaan mengajar lebih kepada penambahbaikan. Kandungan kursus BEL100 sudah lekat di kepala sehingga halaman topik tertentu dalam buku Grammar telah terhafal. Memang kegemaran saya mengajar Tatabahasa Bahasa Inggeris. Hanya timbul kebimbangan bagaimana harus saya susun strategi menyemak esei untuk 7 kelas. Kebiasaannya saya akan memberi tugasan berkumpulan dan mereka diajar teknik menilai dan pemberian markah dan cara memberi komen. Penilaian akan dibuat selepas setiap kumpulan membuat pembentangan. Mereka mungkin akan mahir memberi markah dan komen tetapi sewaktu peperiksaan masih lagi perlu menjawab secara individu. Adakah teknik ini terbukti berkesan,masih perlu dibuat kajian. Setakat ini ianya hanya andaian berdasarkan pengalaman dan teori pembelajaran.

2 ptg, Mesyuarat Kelab Penulisan Kreatif. Ada rakan yang telah membaca blog ini dan memberi komen. Terima kasih. Semuanya menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Perbincangan mesyuarat berkisar aktiviti Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di Hotel UiTM Dungun.

3ptg, Mesyuarat Akademik UiTM Johor pula. Ucapan oleh Pemangku Pengarah, Pro Madya Dr Omar Samat. Dewan kuliah agak riuh dek kata-kata Dr Omar yang penuh dengan kiasan dan analoginya.

9mlm, Mesyuarat JPK Kolej Baiduri bersama Pegawai Pembangunan Pelajar. Perbincangan meliputi aktiviti kolej. Saya mengingatkan JPK supaya hidupkan semula program ‘English Speaking College’ yang telah dilancarkan 2 tahun sebelum ini. Di entri yang lain akan saya ceritakan projek ‘bayi’ saya ini.

Khamis,13 Julai
Kelas pagi, 8- 10 dan 10-12, BEL100 dan seterusnya 2-4pm BEL 490. Selepas 6 jam kelas, ke bilik semula untuk membuat persediaan mengajar kelas hari Jumaat.

10 mlm,sempat menjengah seketika aktiviti Kelab Debat & Pidato UiTM Johor membuat ‘mock debate’ dan ‘public speaking’ yang diadakan berhampiran Kolej Baiduri. Niatnya hanya ingin meninjau, tapi dijemput oleh Fatmah, Presiden Kelab untuk memberi sepatah dua kata. Oh ya,saya juga menjadi penasihat kepada kelab ini.

Jumaat,14 Julai
Kelas sejak 8 pagi hingga 12. Kemudian mesyuarat seketika dengan 2 penasihat debat yang lain,diikuti mesyuarat bersama Ati, juga penyelaras Modul 2, membincangkan persiapan yang perlu dilakukan. Niat untuk pulang awal tidak dapat juga ditunaikan. Hampir jam 6 petang baru beredar dari pejabat dan balik ke Kolej Baiduri. Kalau nak dikira tugas masih belum selesai, tapi saya tinggalkan seketika. Kini masa bersama keluarga. Makan malam di Pernu, Melaka. Pertama kali menjejak kaki ke sana dan menjamah ikan bakar serta hidangan masakan laut yang lain. Teringat seperti di Muara,Kelang yang selalu dikunjungi ketika menetap di Shah Alam dulu. Makan malam ini sempena menyambut hari ulang tahun Adib pada 6 Julai yang lalu tapi kami terlalu sibuk pada hari tersebut. Susah juga nak belanja dia makan kerana dia mengutamakan jemputan bermain golf dari jemputan isteri nak meraikan majlis harijadi. Alhamdulilah,akhirnya pergi juga.

Sabtu,15 Julai
Tak habis-habis dengan mesyuarat. 10 pagi mesyuarat bersama Ati,Modul 2 lagi. 11 pagi dengan AJK Kelab Debat dan Pidato. Berbincang tentang aktviti sepanjang semester. Jam 1 selesai mesyuarat ,sambung buat persediaan untuk kelas hari Isnin. Jam 3 baru balik ke rumah. Adib sudah pun bergerak ke Shah Alam menghadiri kelas ePJJnya jam 11pagi.

Niatnya untuk memulakan perjalanan ke Batu Pahat jam 4 petang. Terpaksa ditangguhkan kerana saya kurang senang berjalan dengan keadaan rumah tidak berkemas. Pinggan mangkuk dicuci, baju diangkat,buku-buku bertempiaran ,yang kebanyakannya kerja Arif Nukman semuanya diselesaikan dahulu.

Akhirnya jam 6 petang memandulah saya ke Batu Pahat bersama –sama Afiqah, Arif dan Minea,anak angkat saya dari Finland yang sudah 6 bulan di sini.Perjalanan selama lebih kurang 1 jam setengah ini memang sentiasa ditunggu oleh anak-anak saya kerana inilah masanya mereka dapat berinteraksi bersama ibunya. Minea terutamanya amat menyenangi waktu Afiqah dan Arif terlena kerana dia dapat berbual panjang dengan saya.

Sebulan lebih tak menjenguk mak dan abah. Kalau tak pergi juga minggu ini, entah bilalah lagi. Setiap hujung minggu saya bermula 22 Julai akan diisi dengan berbagai aktiviti sehingga September nanti.

Ahad,16 Julai
Abah berikan beberapa helaian fotostat kisah atuk dari buku sejarah Pejuang Terbilang Johor. Sungguh tak sangka Atuk Sor,(emak abah) atau Hajah Zaharah Abdullah merupakan wanita pertama yang sama-sama menentang Malayan Union bersama-sama Dato’ Onn pada 1946 dan menjadi jurucakap kepada ahli parlimen Inggeris. Pada 26 Februari 2006 , abah mewakili Atuk untuk menerima watikah pengiktirafan. Semangat untuk mengkaji kisah Atuk berkobar-kobar pula. Selama ini dengar cerita Atuk secara lisan sahaja. Beliau pula meninggal dunia semasa saya berumur 5 tahun. Memori bersama Atuk yang paling segar di ingatan ialah perjalanan ke Pulau Pinang. Tak sangka penglibatan Atuk agak penting. Beranganlah pulak nak buat novel sejarah ni. Setakat ini sayalah satu-satunya cucu yang terlibat dalam bidang pendidikan seperti Atuk. Politik??? Em…mungkin tidak. Atuk Ayah pulak banyak terlibat dalam bidang kesenian. Masih terbayang semasa kecil,kumpulan ghazal selalu berkunjung ke rumah atuk buat persembahan. Atuk Ayah juga telah meninggal dunia pada tahun yang sama ,1977 malah lebih dulu 44 hari dari Atuk Sor. Kata orang, sehidup sematilah ni.

Isnin,17 Julai
Kelas 6 jam lagi hari ni. 10-12, 2-4 & 4-6ptg. Malam,9-10 perjumpaan dengan pelajar diploma bahagian 1 yang menetap di Kolej Baiduri.

Beginilah kehidupan saya sebagai seorang pensyarah,8 pagi hingga 6 petang menghadap kelas dan tugasan lain. 6 petang hingga 8 pagi pula bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar di samping sebagai ibu dan isteri ketika di rumah.

Mungkin kedengaran memenatkan tetapi saya rasa gembira dan sebaik mungkin mengawal perasaan saya supaya terus gembira dan bersemangat kerana saya rasa perasaan gembira dan bersemangat amat penting . Kalau hati tak gembira dengan keadaan begini saya rasa tenaga akan dihabiskan dengan memikirkan keadaan yang melemahkan kita. Saya percaya akal boleh mempengaruhi kita untuk menjalankan sesuatu di luar jangkaan. Dengan izin Allah juga dikurniakan kesihatan dan kudrat untuk melakukannya.

Akhir sekali,azam saya ialah agar penulisan blog saya ini tidak terhenti.

Bila dibaca semula entri ini seakan tidak lancar pula bahasa saya kali ini. Apa komen rakan-rakan sekalian?

Wednesday, July 12, 2006

Maka terbongkarlah rahsia...

Akhirnya lewat petang semalam setelah menyiapkan bajet Modul 2 dan buat persediaan mengajar , saya maklumkan alamat weblog saya kepada ahli Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor dan juga beberapa rakan yang lain. Setelah lebih kurang 2 minggu mengambil sikap ‘biarlah rahsia’, maka semalam terbongkarlah rahsia.

Hari ini, dalam perjalanan ke bilik ( pejabat), hati saya bertanya, mungkinkah rakan-rakan saya telah melawat blog dan seterusnya memberi pandangan masing-masing.

Terima kasih atas ucapan tahniah sekalian. Ianya sungguh bermakna sekali kerana bagi saya untuk memulakannya memang sesuatu yang sukar. Saya juga berharap penulisan saya ini bukanlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Pada 6 dan 7 Julai yang lalu, sama seperti semester yang lepas, saya berkhidmat sebagai fasilitator untuk pelajar diploma Bahagian 1 yang baru mendaftar. Seronok berinteraksi dengan pelajar baru , penuh dengan impian dan harapan. Tidak kurang juga yang kecewa kerana tidak berjaya mendapat kursus yang diharapkan. Apapun keadaannya, mereka semua perlukan bimbingan.

Sesuatu yang menarik dan kebiasaan pelajar baru ini adalah berkaitan dengan gelaran mereka kepada pensyarah. Selalunya mereka akan memanggil ‘Cikgu’ atau ‘Teacher’ kepada saya dan juga rakan-rakan lain. Sebenarnya saya tak kisah , apatah lagi memang saya pernah menjadi cikgu satu masa dulu dan dalam diam masih berbangga dengan gelaran tersebut walau telah menjadi pensyarah kini. Pada saya ,’sekali menjadi guru, selamanya menjadi guru’, walau berlainan kumpulan sasaran yang diajarnya. Walaupun begitu, secara amnya ada juga saya terdengar pensyarah yang kurang senang dengan panggilan tersebut dan cuba membetulkannya. Tapi selalunya lambat laun mereka akan tahu juga bagaimana nak memanggil pensyarah. Maklumlah mereka baru sahaja tamat sekolah, jadi masih tersasul lagi.

Setelah 4 hari bertugas dari pagi hingga ke malam berturut-turut, hari kelima kesihatan agak terganggu kerana kekurangan tidur. Maka, pada 8 Julai saya hanya bersama-sama pelajar pada sesi penutup untuk Kursus bersama JPK( Jawatankuasa Perwakilan Kolej). Rancangan awal ingin menjengah mak dan abah serta menghadiri kenduri arwah pakcik di Batu Pahat terpaksa juga dibatalkan. Saya perlu berehat secukupnya supaya kelas pertama pada hari Isnin, saya akan cergas dan ceria menemui pelajar baru saya.

Alhamdulilah,bertemulah saya dengan pelajar baru pada 10 Julai. Mereka mengambil Diploma Sains Komputer. Lazimnya,dalam pertemuan yang pertama, saya peruntukkan waktu untuk mengenali mereka. Selalunya di akhir kelas yang pertama, saya dapat menghafal semua nama timangan pelajar saya. Ya,untuk kelas pertama ni ada 37 orang semuanya. Saya percaya sesi ini amat penting kerana bila kita dapat ingat nama seseorang, dia akan dapat rasakan dia adalah orang penting. Kalau dia rasa dia dikenali , dia akan rasa seronok dan seterusnya bila dia rasa seronok, keadaan dalam kelas pun akan ceria, dan bila semua ceria, maka mudahlah sedikit penyampaian ilmu berlangsung. Kelas saya pada pagi Selasa juga pelajar jurusan yang sama dan berjumlah 36 orang semuanya.

Selesai kelas, sebagai Penyelaras Modul 2 , Program Kepimpinan Pelajar ,saya teruskan tugas dengan menyiapkan bajet untuk program yang akan berlangsung 2 minggu lagi. Selesai hantar emel kepada mereka yang berkenaan, rakan saya, Ati, iaitu penyelaras bersama, memaklumkan terpaksa buat sedikit perubahan.

Namun saya tinggalkan dulu kerana sedang buat persiapan untuk kelas.

Malamnya, balik ke rumah/kolej kediaman,dapatlah berinteraksi seketika dengan anak dan menguruskan rumah serba sedikit. Maklumlah saya tiada pembantu rumah. tapi ada juga tugasan tertentu telah diagihkan kepada kedua-dua anak saya sebagai 'latihan'. Jam 9 malam turun semula untuk menghadiri mesyuarat bersama JPK Kolej Baiduri. Saya juga menjadi Pegawai Pembangunan Pelajar) Perbincangan berkisar aktiviti dan perkara penting yang akan dijalankan sepanjang semester. Adalah beberapa idea yang saya utarakan. Insya Allah di entri seterusnya akan saya ceritakan. Jam 11 malam barulah sampai ke rumah semula, kini masa saya bersama suami pula.

Begitulah seharian rutin saya kalau semester bermula, dari pagi hingga ke malam,ada sahaja aktivitinya.

Alhamdulilah, suami saya , Adib, amat memahami kerjaya dan minat saya dan mengizinkannya.

Thursday, July 06, 2006

Mungkin hampir sama tetapi pengajarannya masih ada

Minggu lalu dan minggu ini ,waktu kerja saya dipenuhi dengan sesi seminar. Mungkin ada orang yang tidak berapa gemar mengikuti seminar atau kursus apatah lagi kalau diarahkan. Namun saya di dalam kategori mereka yang sangat suka mengikutinya walaupun kadangkala terpaksa mengeluarkan wang ringgit atau berjalan jauh. Seseorang yang amat rapat telah bersuara, " Kenapa perlu mengikuti kursus dan seminar yang serupa? Balik-balik tajuk yang sama." Saya akui kadangkala seminar atau kursus yang saya sertai mempunyai pengisian yang hampir sama. Tetapi pada pandangan saya, walaupun seminar dan kursus itu mempunyai tajuk dan pengisian yang sama,pendekatan dan cara penyampaian pasti terdapat perbezaannya. Saya sentiasa bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang pada pandangan secara kasarnya adalah sama tapi masih terdapat perbezaannya. Sama ada penceramah itu hebat atau sebaliknya, semuanya dapat dijadikan teladan atau sempadan.

Sebagai seorang pensyarah dan pembimbing pelajar, saya sendiri pernah mengajar tajuk yang sama pada satu hari kepada tiga kumpulan yang berbeza dan menggunakan pendekatan yang tidak keseluruhannya sama. Setiap detik hidup kita adalah unik. Kita sering berhadapan dengan orang yang berbeza di waktu yang berbeza dalam suasana yang berbeza. Atas dasar ini , kita tidak boleh bersikap stereotaip. Saya pernah ditanya berkaitan ciri-ciri yang ketara yang dapat dilihat dalam kumpulan pelajar saya mengikut jurusan yang diambil. Malangnya, saya dapati sukar untuk menjawab soalan itu. Bukan kerana saya tidak mengenali mereka atau kurang peka menganalisa mereka tetapi saya telah mengelak dari melabel mereka. Saya menghalang maklumat yang berbau bais mempengaruhi pandangan saya terhadap kumpulan pelajar tertentu.

Pada pandangan saya, semua orang mempunyai potensi sekiranya kita bersangka baik atau positif dengan kebolehan mereka. Malah saya amat seronok jika terdapat pelajar yang kelihatan bermasalah atau sedikit berbeza. Terutama sekali bila dapat melihat perubahan ke arah kebaikan, satu kepuasan yang tak ternilai.

Begitu juga kalau saya berhadapan dengan anak-anak. Seringkali saya perlu berpesan perkara yang serupa tetapi untuk memberi kesan kadangkala perlu diubah cara penyampaian. Saya sedar saya jauh dari sempurna tetapi sering berusaha melakukan sesuatu sebaik mungkin.

Sunday, July 02, 2006

Dan saya pun menulis lagi

Entri pertama saya memang agak ringkas sekali. Mungkin juga tiada sesiapa pun yang membaca cacatan pertama saya lantaran tidak disebarkan kepada sesiapa lagi. Sebenarnya sudah agak lama saya tidak menulis dalam Bahasa Melayu yang formal. Harapan saya dengan adanya blog ini, saya dapat menggunakan bahasa ibunda saya dalam bentuk tulisan dengan lebih kerap lagi. Keinginan untuk menulis memang telah lama wujud tetapi sering tidak kesampaian dengan pelbagai alasan. Bukannya kerana ketandusan idea. Malah saya mugkin terlalu banyak ideanya sehingga ia hanya berlegar-legar di ruang minda peribadi saya atau hanya terdetik di ruang hati. Kalau ada pun idea yang disuarakan, hanya setakat dikongsikan secara lisan bersama beberapa teman. Ada juga yang mencabar,jangan cakap sahaja , tulislah! Maka menulislah saya walaupun entah apa-apa. Anggaplah ini sebagai sesi pemanasan saya sebelum semangat terpadam eloklah diteruskan, betul tak?