petikan Kembara Tukar Budaya Australia
[Dari Kerana Mata- Dari mata turun ke hati. Dari hati belum tentu dapat dilihat oleh mata kalau tidak diolah dalam tulisan dan bahasa yang dapat dijangkau mata hati pembacanya] - sejak 28.6.2006
Friday, February 07, 2014
Nama saya bukan SHIME!
Hari Pertama di Kingsgrove High School
Thursday, February 06, 2014
Isi surat dari Sydney
Keluarga Angkat Saya
Wednesday, February 05, 2014
Adakah awak Botak?
“Adakah awak botak? Tiada rambut? Sakit?”
“Boleh kita pergi ke satu tempat lain yang tiada sesiapa dan membuka tudung kepala ini?”
“Awak perlu menjadi suami saya untuk melihat rambut saya.” Hakikat yang dikhabarkan dengan nada seloroh untuk menutup rasa silu.
“Jika begitu, mari kita berkahwin.”
Ah,nakal sungguh pelajar Brazil ini mengusik saya di hadapan semua pelajar lain.
Saya mengusiknya kembali.
“Awak perlu menganut Islam untuk menjadi suami saya.”
“Jika begitu, saya menganut Islam sekarang.”
Saya membalas dengan senyuman dan ketawa kecil. Dia mengekori saya sepanjang perkhemahan menagih permintaan yang tidak tertunai. Saya percaya itu hanya rasa ingin tahu sahaja. Hanya saya seorang 'sangat berbeza' penampilan.
Malam itu, katil saya dikerumuni pelajar perempuan pelbagai negara;Denmark, Itali,Amerika Selatan. Seakan sesi soal jawab agama pula. Setiap jawapan bersambung dengan soalan seterusnya. Perasaan ingin tahu mereka tidak dapat dibendung. Trine,dari Denmark memohon izin mengambil gambar saya bertelekong dalam posisi menunaikan solat. Dia turut teruja melihat pergerakan dan posisi solat.
Sesi soal jawab bersilih ganti dengan sesi belajar bahasa masing-masing.
Otak saya seperti span, menyerap segala maklumat. Pelbagai bahasa, budaya dan yang penting, cara hidup orang di bumi kanggaru.
Ah,sungguh mencabar sekali. Selama ini tiada siapa yang mempersoalkan segala yang telah menjadi darah daging saya. Tiada siapa bertanya. Mengapa begitu? Mengapa begini? Yang lebih mencabar, saya perlu menjawab segalanya dalam bahasa Inggeris. Otak saya bekerja keras mencari padanan maksud dalam bahasa Inggeris setepat mungkin. Tidak mahu silap penerangan dan disalahtafsir. Pendidikan sekolah agama saya di negeri Johor meskipun dari darjah satu sehingga ke darjah khas,dan dikatakan boleh menjadi seorang ustazah dengan kelulusan tersebut tidak memberi persediaan untuk menjawab soalan bertubi-tubi daripada orang yang langsung tidak mengetahui tentang Islam.
(petikan Kembara Tukar Budaya Australia)
Tuesday, February 04, 2014
Kem Orientasi
Pandangan pelik dan penuh tanda tanya daripada semua pelajar. Saya tidak hairan. Malah telah bersedia. Hanya saya seorang bertutup kepala dan berlengan panjang di pagi musim panas waktu itu. Cara berpakaian begitu belum sepenuhnya kelaziman pada waktu itu di Malaysia. Saya perlu kuat membawa diri sendiri yang akan dianggap kolot dan tidak berfikiran terbuka pada waktu itu di negara sendiri. Inikan pula apabila berada di negara asing!
Kemudian sesi pengenalan dan taklimat pun bermula. Para sukarelawan memberi penerangan bahasa Inggeris loghat Australia. Serba sedikit tentang budaya masyarakat di sana untuk memudahkan kami menyesuaikan diri. Waktu senggang di antara sesi yang telah dijadualkan kami bertukar-tukar kongsi pelbagai bahasa sapaan.
Ciao. Hola. Salut.
Dan sudah semestinya sapaan 'G'day mate' dengan sebutan yang betul jadi latihan!
Berikutnya, sesi berkenalan dan mengingati nama pun berlangsung. Kami digalakkan bercampur dengan para pelajar dari negara lain dan tidak hanya berbual di antara sesama negara masing-masing.
Bunyi bahasa pelbagai meresap ke segenap gegendang telinga. Sibuk sekali isyarat trafik menterjemah di dalam fikiran. Medium berhubung pula sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Di antara nama yang terawal terdaftar di minda adalah kenalan daripada Itali seperti Katia, Julia, Fabio, Christiano,daripada Brazil, Nathan dan Pedro, daripada Denmark, Trine, Dorthe, Louise, Therese, David, daripada Panama pula, Rogelio dan Jorge.Daripada USA,James, Joy, Elizabeth,daripada Canada, Barbara dan Sylvie, Dani daripada Austria, Ben daripada Switzerland,Hakon daripada Norway, Anja daripada Farde Islands. Inilah di antara nama-nama yang saya mula-mula kenali sepanjang 3 hari di kem orientasi di Thornleigh, walaupun ada 100 lebih nama lagi nama yang tidak tercatat di sini.
(Ada beberapa orang yang saya masih berhubung sehingga kini melalui Faceboook dan Katia telah 3 kali melawat saya di Malaysia pada tahun 1992,1995,1999 dan Trine pula telah datang bersama-sama suami dan sepasang anaknya pada Mac 2012)
Perkenalan singkat tetapi mesra adalah satu permulaan yang baik.
Kami seterusnya berpisah untuk bertemu buat pertama kalinya dan langsung menetap selama setahun dengan keluarga angkat masing-masing. Hati saya berdebar-debar. Sebelum sampai ke Australia, kami sempat berbalas surat dan informasi lain hanya didapati dari borang permohonan untuk mengikuti program pertukaran pelajar ini.
Keluarga angkat saya tidak dapat menjemput saya pada hari tersebut. Saya dibawa pulang dan bermalam di rumah Laurie dan Evelyn Coleman,iaitu Pengerusi & Koordinator AFS Chapter Canterbury Bankstown. Rogelio juga begitu.
Satu malam lagi.
Bisik saya,antara debar dan senyum.
petikan Kembara Tukar Budaya Australia
Monday, February 03, 2014
Malam Pertama di Sydney
petikan dari Kembara Tukar Budaya Australia
Sunday, February 02, 2014
Balai Perlepasan
Bagaimanakah agaknya berada di dalam kapalterbang? Melihat awan daripada jarak dekat? Melihat bentuk mukabumi daripada langit? Oh membeli tiket kapalterbang bukanlah seperti membeli tiket bas atau keretapi! Hanya yang berkemampuan dapat peluang itu. Sama ada dari segi wang ringgit atau kebijaksanaan. Sama ada lahir dalam keluarga berada atau dikurniakan hadiah biasiswa untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM. Beruntunglah bagi mereka yang berkemampuan dari segi wang ringgit. Bagi yang tidak, perlu berusaha keras dan berlumba-lumba mendapatkan kecemerlangan akademik sebagai paspot tambahan ke luar negara. Sudah tentu rezeki dan ketentuan Tuhan juga.
Ketentuan buat saya agak berbeza. Peluang untuk hidup dan belajar di negara asing selama setahun bagai mimpi jadi nyata. Sebelum itu saya hanya ke luar negara setakat di seberang tambak Johor, iaitu Singapura sahaja, ketika menziarah saudara mara atau sekadar membeli belah cuci mata. Bukanlah suatu yang asing buat rakyat Johor menyeberang ke kota singa di hujung minggu. Dalam Malaysia sendiri begitu banyak negeri yang belum saya jejakkan kaki lagi. Usahkan ke Sabah dan Sarawak, dalam negeri Johor juga masih terhad kunjungan saya. Di luar kawasan,hanyalah ke Kuala Lumpur menziarahi saudara mara pada musim cuti sekolah.
Pun begitu, cita-cita mengembara ke negara lain adalah dalam senarai teratas dalam perkara yang saya mahu lakukan. Justeru itu, subjek geografi menjadi salah satu matapelajaran yang saya cintai. Setiap negara yang saya pelajari, mahu saya lawati dan alami sendiri. Seringkali saat melakar peta dan mewarnakannya, fikiran saya akan turut menggambarkan visualnya.
Hari ini dalam sejarah buat saya. 17 Januari 1990 - Lapangan terbang Subang - 12 orang pelajar yang telah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia sebulan sebelumnya telah terpilih sebagai duta kecil Malaysia dalam program pertukaran pelajar ke Australia selama setahun.
Permohonan itu melalui beberapa tapisan. Bermula dengan permohonan oleh kurang lebih 6000 pemohon pada tahun 1989 yang melalui pemilihan di peringkat sekolah seluruh negara, kemudian disenarai pendek untuk ditemuduga di peringkat negeri,diikuti dengan pemilihan di peringkat kebangsaan. 3 hari sebelum penerbangan, sesi orientasi berlangsung selama 3 hari,iaitu pada 12 Januari sehingga 14 Januari, di Kuala Lumpur,iaitu di pejabat Antarabudaya Malaysia di Jalan Lebuh Ampang. Sesi temuduga melalui beberapa peringkat berjaya dilepasi dan akhirnya terpilih mewakili Malaysia dan saya pula bertuah apabila mendapat tajaan sepenuhnya oleh Malaysian Australian Business Council.
Jam tangan dikerling, 8:30am. Penerbangan yang singkat. 45 minit sahaja. Ralit memerhatikan awan sehinggakan saya dikejutkan oleh pengumuman kapten tentang ketibaan di lapangan terbang Changi, Singapura. Kami tidak mewah waktu, perlu bergegas menuju ke balai berlepas pesawat British Airways pula. Detik itu, sedikit rasa kesal menerjah. Buah tangan yang saya bawa untuk keluarga angkat bersaiz besar dan menarik tumpuan ramai. Menarik tumpuan bukanlah masalah, tetapi saiznya yang besar agak melambatkan pergerakan saya. Namun ada sekelumit bangga saat tangan kanan saya memegang bahagian kayu rangka wau itu,berlatar kuning bercorak batik setinggi paras bahu itu ditempah khas untuk keluarga angkat saya. Ia menemani saya sepanjang perjalanan ke Sydney.
Gerakan pantas kami berlima seterusnya menuju ke arah pesawat British Airways yang akan berlepas pada jam 10:25am. Sebaik melangkah ke dalam, saya dapat rasakan semua mata tertumpu ke arah kami yang mungkin kelihatan seperti model untuk pakaian beragam tradisi, seorang lelaki lengkap bersongkok dan berbaju Melayu, bersampin dan 4 orang anak gadis berbaju kurung dan ditambah pula dengan saya berskaf menutup kepala. Tidak pernah saya berada di suatu tempat dipenuhi ‘orang putih’seramai itu. Satu kapalterbang jumlahnya termasuk staf krewnya sekali! Hanya kami berlima daripada Malaysia.
Kejutan budaya pertama!
Saturday, February 01, 2014
Penerbangan Pertama -Deja vu
17 Januari
Foto di atas adalah daripada telefon bimbit saya sendiri,di dalam kapal terbang sementara menanti berlepas. Sekelumit rasa gementar yang dapat dikawal segera. Sedikit risau kerana itu adalah penerbangan pertama kali selepas saya menjalani pembedahan AVM. Sebelum pembedahan, saya dinasihatkan oleh doktor untuk tidak menaiki kapal terbang atau 'roller coaster'. Ada sejarah melibatkan kematian seorang yang ada AVM ketika menaiki 'roller-coaster'. Pun begitu, merujuk doktor pakar, saya sekarang sudah boleh melakukan aktiviti itu. Bahkan,"bungee jumping" pun saya sudah boleh melakukannya. Lalu, 17 Januari 2014 ibarat eksperimen pertama saya. Destinasi dekat sahaja,Subang ke Kota Bahru, mengikuti rombongan meminang anak saudara suami. Saat tiba dan menanti di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah,saya dapat lihat imbasan kenangan di situ. 24 tahun yang lalu! Ya,tarikh 17 Januari juga merupakan tarikh penerbangan pertama saya,ke luar negara. Petikan dari buku 'Kembara Tukar Budaya Australia'. Kepiluan terasa bagai geseran tayar pesawat. Bak hati turut sama digeser menanti saat diterbangkan ke awan. Seiring tayar pesawat bergeser beberapa saat sebelum berlepas dan akhirnya terbang di awan biru. Desingan berakhir. Selamat tinggal semua. Dari jendela pesawat, semua ditinggalkan semakin lama perlahan-lahan semakin mengecil. Sayu berbaur teruja. Penerbangan pertama seumur hidup!Tuesday, January 28, 2014
Temujanji Doktor
Genap 3 kali pada bulan ini saya ke hospital untuk bertemu doktor berbeza. Alhamdulilah perubahan positif meskipun saya tidak lagi 100% seperti dahulu,saya fokuskan kepada keutamaan untuk membuat sesuatu yang mampu dan upaya dan tidak memudaratkan.
Saya sudah boleh berjalan jauh diiringi suami dari tempat letak kereta ke tempat temujanji. Boleh jalan seorang diri,menaiki dan menuruni tangga. Ya,saya rindukan waktu berdikari saya. Pun begitu, 'dimanjakan' dan sentiasa ditemani agak seronok juga rupanya.
Semester untuk pelajar ijazah sarjanamuda pun baru berakhir dan segala urusan pemarkahan pelajar telah saya sempurnakan.
Kini,saya ada lebih kurang 1 bulan untuk 'berehat' dari mengajar semasa pelajar bercuti.
Namun saya masih ada tugasan membuat soalan peperiksaan menanti.
Begitu juga temujanji dengan tesis sendiri yang masih belum tamat lagi.
Selamat malam. Saya mohon berehat dahulu. Sekadar menumpahkan kata-kata yang sarat di fikiran.
Rindu berblog.
Tuesday, January 07, 2014
Sebak
Tidak dapat mengawal rasa pilu. Panggilan telefon yang kelmarin
dibuat kepada ibu arwah membuatkan airmata mengalir laju. Rasa seperti ada sesuatu tersekat di dada. Cuba menahan daripada menangis. Gagal. Lidah jadi kelu untuk meneruskan bicara. Orang yang mempunyai sakit serupa seperti saya pertama kali saya temui secara bersemuka dalam keadaan dia telah koma telah pergi tidak kembali lagi setahun yang lalu. Ya,setahun yang lalu di saat saya disorong keluar dari ruang ICU HUKM setelah menjalani pembedahan otak,seorang gadis berusia 16 tahun dibawa masuk.
Minggu ini 2 kali saya pergi ke hospital untuk temujanji susulan. Isnin lalu di HUKM untuk menjalani MRI dan pagi tadi pula ke Hospital Sultanah Aminah,Johor Bahru. Alhamdulilah!
Di sebalik sebak dan linangan airmata,ada suatu tekad yang tersimpan.
Tuesday, December 03, 2013
Friday, September 20, 2013
Allah Sayang Kami
Friday, September 06, 2013
Semester Diploma dan Ijazah Bertindan
Saturday, August 31, 2013
Kumpulan Sokongan AVM di Malaysia
Saya telah menjalani kaedah rawatan 'embolization' pada 26 Disember 2012 sebelum menjalani pembedahan otak pada 2 Jan 2013.Saya mahu kumpulkan dan tubuhkan kumpulan sokongan kepada sesiapa yang berminat. Bolehlah tinggalkan nama dan alamat emel atau hubungi saya di sini. Segala maklumat tidak akan saya paparkan kepada umum tanpa izin. Akan saya simpan dan hubungi melalui emel atau nombor telefon yang diberi.Alhamdulilah saya semakin sihat kembali dengan izinNya.
Sunday, August 11, 2013
Peperiksaan Sebenar
Sayu apabila Ramadan telah berlalu dan saya sedar saya sendiri perlu wujudkan dan kekalkan rasa itu di dalam diri. Setelah sebulan 'peperiksaan percubaan' dijalani, tibalah masanya untuk melalui peperiksaan sebenarnya setelah Syawal tiba dan diikuti dengan bulan-bulan seterusnya. Saya tidak sunyi diuji sepanjang Ramadan dengan keadaan kesihatan Mak dan Abah yang bergilir setiap minggu dimasukkan ke hospital Batu Pahat. Hujung minggu sepanjang Ramadan padat dengan aktiviti berulang-alik Segamat-Batu Pahat apabila Mak dan Abah ditahan untuk pemeriksaan di hospital. Pemeriksaan lanjutan saya yang dijadualkan 2 selama hari pada 5hb dan 6hb Ogos di HUKM juga perlu ditangguhkan kerana saya mahu berada di Hospital Batu Pahat bersama-sama Mak. Mak kekurangan gula dan Abah pula kekurangan darah. Kedua-duanya perlu menjaga pemakanan dan kesihatan masing-masing.
Ya,kesemua keadaan ini ibarat peperiksaan. Tidak perlu berkeluh-kesah tetapi sentiasa mencari hikmah tersirat. Markah ujian? Tidak perlu tahu berapa jumlahnya. Yakin sahaja Allah telah kurniakan segala yang terbaik buat hambaNya yang sabar sentiasa.
Monday, July 08, 2013
Proses Kembali ke Fitrah
Tuesday, July 02, 2013
6 bulan Lalu Saya Botak
Friday, June 28, 2013
7 Tahun Lalu
Thursday, July 19, 2012
AVM - Bak Bom Waktu
Thursday, July 05, 2012
Apakah AVM (Arterio-venous malformation)?
Monday, July 02, 2012
Kembali Mengajar
Saya berjaya melangkah ke kelas,di tingkat satu. Berjalan ke kelas dari bilik dan kembali dan begitu juga di sebelah petang. Berjalan dari bilik ke kelas di tingkat satu dan kembali.
Sendiri.
Tanpa dipimpin.
Apabila melangkah ke atas,terasa sedikit pusing apabila saya teruja dan cuba percepatkan langkah. Begitu juga saya terlebih aksi apabila cuba menggayakan ekspresi diri. Nampaknya saya belum boleh melangkah laju seperti dahulu.Perlu berhati-hati melangkah setelah 2 kali terjatuh kerana tidak dapat mengimbang diri.
Saya juga sudah boleh berdiri lama.
Teruja apabila di hadapan pelajar,2 jam di sebelah pagi dan 2 jam di sebelah petang, saya dapat semangat baharu dan lebih ceria.
Saya risau jika tiba-tiba terlupa apa yang hendak disampaikan atau diterangkan. Risau jika saya tidak dapat menulis dengan tepat.Huruf terbalik atau tulisan abjad terbalik. Ternyata masalah koordinasi sudah semakin pulih.
Saya juga dapat rasakan pertuturan saya sudah semakin lancar kembali.
Syukur,kepada Allah Yang Maha Berkehendak.
Sunday, July 01, 2012
Tidak Mahu Menangis
Adib memberitahu melalui telefon.
"Tolong jawab apa-apa yang ditanya dan ceritakan apa yang berlaku."
"Tidak Mahu Menangis ...lagi",saya menyambung.
Saya merujuk kepada sakit AVM yang dihidapi. Mulai diketahui pada Oktober tahun lalu,sebulan selepas pemergiannya ke Madinah.
Jumaat petang,29 Jun yang lalu,Prof Kamil sekeluarga berkunjung ke rumah. Selain sebagai penyelia bersama PhD saya,beliau juga jiran di sebelah rumah.
Saya dapat rasakan yang saya tidak akan dapat menahan diri untuk tidak menangis dan berpesan kepada Adib supaya bersuara.
Gagal.
Di saat beliau menasihatkan supaya saya tidak memikirkan tentang PhD dan perlu menjaga kesihatan saya,perasaan sebak tidak dapat dikawal lagi. Laju sahaja butiran air mata jatuh membasahi pipi.
Saya mahu siapkannya.
Mohon doakan saya.
Terima kasih.
P/S:Sebelum beredar,beliau menghulurkan 'Bersyukur Saat Diuji',karyanya yang terkini. Kelihatan nama Adib dan Shima berada di sana sini.:)
Saturday, June 30, 2012
Dari Kerana Mata...: Dari Kerana Mata
Enam tahun yang lalu ianya bermula. Malam ini membuat kunjungan semula. Menulis di sini lagi? Insya Allah. Setelah sekian lama 'sahabat karib' ini ditinggalkan. Saya kembali lagi. Kerana rindu...
Friday, August 27, 2010
Monday, May 10, 2010
Akhirnya
Saya telah memohon untuk bercuti belajar tanpa biaya kerana ingin fokus dan segera selesaikan ijazah kedoktoran saya.
Syukur Alhamduilah,surat yang diterima bertulis
TAWARAN BIASISWA DI BAWAH SKIM LATIHAN STAF UiTM BAGI TAHUN 2010.
Sesungguhnya khabar gembira telah diterima setelah bersabar sekian lama.
Insya Allah, sasaran saya ialah untuk tamat pengajian selewat-lewatnya pada 2012.
Mohon doakan kejayaan saya.
Tuesday, April 13, 2010
Sabar Menanti
Saban hari melihat tempat surat bagai menanti surat cinta.
Sesungguhnya akan ada khabar gembira bagi orang yang sabar.
Insya Allah!
Monday, March 22, 2010
Saya Diuji Lagi! Doa Termakbul 3
Kini dengan khabar berita gembira yang masih belum dapat saya umumkan. Berita gembira yang lebih daripada yang saya jangkakan dan harapkan.
Saya berdoa agar tidak menjadi umat yang kufur nikmat Allah yang telah dilimpahkan. Ternyata doa di rumah Allah tahun lalu, termakbul satu persatu.
Maka,mintalah TERUS secara langsung kepada Allah,nescaya akan dikabulkanNya. Sentiasa bersabar dan tidak berputus harap sekiranya lewat dikabulkan kerana Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk hambanya dan Yang Maha Berkehendak menetapkan bila sepatutnya perkara itu berlaku.
Susah atau senang,kedua-duanya UJIAN. Amin!
Saturday, March 20, 2010
Surat Rasmi Lain Tiba
Semasa menerima emel rasmi UiTM bertajuk Anjakan Gaji,saya agak keliru kerana keputusan Penilaian Tahap Kecekapan 5 yang dihadiri Disember 2009 masih belum lagi keluar.
Rupanya,ia adalah anjakan gaji dari keputusan Penilaian Tahap Kecekapan 3 yang dihadiri Disember 2007 dan keputusannya telah keluar pada tahun 2008.
Apapun,walau lewat,saya bersyukur di atas limpahan rezeki ini.
Surat rasmi ini diberikan oleh Pemangku Pengarah UiTM Johor,Prof Madya Hj Yusri Ismail.
Namun,saya masih menanti surat rasmi kelulusan saya bercuti belajar yang dijangkakan selewat-lewatnya pada minggu hadapan.
Semoga jadi kenyataan.Insya Allah!
Friday, March 05, 2010
Tunggu Surat Rasmi
Setelah berhari-hari mencuba dan berkali-kali ,barulah panggilan berjawab.
Soalan saya dijawab dengan,
"Tunggulah surat rasmi."
Saya tersenyum dengan rasa gembira yang berpada-pada.
Syukur Alhamdulilah.
Sunday, February 21, 2010
Kembali kepada Fitrah
Fitrah manusia itu ada sifat malu.
Fitrah manusia itu ingin jadi baik.
Lalu,
bila manusia membuat kejahatan,bukankah itu menongkah fitrahnya?
bila manusia hilang rasa malu,bukankah itu juga melanggar fitrah?
bila manusia bangga melakukan kejahatan,bukankah itu melawan fitrah?
Tetapi adakala...
Bila manusia ingin melakukan kebaikan,mereka dilabel hipokrit.
Bila tidak rasa malu, mereka akan dipuji berani melakukan sesuatu yang mengaibkan.
Bila melakukan kejahatan,dikatakan hebat kerana jujur kepada hawa nafsu sendiri.
Lalu,siapakah yang sebenarnya hipokrit?
Seorang yang telah menidakkan fitrah semulajadinya atau seorang yang menurut kata hati yang bertentang dengan fitrahnya?
Bila fitrah dinafikan,bukankah itu kezaliman pada diri?
Ya Allah,lindungilah aku dari menzalimi diriku sendiri!
Sesungguhnya aku selalu menzalimi diriku sendiri.
Berikan kekuatan untuk kembali kepada fitrahku.
Saturday, February 20, 2010
Tetap Terus Tulis
Tiba-tiba saya rasa malu kerana telah lama tidak kemaskini blog ini. Blog yang pada asalnya saya tulis kerana ingin melatih diri sendiri menulis Bahasa Melayu Tinggi dan juga sebagai wadah untuk ekspresi diri kini kian terpinggir.
Kesibukan bukanlah sebabnya. Saya juga tidak tahu kenapa hati terasa berat untuk menulis. Ada juga catatan yang hanya tinggal dalam simpanan draf dan tidak diterbitkan di sini.
Apabila saya membaca kenyataan asal tentang 'tidak tahu kenapa',saya cuba bertanya kembali kepada diri saya.
"Apakah benar?"
Sejujurnya saya ada jawapannya dan biarlah saya tidak menyatakannya di sini.
Ringkasnya,hanya berat hati untuk menulis di sini walau di wadah lain saya tetap menulis.
Saya tetap terus menulis...walau tidak di sini.
Terima kasih kepada yang setia membaca.
Friday, January 15, 2010
Pembuka Entri 2010
Apapun sebabnya,sebelum ketidakpuasan hati menguasai diri ,saya cepat-cepat panjatkan kesyukuran dan cuba berbaik sangka dan bersikap positif ke atas apa yang ditimpakan. Sifat negatif boleh melemahkan tenaga. Saya percaya perlunya menukar rasa ketidakpuasan hati segera untuk mendapatkan tenaga. Jika tidak, saya akan rasa penat untuk melakukan sesuatu di luar perancangan.
Permulaan tahun ini saya melihat jadual waktu mengajar saya dengan rasa berat hati. 20 jam pengajaran seminggu dengan 4 kod subjek berbeza dan 5 kelas berbeza. Tidak pernah saya rasakan kurang bersemangat untuk memulakan semester baru.
Di minda saya tertumpu kepada kerja penyelidikan Phd saya. Bukan sedikit yang bertanyakan kepada saya bila saya akan memulakan cuti belajar. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan setiap orang yang berjumpa saya akan bertanyakan soalan yang sama.
Sukar digambarkan apa yang dirasa.
Kadangkala saya hanya tersenyum kerana tidak mahu menerangkan secara rinci sebab mengapa saya masih tidak bercuti. Saya membiarkan mereka sendiri membayangkan bagaimana saya menghadapinya terutama sekali sekiranya yang bertanya adalah rakan sejawat yang sedang membuat pengajian Phd secara sepenuh masa yang sedang mendapat cuti belajar.
Di satu pihak saya rasa tergari dengan status sebagai pelajar Phd apabila saya ingin melibatkan diri dalam tugasan lain selain dari mengajar. Di keadaan yang lain untuk meneruskan kerja Phd ,saya rasa terasing dengan ketidakpedulian saya pada tugasan lain.
Adakalanya juga secara jujur terasa dengan membuat Phd secara sambilan dengan pembiayaan sendiri seakan seperti terhukum. Seolah ia adalah penyakit yang dicari sendiri maka tanggunglah sendiri. Tidak kurang pula yang bertanya kenapa saya tidak memohon biasiswa sedangkan saya masih di peringkat umur yang layak memohon biasiswa. Sepintas lalu ramai yang menganggap saya ingin lari bekerja ke tempat lain. Ah mudah nya mereka membuat kesimpulan. Biarlah sebabnya saya huraikan di lain waktu.
Saya bimbang dengan rasa berat hati tentang pengajaran saya. Alhamdulilah sebelum saya memulakan kelas saya dapat mengubah rasa itu kepada rasa teruja. Syukur saya tidak perlu berlakon yang saya sememangnya suka berada di hadapan mereka kerana memang saya suka. Memang saya suka mengajar,tidak dinafikan lagi dan apabila bertemu pelajar saya dapat rasakan saya memang dilahirkan untuk mengajar.
Namun, momentum untuk kerja penyelidikan saya kian menurun.
Satu perasaan yang saya tidak boleh biarkan berlarutan. Orang sekeliling hanya boleh memandang dan bersimpati.
Namun saya yakin Allah Maha Mengetahui kemampuan saya sebagai hambaNya. DenganNya jualah saya memohon kekuatan dan berhenti membandingkan keadaan diri saya dengan orang lain.
Saya memohon dipermudahkan segala urusan.
Saya sedar semuanya adalah ujian dariNya.
Saya bersyukur di atas nikmat dariNya.
Saya bersabar di atas ujianNya.
Saya yakin di atas ganjaranNya.
Insya Allah!
Peringatan untuk diri saya sendiri,nikmat Allah yang mana lagikah yang mahu saya dustakan dan tidak saya syukuri?
Thursday, December 31, 2009
Penutup Entri: Selamanya atau Tahun Ini?
Sebetulnya jadual November dan Disember 2009 begitu padat sekali, sejak dari entri terakhir pada 19 November 2009. Izinkan saya merenung kembali .
20 Nov- Hadir ke Bengkel Penyediaan Kertas Cadangan Penyelidikan FRGS di UiTM Malaysia, Shah Alam
20 Nov-Hadir ke Perhimpunan Penyair Nusantara ke-3 di Dewan Bahasa & Pustaka,KL
21 Nov- Hadir ke Perhimpunan Penyair Nusantara ke-3,pagi DBP,petang, Menara KL & malam,Rumah PENA. Hari bersejarah bagi saya membaca 2 buah puisi karya sendiri yang telah diterbitkan bertajuk ‘Biar Berbekas & Andai’ di khalayak ramai di Rumah PENA.
22 Nov-Pertemuan tamat dan bergerak ke UiTM Pulau Pinang.
23 Nov- Hadir Bengkel Penerbitan Professional,Pearson-UiTM di UiTM Permatang Pauh.
24-26 Nov- Bengkel Jom Tulis Artikel Akademik di UiTM Puncak Alam
27 -30 Nov- Hari Raya Aidil Adha & Hadir pengkebumian ibu saudara yang kembali ke rahmatullah di Batu Pahat.
4-5 Dis – Bengkel Penulisan Novel di UiTM Johor,Segamat.
5-10 Dis-Penilaian Tahap Kecekapan di UiTM Puncak Alam
12 Dis – Majlis Walimatul Urus sepupu di Batu Pahat
15 Dis- Bertemu penyelia utama Phd di UiTM Malaysia, Shah Alam
16-17 Dis- Hadir Bengkel ATLAS
21-23 Dis- Menyelesaikan tugasan pejabat ( tuntutan pelbagai dan lain-lain) di UiTM Segamat
24 Dis- Hadir Bengkel Introduction to MAC Snow Leopard
Saya masih ada cuti rehat 20 hari lagi!!!
Bercuti sejak 28 Dis sehingga 31 Dis walaupun sebenarnya saya tidak bercuti keluar dari UiTM kerana rumah saya di kampus dan masih ke pejabat untuk mengutip surat.
Pada 30 Dis turut hadir ke majlis perpisahan Pengarah Kampus,Prof Dr Muhd Kamil yang telah tamat tempohnya sebagai pengarah;pun begitu akan semakin dekat dengan saya sekeluarga apabila kami berpindah menjadi jirannya sedikit masa lagi.Apabila kunci rumah diterima.
Cuti masih ada 16 hari lagi. Apa yang saya benar-benar harapkan ialah cuti belajar saya diluluskan bermula semester ini dan tidak mengajar supaya saya dapat fokus kepada penyelidikan Phd dan tamat segera. Insya Allah!
Oh ya,jawapan kepada tajuk entri kali ini?
Thursday, November 19, 2009
Wednesday, September 09, 2009
Hati Tersentuh
Sering kali aku berkata, ketika orang memuji milikku,
bahwa sesungguhnya ini hanya titipan,
bahwa mobilku hanya titipan Nya,
bahwa rumahku hanya titipan Nya,
bahwa hartaku hanya titipan Nya,
bahwa putraku hanya titipan Nya,
tetapi, mengapa aku tak pernah bertanya, mengapa Dia menitipkan padaku?
Untuk apa Dia menitipkan ini pada ku?
Dan kalau bukan milikku, apa yang harus kulakukan untuk milik Nya ini?
Adakah aku memiliki hak atas sesuatu yang bukan milikku?
Mengapa hatiku justru terasa berat, ketika titipan itu diminta kembali oleh-Nya ?
Ketika diminta kembali, kusebut itu sebagai musibah
kusebut itu sebagai ujian, kusebut itu sebagai petaka,
kusebut dengan panggilan apa saja untuk melukiskan bahwa itu adalah derita.
Ketika aku berdoa, kuminta titipan yang cocok dengan hawa nafsuku,
aku ingin lebih banyak harta,
ingin lebih banyak mobil,
lebih banyak rumah,
lebih banyak popularitas,
dan kutolak sakit, kutolak kemiskinan,
Seolah semua “derita” adalah hukuman bagiku.
Seolah keadilan dan kasih Nya harus berjalan seperti matematika :
aku rajin beribadah, maka selayaknyalah derita menjauh dariku, dan
Nikmat dunia kerap menghampiriku.
Kuperlakukan Dia seolah mitra dagang, dan bukan Kekasih.
Kuminta Dia membalas “perlakuan baikku”, dan menolak keputusanNya yang tak sesuai keinginanku,
Gusti, padahal tiap hari kuucapkan, hidup dan matiku hanyalah untuk beribadah…
“ketika langit dan bumi bersatu, bencana dan keberuntungan sama saja”
(dalam mengenang WS Rendra Nov 7 1935 - Ogos 6, 2009)
Sunday, August 23, 2009
Demam Cacar Air, Novel & Lukisan
Hampir seminggu Afiqah mengalaminya. Kini gelembung-gelembung air ada yang sudah pecah dan kering. Ada juga yang masih belum pecah. Sudah tentu amat merengsakan. Beberapa malam saya membenarkannya tidur di kamar saya. Seluruh tubuh dan juga mukanya penuh dilitupi kesan cengkering. Saya menyuruhnya banyak berehat. Dia banyak berdiam diri. Menjawab hanya apabila ditanya. Tidak rancak berbual. Menahan kerengsaan dengan penuh kesabaran. Walau dia pernah diberikan suntikan imunisasi semasa kecil,nampaknya dia masih tidak dapat elak dari mengalaminya.
Para gurunya termasuk guru besarnya di sekolah amat mengambil berat keadaan Afiqah. Diperturunkan kepadanya pelbagai petua. Minum air kelapa muda. Jangan makan kicap,jangan makan telur. Di rumah tidak boleh goreng menggoreng.(Dah terbuat pula). Ada juga yang memesan letakkan losyen calamine setebal-tebalnya. Saya dapat maklumat pula elok jangan diletakkan sehingga sudah keluar semuanya. Jangan mandi. Cari daun semambu dan sebagainya.
Saya memberikannya sebuah novel untuk dibaca. Tawaran yang dapat menceriakan harinya. Cepat sahaja dia menamatkan novel karya Tere Liye setebal 388 halaman yang masih belum saya mulakan pembacaan. Sudah sekian lama dia tidak menguliti novel kerana sibuk membuat persediaan UPSR. Sejak akhir-akhir ini,(sebelum ini dia agak santai sahaja),saya nampak kesungguhannya membuat ulangkaji, membuat latihan dan menjawab soalan. Tanpa disuruh atau diarah, dia tekun menelaah. Saya memang tidak menghantarnya ke kelas tuisyen. Apa-apa yang tidak difahami saya menyuruhnya rujuk pada gurunya,atau apabila di rumah pada ayahnya atau saya sendiri dan akhir-akhir ini kakak sepupunya yang tinggal sekali. Moga kejayaan cemerlang miliknya jua.
Mohon doakan kesihatan Afiqah pulih segera supaya selesa menduduki peperiksaan UPSR 2 minggu lagi.
Saya memang cakna dengan apa yang dirasainya. Pernah saya alaminya ketika berumur 18 tahun.
“Mak,Shima dah pernah kena chicken pox?”panggilan telefon jarak jauh Sydney-Batu Pahat dibuat untuk mendapat kepastian segera sejarah kesihatan saya. Hati kecil memohon jawapan positif. Mak mengatakan saya pernah mengalaminya ketika kecil.
Anak keluarga angkat saya di Nowra,Kim ,sedang mengalami sakit demam cacar waktu itu. Saya dinasihatkan tidak pergi jika belum pernah mengalaminya. Namun jawapan Mak yang melegakan hati memungkinkan saya berangkat ke sana. Justeru program pertukaran singkat selama 2 minggu di rumah keluarga angkat di Nowra dapat diteruskan. Sepanjang 2 minggu,saya dibawa ke Snowy Mountain untuk melihat dan menyentuh salji buat pertama kali selain ke ladang haiwan dan menyentuh kangaroo. Saya teruja.
Suka menjadi duka. Saya tetap mengalaminya. Tiada petua seperti di sini tetapi saya dikuarantin di dalam bilik sendiri sahaja. Ubat demam diberikan bapa angkat , seorang doktor perubatan. Klinik di rumahnya di sebelah bilik tidur saya. Rasa terasing. Makan minum,pinggan mangkuk,pakaian untuk dicuci dan biik air tidak dibenarkan bercampur dengan ahli keluarga yang lain. Selera makan pun tiada kerana dalam tekak pun ada. Sayunya rasa sakit di perantauan. Dunia saya hanya di dalam bilik. Ketika kesemua ahli keluarga ke rumah desa di Razorback saya tinggal sendirian di rumah kota di Sydney.
Hati terubat dengan kunjungan mendiang Judith Falconer,guru lukisan kesayangan saya yang membawa ke rumah tugasan sekolah saya. Saat iu saya perlu melengkapkan ‘art major work’ saya, iaitu lukisan untuk dinilai dalam peperiksaan Australian High School Certificate. Kerengsaan saya dapat dilalaikan dengan tangan saya memegang berus sambil cat akrilik disapukan di kanvas untuk mewarnakan bahagian bunga-bunga liar Australia di lukisan itu. Sungguh menenangkan. Setiap kali memandang lukisan yang pernah dipamerkan di Westpac Bank, NSW,Australia yang kini beralih di dinding rumah saya , pelbagai kenangan menerjah.
Saturday, August 22, 2009
Doa Termakbul
Saya dapat pesanan ringkas berkenaan satu berita. Doa saya dimakbulkan. Berulangkali saya berdialog dengan Allah sebaik sampai ke Tanah Suci. Di Raudhah saya memohon. Begitu juga di Masjidil Haram. Ketika tawaf ,ketika saei,saya minta dibukakan hati Ibu untuk menyempurnakan suruhan Ilahi. Saya tidak pernah menyatakan secara langsung. Hanya melalui doa.
Kemudiannya saya mendapat tahu rupanya dialog hati saya ‘didengari’ Ibu. Disampaikan terus oleh Allah pada waktu yang sama juga.
Sewaktu saya sedang berdoa di hadapan Kaabah dan berulang alik saei,dia sibuk membeli belah koleksi tudung di Kuala Lumpur. Itu dua bulan lebih yang lalu.
Pada hari ini, 1 Ramadan dia mulai memakainya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Banyak perkara yang berlaku kepada Ibu yang membuatkan hatinya keras. Saya fahami atau saya cuba memberi justifikasi kepada setiap perlakuannya. Sejak terpisah,dipisahkan atau berpisah dari suaminya dia tidak berkahwin semula. Lebih 30 tahun lamanya. Sebetulnya tidak saya ketahui sehingga kini kata kerja apa yang sesuai digunakan; ter,di atau ber.
Kami sama-sama menumpang kasih orang. Tidak pernah dapat hidup bersama-sama. Jauh tidak, dekat pun tidak. Saya redha. Namun saya tahu doa seorang Ibu kepada anaknya atau seorang anak kepada Ibunya tidak akan putus bagai darahnya yang mengalir dalam badan saya. Apapun salah silapnya ,dia tetap ibu saya dan syurga terletak di tapak kakinya. Walau apapun orang berkata tentang keburukannya,cubit peha kanan, peha kiri terasa. Paling saya geruni andai Ibu tidak sempat melaksanakan kewajipannya sebelum pergi selamanya. Kau rahmatilah,berkatilah dan berikanlah petunjuk dan hidayah kepada Ibuku.
Syukur Ya Allah Yang Menguasai Sekalian Alam.
Kau dengari bisik hati hambaMu ini.
Al-Mursalaat:77
“Puan..malam ni ada perjumpaan ppp bersama pelajar di court badminton baiduri pada pukul 9 malam..Kehadiran puan sangat dialu-alukan.”
Setiap permulaan semester memang telah menjadi kelaziman akan ada perjumpaan di antara PPP dan penghuni kolej dan saya tidak terkecuali dari memberikan sepatah dua kata. Kebiasaannya pelajar diingatkan tentang peraturan tetapi sejujurnya saya kurang gemar mengingatkan mereka tentang peraturan. Pada saya peraturan telah ditampal di pintu setiap bilik,biarlah mereka baca sendiri dan fahami dan turuti.
Selepas solat Maghrib pada malam itu saya mohon pada Allah diberikan ilham untuk memilih isi apa yang hendak disampaikan kepada siswi Baiduri. Dengan niat sambil memegang Al-Quran saya membuka di halaman yang Allah telah gerakkan hati dan tangan saya untuk membukanya. Surah Al-Mursalaat(Surah ke-77) iaitu Makhluk-makhluk yang Dihantarkan Untuk Melaksanakan Tugasnya. Saya hayati maksudnya. Ya,inilah yang Allah ingin saya sampaikan.
Malam itu saya pun berbicara.
“Saya mohon maaf kerana pada semester lalu saya tidak dapat sama turutserta program kolej dan juga bertemu disebabkan kesihatan saya. Saya mengandung anak ketiga dan tidak dibenarkan banyak bergerak . Di satu ketika saya rasakan diri saya amat hampir pada kematian. Tetapi sebaliknya anak di dalam kandungan saya yang berusia 6 bulan yang pergi pada bulan Februari yang lalu. Di saat itu,saya sedar Allah Yang Maha Berkehendak dan tiada siapa yang dapat menghalangnya walau sesaat. Apakah malam ini kita telah bersedia sekiranya ajal kita tiba?”
Sunyi tiada jawapan.
“Hampir 12 semester saya di sini dan pada malam ini yang mungkin jadi malam terakhir saya bercakap,saya tidak akan sampaikan kata-kata biasa dari saya sahaja. Saya akan sampaikan kata-kata Allah,dari Al-Quran yang telah digerakkan olehNya untuk disampaikan .”
Lalu saya bacakan 50 maksud ayat Al-Mursalaat. Saya hanya berikan peringatan,tiada paksaan. Selebihnya kuasa Allah yang akan memberikan Hidayah dan Petunjuk.
Akhir ucapan saya minta mereka rujuk Al-Quran.
*********************************************************************************
Saya perhatikan ramai orang takut melanggar undang-undang manusia,peraturan universti dan juga undang-undang negara. Dalam hati kecil saya berbisik, sering tidak disuarakan, peraturan Maha Penciptalah yang patut difikirkan dan diikuti. Saya kira sekiranya ini dipatuhi, yang lain menjadi amat mudah.
Para pelajar merungut apabila ditegur tentang sahsiah rupadiri. Bertanya secara terperinci pakaian bagaimana yang boleh dan tidak boleh dipakai. Tidak puashati apabila ditegur para Pegawai Keselamatan. Siswi merungut perlu memakai pakaian berlengan panjang.Undang-undang UiTM ketat.
Berbaloikah kita memperjudikan muda hanya sekali atau ingin menurut fesyen terkini untuk menikmati persinggahan yang tidak abadi?
Seringkali saya mendengar,apabila hendak melaksanakan perintah Allah,menutup aurat contohnya, perlulah terbit dari hati yang ikhlas dan bukan kerana dipaksa atau ikut kawan dan sebagainya.
Amboi sombongnya hendak menurut perintah Allah.
Cuba bayangkan sekiranya pensyarah memberi tugasan atau bos memberi arahan bertugas. Bagaimana tindakan kita? Atau lebih besar lagi mendapat arahan dari Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong?
Adakah kita akan berkata “Belum terbuka hati lagi nak buat assignment atau belum sampai seru lagi nak ikut arahan?”
Logiknya tidak mengapalah tidak mengikut perintah manusia,bukan begitu? Sama tarafnya. Pembetulan, ada bezanya. Kajilah sendiri apa bezanya.
Perintah Allah dan ajaran Rasulullah,panduan dari Al-Quran dan Hadis,bagaimana?
Sempena bulan Ramadan ini saya dengan rasa rendah diri menyeru pertama sekali kepada diri saya sendiri untuk menghayati maksud al-Quran. Saya akui walau telah khatam Al-Quran berkali-kali, maksud keseluruhan setiap surah dan Al-Quran sendiri tidak saya kuasai isi kandungannya. Walau pernah tamat membaca terjemahanannya tetapi masih tidak mencukupi. Azam saya ialah untuk mengulang baca maksudnya,hayati dan amalkan. Ditambah satu lagi, disampaikan.
Saya berdoa sesiapa yang membaca entri ini,termasuklah saya sendiri diberikan petunjuk dan hidayah dari Allah dan mati kekal dalam iman.
Siapalah saya untuk bicara begini?
Khalifah Allah- tanggungjawab yang telah diberikan pada setiap manusia tanpa mengira siapa.
Friday, August 21, 2009
Tadarus Al-Quran & Kenangan
Saat perasmian berlangsung,hati terusik seketika,terimbau kenangan lama sewaktu mula-mula belajar mengaji,kalau tidak silap sewaktu berumur 5 atau 6 tahun. Arwah Tok Mok(al-Fatihah untuknya) atau nama sebenarnya Tengku Aisyah,iaitu mak saudara Mak yang tinggal bersama-sama kami yang pertama kali mengajar saya. Pada waktu itu,bukan cara Iqra’ atau Qiraati seperti sekarang. Mula-mula diajar disebut satu persatu huruf Aliff sehingga Ya, kemudian diajar mengeja mengikut tanda baris.
“Aliff di atas Aa,Ba di atas Ba..”
Bila selesai diajar mengeja, barulah beralih ke Muqaddam,iaitu surah dari juzuk 30. Sebelum memulakan bacaan,doa penerang hati menjadi kewajipan beserta maknanya. Dengan rotan di tangannya,saya akan duduk bersila,berbaju kurung dan bertudung ikat di depan sambil menghadap Al-Quran di atas rehal kayu sambil memegang lidi sebagai penunjuk.
“Cepat mengaji Shima. Nanti mak bising!”ujarnya separuh berbisik. Walau rotan di tangannya,tetapi orang yang akan menyinga sebenarnya adalah Mak bukannya dia. Kadangkala saya memberontak juga kerana saya disuruh mengaji sampai 3 hingga 4 kali sehari ,iaitu setiap selepas solat fardu kecuali solat Subuh.
Hasilnya saya khatam Al-Quran kali pertama di kala usia 7 tahun. Namun ia tidak berhenti di situ,saya perlu mengulang baca kali kedua. Rupanya disebabkan saya telah khatam Al-Quran, saya dibenarkan memulakan pengajian sekolah agama lebih awal dari pelajar lain,iaitu saya bermula pada umur 8 tahun berbanding pelajar lain pada 9tahun.
Pada usia saya 9 tahun,arwah Tok Mok pergi dan tak kembali lagi di usianya 84 tahun. Saya amat sedih tidak terkata ,pemergiannya meruntun jiwa. Saya hilang tempat mengadu dan bermanja . Saya menangis berhari-hari, berdiam diri memendam rasa.
Kemudian,guru mengaji saya berubah dan mengaji di rumah orang. Kak Yah namanya. Muridnya pun ramai. Saya khatam kali ketiga dengannya. Kenangan menarik mengaji di sini ,setiap muridnya bermain duit kutu. Saya tidak ingat berapa jumlahnya,tapi sen-sen sahaja. Bila terkumpul dan sampai giliran,kami dapat sebanyak RM30.
Bila umur saya mencecah 12 tahun,barulah dibuat satu majlis khatam Al Quran secara besar-besaran ,kebetulan kakak sepupu saya membuat majlis kesyukuran melanjutkan pelajarannya ke UK. Meriah juga majlisnya. Saya dipakaikan pakaian seperti pengantin. Sebenarnya baju tunang mak saudara saya yang sudah tentu terpanjang dan terbesar sedikit.
Gemuruh juga rasanya apabila duduk bersila di hadapan ramai orang dan terpaksa membaca Al-Quran melalui corong mikrofon. Di saat itu dan hingga kini rasa bersyukur amat di atas sifat garang Mak menyuruh saya mengaji.
Dan kini tiada rotan atau arahan, rasa syukur dan tanggungjawab menjadi desakan . Walau telah berkali-kali khatam al-Quran, tidak semestinya bacaan saya sempurna. Lalu tadarus al-Quran memang saya nantikan untuk memperbaiki tahap pembacaan.
Di kesempatan ini,
pohon rimbun dalam halaman
mohon ampun salam Ramadan
Thursday, August 20, 2009
Cobaan
Namun Afiqah tidak mahu bercuti. Cobaan baginya. Selasa pagi merupakan peperiksaan percubaan UPSR dan dia tidak mahu terlepas menghadapi peperiksaan itu. Dia dikuarantin dan menjawab semua peperiksaannya di perpustakaan sekolahnya.
Sedih hati saya melihat Afiqah namun tidak saya gambarkan rasa itu di hadapannya. Saya mahu dia tabah menghadapinya. Ternyata dia amat bersabar dengan cobaan ini. Sedikit rungutan pun tidak saya dengari. Saya hanya memberinya semangat dan bersolat hajat mohon pada Allah dipermudahkan baginya.
Seluruh bahagian badan dan muka telah dipenuhi gelembung-gelembung yang amat tidak selesa. Belas sungguh melihat keadaan tubuhnya apabila saya meratakan losyen calamine. Saya tidak dapat menemaninya sepanjang masa.
Selepas Isyak malam tadi,saya dijemput mengadili pertandingan marhaban antara kolej dan selepas itu berjumpa beberapa pelajar blok Baiduri yang mempunyai masalah bilik terkunci,masalah dengan rakan sebilik dan sebagainya.
Jam 12.30 pagi barulah kembali. Saya mengajak Afiqah tidur bersama-sama saya sekatil malam tadi. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan percubaannya. Saya iringi usahanya dengan doa seorang ibu kepada anaknya.
Berbeza Arif. Dia diberi cuti dan berehat di rumah sepanjang dua hari. Namun di malam hari waktu Maghrib dan Isyak dia masih aktif mahu berjemaah di masjid. Dia bosan berada di rumah sendirian sepanjang hari dan kelihatan sudah sembuh dari demamnya. Barangkali itulah penangan antibodi seorang yang menyusu badan sepenuhnya.
Mohon didoakanlah kesejahteraan dan kesihatan kami sekeluarga dan tabah hadapi segala cobaan.
Terima kasih dahuluan.
Monday, August 03, 2009
Baca Novel
31 orang pelajar kelas bahagian satu jurusan akaun saya telah membentangkan novel bahasa Inggeris pilihan mereka dan menyatakan mengapa novel tersebut dipilih. Ada diantaranya baru pertama kali membaca novel bahasa Inggeris. Pun begitu, pilihan judul yang pelbagai membuat saya turut berminat. Pelajar saya dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya membaca 15 minit sehari dan di setiap petang Isnin akan dikongsikan bersama sebahagian kisah dalam novel tersebut.
Harapan saya usaha yang sedikit ini dapat meningkatkan kemahiran pelajar saya untuk menguasai bahasa Inggeris. Walaupun aktiviti ini tiada dalam sukatan pelajaran, menurut kajian, pembacaan senggang(leisure reading) dapat meningkatkan penguasaan bahasa berbanding pengajaran secara langsung hukum tatabahasa (grammar).
Saya mengadunkan kedua-duanya sekali.
Thursday, July 23, 2009
Lentera Mustika

Lentera Mustika, sinonim dengan maksudnya, memberi pencerahan yang amat berharga dan begitu indah sekali. Elemen pantun yang segar jadi tarikan utama,sarat dengan ilmu dan budaya alam Melayu; menyerlahkan jati diri Ainur Mustika, berlatarkan dunia kesarjanaannya, bersulamkan isu hak cipta dan kisah cintanya, semuanya memberi kepuasan dan mempamerkan idealisme wanita moden berpendidikan tinggi Muslimah Melayu. Novel yang perlu dihayati sebagai salah satu cara memugar erti diri!
Nazhatulshima Nolan
Pensyarah Bahasa Inggeris,UiTM Johor
(Gambar dari blog Nisah)
Dapatkannya segera di sini.
Kini saya sedang mengulang baca sambil menyimpan hasrat novel saya pula terlahir segera.
Wednesday, July 22, 2009
Andaian
…ibarat api
Ia akan membakar andai angin ganas ditiup tanpa arah kebenaran
Kini, ku berdiam diri kerana…
Penjelasan tidak diperlukan.
Kekecewaan telah disampaikan.
Kepercayaan telah dipesongkan.
Ucapan ampun tidak memadai.
Adakah layak kuterima segala ini dek kesilapan orang lain?
Ya Allah, berilah kami semua hidayah dan petunjukMu untuk menyelesaikan perkara ini tanpa salah-menyalahi dan sakit menyakiti!
Assumption
Tuesday, July 21, 2009
Kes Kecemasan
Jam menunjukkan beberapa minit ke 12 malam, 2 malam yang lalu.
“Puan,saya ada kes kecemasan. Saya perlu balik malam ini juga,“ tutur seorang siswi dengan raut wajah berkerut cemas dan mata sayu sedih di hadapan pintu rumah saya.
“Sekarang? Kenapa?” soal saya.
“Ibu saya telefon dan saya perlu balik sekarang. Hal peribadi.”
“Kenapa? Boleh cerita pada saya?”
Dia tidak menjawab soalan saya tetapi menerangkan bahawa dia tidak akan memandu seorang diri tetapi ditemani kawan.
“Boleh telefon ibu sekarang?” saya mahu bercakap dengannya.
“Sekarang?” sedikit terkejut riak wajahnya.
“Tolong dialkan saya nak cakap sekejap.”
Siswi tersebut tergesa-gesa berlalu pergi dan menyatakan dia perlu mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam kereta.
Beberapa minit saya menunggu sambil pintu terbuka.
Saya tutup semula pintu dan siswi tersebut tidak kembali lagi dengan telefon bimbitnya.
Ah,mengapa ya?
Kes Dua
Beberapa semester lalu. Tengah malam.
“Puan,saya ada kes kecemasan dan perlu balik sekarang juga.”
“Sekarang juga? Esok pagi tak boleh? Balik mana? Dengan siapa?” bertubi-tubi soalan saya.
“Ayah saya minta saya balik segera. Ke KL. Ada 2 orang lagi kawan yang ikut.”
“Saya bimbang beri kebenaran keluar malam,semua perempuan pula.”
“Nanti abang sepupu saya akan pandu kereta.”
“Telefon ayah awak sekarang. Saya perlu bercakap dengannya.”
Siswi tersebut pantas mendail dan menerangkan kepada penerima yang saya ingin bicara dengannya.
“Siapa nama ayah awak?”
“Asdfgh bin jklmn”(Nama sebenar tidak saya ingat)
“Encik...,maaflah saya ingin dapatkan kepastian,betul Encik....benarkan ......balik ke KL sekarang?”
“Ya, betul. Memang saya yang suruh dia balik malam ini juga.”jawab ayah siswi.
“Bukan apa, saya risau kerana dah tengah malam ,akan memandu di Jalan Tangkak yang berselekoh pula,”saya menyuarakan rasa bimbang.
“Terima kasih telefon tetapi memang saya perlukan dia balik.”
Butiran siswi diambil dan borang kecemasan keluar malam diisi dan pelajar dibenarkan keluar dengan izin bapanya.
Loceng pintu berbunyi di tengah malam atau awal pagi adalah perkara biasa bagi Pegawai Pembangunan Pelajar.Kebiasaannya ada dua kemungkinan yang tidak sukar ditelah.
Pertama,kecemasan kerana sakit.
Demam.Sesak nafas. Sakit dada. Pengsan.Jatuh. Dan lain-lain.
Kedua,kecemasan kerana perlu keluar daripada kampus di malam hari.
Masalah keluarga. Peribadi.Kenduri. Kenduri kahwin. Ahli keluarga.Nenek kahwin(jangan ketawa,benar-benar berlaku). Ambil kawan di stesen keretapi. Pergi ke stesen keretapi. Tiada tiket siang. Ibubapa suruh balik. Temujanji dengan doktor gigi. Senarainya berterusan.
Dalam kedua-dua kes pula terbahagi lagi kepada kes tulin dan kes lakonan.
Setelah hampir 12 semester sebagai PPP,membezakan kes tulin dan lakonan semakin mudah.Beberapa soalan perangkap ,kes kecemasan boleh berubah bentuk.
Pun begitu, dalam kes kecemasan sakit,soalan dan pemeriksaan yang lebih teliti diperlukan untuk pastikan kes tulin atau lakonan. Soal yang boleh dikaitkan antara hidup dan mati. Tidak semudah soal siasat biasa. Dalam kes kecemasan sakit lakonan,hanya dapat dipastikan apabila telah sampai ke hospital dan diperiksa doktor.
Monday, July 20, 2009
Di Sisa Waktu
Hari ini sudah masuk minggu ketiga semester baru. Kelas yang agak padat,22 jam seminggu. Jam 8 pagi kelas bermula dan berakhir jam 6 petang. 5 kelas berbeza dan 4 kod matapelajaran berbeza menjadi tugasan hakiki.
Berselangkan perjumpaan PPP bersama-sama pelajar kolej, mesyuarat PPP bersama-sama JPK, mesyuarat PPP bersama TP HEP.
Di sebelah malam, melihat-lihat kerja sekolah anak-anak bila diperlukan atau sekadar memastikan segalanya beres sambil komunikasi kejadian seharian di sekolah.
Di saat semuanya lena diulit mimpi, jari saya rancak menari. Menulis dan membaca di sisa waktu.
Wednesday, July 08, 2009
Masjidil Haram-Usai Umrah Wajib
Selesai umrah wajib, Kak Adib, Adib dan Abang Khir ke hotel semula untuk mengambil emak yang masih dalam ihram dan akan ditolak dengan kerusi roda untuk melengkapkan umrahnya.
Jam hampir menunjukkan 2 pagi dan saya bercadang untuk terus tinggal di Masjidil Haram sehingga solat Subuh. Afiqah kelihatan keletihan dan mahu pulang ke hotel.
"Nantilah kita tunggu Ayah (Adib) dan Mak Long (Kak Adib) datang semula bawa atuk. Kakak boleh balik ikut mereka."
Sementara itu saya dan Afiqah duduk memandang Kaabah yang baru 2 jam dilihat buat pertama kalinya. Tidak lama kemudian kami menunggu di kawasan saei kerana ingin menghantar Afiqah pulang bersama-sama Adib. Setelah lama menanti,masih lagi tidak kelihatan. Lalu saya mengajak Afiqah ke kawasan solat wanita berdekatan untuk solat dan mengaji Al-Quran. Saya faham dia keletihan, namun saya katakan kepadanya, "Kakak,ibu tak nak buang masa jalan ke sana ke mari mencari ayah. Kalau kakak penat,baringlah di sebelah ibu. Ibu nak solat di sini sehingga waktu Subuh dan kemudian buat tawaf sunat barulah kita balik ke hotel semula."
Afiqah kelihatan keberatan untuk tinggal dan saya katakan,
"Kakak,bukan mudah untuk ibu nak kumpul duit untuk kita berempat kerjakan umrah,banyak jumlahnya. Wang terkumpul hasil kerja ibu kurang lebih 10 tahun serta gaji bulanan ibu dan bila sudah sampai di sini kakak memilih untuk berada di hotel daripada di Masjidil Haram,"luah saya agak kecewa, "tetapi kalau kakak nak pergi ke hotel semula sekejap lagi kita carilah Ayah atau Mak Long."
Tidak lama kemudian dia bertukar fikiran dan terus tinggal bersama-sama saya sehingga solat Subuh dan mengikut saya bertawaf sunat.
Kami berdua pulang semula ke hotel sekitar jam 5.30 am dan terus bersarapan sebelum kami masuk ke bilik merebahkan badan ke katil. Hampir 26 jam tidak melelapkan mata. Saya ke Masjidil Haram semula jam 11.30am untuk bersedia solat fardu Zohor pula. Kini bersama-sama Adib.
Sunday, July 05, 2009
Saat Terpandang Kaabah
Hanya senyuman kebahagiaan membalas kata sambil kesyukuran tidak terhingga tatkala imej hitam dan emas tersergam indah, segenap anggota badan menhantar isyarat penuh syukur seakan berbicara bahasa mereka,sebagai saksi, melihat rumah Allah ditatap buat pertama kalinya. Segala Puji bagiMu Allah.
Bait-bait doa dihayati ketika mata melihat Kaabah diikuti niat tawaf wajib di permulaan pusingan.
Maksud niat tawaf ,”Sahaja aku bertawaf 7 pusingan, Tawaf umrah,maka diterima dan dipermudahkanla Ya Allah,pekerjaan ini.”
Sebelum memulakan tawaf,menghadap Hajaraul Aswad dan beristilam,iaitu “Bismillahi Allahu Akbar”.
Hanya Zikrullah diulangi lantaran terasa sungguh kerdil untuk memohon sebarang hajat dimakbulkan di saat itu.
Terngiang-ngiang penjelasan Kak Adib,”Umrah yang wajib ialah pada perbuatannya dan bukan pada bacaannya. Bacaan doa adalah sunat. Yang penting,kita perlu jaga kedudukan badan,bahu kiri perlu setentang dengan Kaabah. Usah risaukan menghafal atau memegang buku doa yang panjang-panjang sehingga menyebabkan yang wajib tidak dapat dilakukan dengan sempurna.Sekiranya leka memgang buku doa,lalu terlanggar dan terhenti ,perlu berundur sebelum meneruskan langkah.”
Saya hanya memegang kertas kecil 7 keping semuat tapak tangan tertulis nombor dan zikir untuk setiap pusingan yang telah Kak Adib sediakan untuk setiap orang.
Selesai tawaf 7 pusingan,saya menunaikan solat sunat tawaf dua rakaat sebelum memulakan Saie.
Niat Saie ,”Ya Allah! Aku hendak bersaie di antara Safa dan Marwah 7 kali, saei umrah kerana Allah Taala.”
Lambaikan kedua tangan ke Kaabah dan bertakbir tiga kali dan langkah kanan memulakan perjalanan. Sekali lagi zikrullah mengiringi saie.
Ibadah umrah disempurnakan dengan bertahalul selesai saei ,iaitu dengan mengerat sedikit,sekurang-kurangnya 3 helaian rambut di sebalik kain telekung.
Lengkaplah rukun umrah dengan turutan berikut;1. Niat, 2. Tawaf 3.Saei 4. Tahalul dan 5. Tertib dan hanya 2 perkara yang diwajibkan ketika umrah, iaitu, 1.Berihram di miqat dan 2. Meninggalkan segala larangan dalam berihram.
Alhamdulilah ,umrah wajib pertama saya dapat dilaksanakan dan memohon keredaan Allah dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Seterusnya, apa yang saya lakukan? Bersambung dientri seterusnya.
Thursday, July 02, 2009
Makkah-Perjalanan Bermula
Solat sunat ihram,niat dan bergerak dari Bir Ali. Jemaah perempuan dinasihatkan berniat seperti ini;
“Sahaja aku mengerjakan umrah dan ihram aku dengannya dan sekiranya aku datang haid atau lain-lain sebab maka halallah aku dengannya.”
Apabila telah berniat,kita perlulah menjaga pantang larang dalam berihram.
Lafaz talbiah mula disebut,bermaksud:
“HambaMu telah datang menyambut panggilanMu,
Ya Tuhan,hambaMu datang menyambut panggilanMu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan
adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu”
6.45pm
Bas bergerak semula setelah berhenti berehat,entah di mana. Saya tidak turun dari bas. Saya hendak mengurangkan berbual kosong, sebenarnya takut...,tersilap cakap ke..,terlintas yang tak patut ke..,maklumlah sedang berihram. Memang anti sosial betul di saat ini. Saya perbanyakkan mengaji Quran atau menulis di jurnal sahaja.
8.00pm
Bas berhenti dan kami makan malam dan solat. Tempat perhentian ini juga tidak pasti di mana tetappi kelihatan seperti di tengah-tengah padang pasir. Tempat makan pun ada yang duduk bersila di bawah. Agak sukar bagi jemaah lelaki dengan pakaian ihram mereka. Nasib baik ada satu meja dan hanya 5 buah kerusi disediakan. Makan nasi lauk kambing satu hidangan berkongsi 2 orang sebab banyak sangat.
9.00pm
Menanti di dalam bas sambil merenung kembali perjalanan hari Jumaat yang mulia ini.
Syukur Ya Allah!...(Dialog hati)
10.30pm
Tiba di Hotel Al-Khaleej di Jalan Khalid al-Walid. Katanya 4 bintang berbanding hotel asal yang sepatutnya dalam jadual hotel lain,hanya 3 bintang. Tak kisahlah berapa bintang pun ,syukurlah ada tempat tinggal.
11.00pm
Setelah barang di letak di bilik,kami berjalan kaki ke Masjidil Haram,kira-kira 700 meter. Di kiri kanan terdapat bangunan yang sedang diruntuhkan dan keadaan sungguh berdebu. Bayang masjid masih belum kelihatan. Menyusuri jalanan dengan penuh debaran dan bacaan talbiah diulang-ulang sehingga kaki dijejak di hadapan pintu Raja Aziz,taklimat ringkas dan peringatan oleh mutawif diberi.
...akan bersambung Saat Terpandang Kaabah
Madinah-Hari Terakhir
Sejak jam 3 pagi saya berkunjung ke Masjid Nabawi untuk Qiamulail sehingga ke solat Subuh. Jemaah perempuan dinasihatkan membuat ziarah Wida’ awal iaitu pada jam 8 pagi kerana kami akan bergerak ke Makkah sejurus selepas solat Jumaat. Sebelum membuat ziarah wida’,kami mengambil peluang untuk menunaikan beberapa solat sunat dahulu. Niat untuk ke Raudhah lagi tidak dapat dilaksanakan pada pagi itu kerana pada hari Jumaat laluan ke sana untuk pihak perempuan ditutup seawal jam 8.30am. Namun saya bertekad dan bermohon agar kunjungan itu bukanlah yang terakhir kalinya.
Saya keluar dari Masjid Nabawi dengan langkah yang longlai sekali. Saya membiarkan bahang udara membakar pipi,peluh menitik ke lantai,tapak kaki diseret,mata merakam setiap sudut yang mampu saya rakam, sebagai saksi saya di sini. Selawat atas Rasulullah mengiringi gerak langkah ke hotel, kesayuan berbaur keazaman kembali lagi.
Sunday, June 28, 2009
Ziarah Madinah & Strategi ke Raudhah
Ringkasan ziarah Madinah
7.00am Masjid Quba'
7.45am Bukit Uhud
9.00am Selesai lawatan kebun tamar
9.15am Tuju ke masjid Qiblatain
10.00am Melalui masjid 7
12.00pm Zohor di Masjid Nabawi
Strategi ke Raudhah
Hari ini saya berabaya pemberian ibu. Serba hitam. Ternyata strategi berpakaian serba hitam tidak mendapat arahan keluar dari Raudhah dari pengawal yang bertugas berbanding bertelekung putih. Kali ini saya bersolat bergilir-gilir bersama-sama Afiqah,Kak Adib dan Min. Keadaan di Raudhah masih tetap sesak.
Kami sampai ke hotel semula agak lewat,iaitu 2.40pm lalu mengundang resah di hati emak. Makanan hanya tinggal saki baki. Kak Adib diuji dengan kehilangan beg duit dan Min pula kehilangan telefon bimbitnya. Kedua-dua mereka reda dengan kehilangan tersebut.
Langkah Masjid Nabawi
Kami tetap di Masjid Nabawi sehingga ke solat Zohor. Dalam perjalanan pulang ke hotel saya menemani emak melalui jalan pintas keluar kerana Kak Adib perlu mengetuai jemaah perempuan yang lain mengambil barang masing-masing di pintu masuk tadi.
Langkah kami terhenti beberapa kali di sebalik tiang-tiang kerana emak agak kelelahan. Saya memimpin emak sehingga emak bersedia untuk berjalan semula. Mukanya kemerahan. Saya bercadang untuk mengambil kerusi roda sementara emak menunggu sebentar di sebalik bayang salah satu tiang. Mereka perlukan kad pengenalan diri saya ditinggalkan untuk mendapatkan sebuah kerusi roda. Namun saya datang sehelai sepinggang,paspot tiada, kad pengenalan pun tiada,hanya tag nama.
Akhirnya,kami berjalan perlahan-lahan sahaja sehingga sampai ke hotel. Sesampai di hotel saya meminta Adib mencari kerusi roda untuk emak. Emak sebenarnya masih kuat berjalan cumanya nafasnya sahaja tercungap-cungap dan mukanya agak kemerahan dek bahangnya matahari. Selepas makan tengahari dan berehat seketika,pada jam 3.00 petang kami bergerak ke masjid semula.
Emak agak berat hati untuk disorong saya tetapi terpaksa mengalah setelah kerusi roda berada di depan matanya dan diarah duduk oleh anak menantunya. Kami di masjid sehingga Maghrib.
Madinah-Jejak Rasul
Ustaz Ahmad Akmal, mutawif kami memberikan sedikit taklimat sebelum kami bergerak menuju ke Madinah. Beliau menasihatkan kami berehat dan melelapkan mata kerana perjalanan memakan masa kira-kira 6 jam dari Jeddah ke Madinah. Sebelum meneruskan perjalanan kami berhenti seketika untuk makan malam yang telah disediakan seorang sebungkus dan bersolat Jamak Qasar Maghrib dan Isyak di masjid berhampiran.
Apabila bas mula bergerak,hati saya berdebar semula. Terasa kecut perut juga mengenangkan akan tiba ke Madinah tidak lama lagi. Tidak lama kemudian lampu bas pula ditutup dan di kiri kanan jalan pula gelap gelita kecuali sekali sekala saya dapat membaca papan tanda menunjukkan jarak dan nama tempat. Lantas saya berfikir eloklah saya melelapkan mata dan berniat untuk jaga sewaktu bas memasuki kawasan Madinah.
Walau tidur-tidur ayam,saya rasa cukup untuk melepaskan lelah perjalanan sejak 31hb Mei,iaitu dari UiTM Segamat-Batu Pahat-Johor Baru-Singapura-Colombo-Jeddah-Madinah,akhirnya!
3.30am,3 Jun 2009,waktu Madinah, saya terbaca papan tanda menunjukkan bas memasuki perkarangan Madinah. Bagai mimpi,hati...??? Airmata deras mengalir ke pipi.
Ustaz Ahmad Akmal mengumumkan kepada kami bahawa kita telah sampai di kawasan Madinah. Beliau memetik ayat 82,Surah At-Taubah yang bermaksud “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak,...” Beliau juga menasihatkan kami berbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw.
Bas berhenti di tepi hotel Mawaddah Safwah,kira-kira 50 meter ke pagar Masjid Nabawi. Subhanallah! Hati melonjak ingin ke sana segera. Barang dipunggah,kunci diberi,kami diarah bertemu selepas sarapan untuk ke Masjid Nabawi. Saya berdoa saya mendapat peluang itu.
Saya sekeluarga,Adib, Afiqah,Arif dan Mak ditempatkan di bilik 112 yang memuatkan 4 buah katil bujang sederet. Alhamdulilah selesa. Adib dan Arif bergegas mengambil wudhu’ untuk ke masjid Nabawi walaupun yang lain sedang berehat di bilik masing-masing. Dek keuzuran,saya masih belum dapat turut serta, namun doa saya termakbul. Selesai mandi wajib,saya berkesempatan solat Subuh di bilik hotel sahaja.
Kakak sulung Adib, yang bernama Adibah tetapi kami panggil Kak Adib,dilantik untuk menjadi mutawifah untuk membawa jemaah perempuan. Keluarga kami sahaja terdiri daripada 14 orang dan jumlah ahli rombongan kelolaan Tiram Travels,iaitu anak syarikat Johor Corp, kesemuanya adalah 40 orang.
Keluarga kami 14 orang termasuk Mak Adib, keluarga saya 4 orang,keluarga Kak Adib,4 orang;iaitu Abang Usop,anak mereka Wan dan Aliya,keluarga abang Khir 5 orang,termasuk mak mertuanya, Kak Tipah, Ira dan Intan.
Hidangan sarapan dijamah,kami bertemu semula jam 8.00pagi menuju ke Masjid Nabawi.
Jemaah perempuan bergerak di bawah pimpinan Kak Adib. Kami bergerak ke pintu 25,iaitu laluan yang dibenarkan untuk kaum Hawa. Langkah seiring selawat atas nabi. Raudhah dituju. Ramainya yang berpusu-pusu ke sana. Tiba-tiba saya diberitahu telah berada di kawasan Raudhah,ada yang bersolat ada yang membaca doa dan ada yang bertolak-tolakan untuk bersolat dan berada hampir di makam Rasulullah. Keadaan sungguh sesak di kawasan seluas 300 meter persegi itu. Agak kebingunganseketika namun saya teruskan solat kerana jika masih terpinga-pinga akan disuruh keluar. Sejurus selesai,saya diarah keluar. “Ibu,keluar,keluar,keluar!” Teriak pengawal wanita di situ.
Saya rasa solat dan doa yang dilakukan sebentar tadi tidak kusyuk dan tergesa-gesa lalu bercadang untuk masuk kali kedua. Saya masuk semula dan melencong ke arah kiri, menghampiri makam Rasulullah yang ramai dipenuhi wanita berpakaian serba hitam. Wanita bertelekung putih seperti saya seakan ‘terlarang’ ke sana oleh para pengawal di situ tetapi saya buat tidak peduli dan teruskan niat ke sebelah kiri. Teriakan mereka menyuruh keluar tidak saya hiraukan. Saya dapat ruangan betul-betul di saf hadapan penghadang. Di rakaat kedua,solat saya terhenti apabila seorang wanita berdiri betul-betul di hadapan saya dan bersolat. Keadaan memang sungguh sesak sekali dan saya memang diapit seluruh arah.
Saya berdoa untuk dipermudahkan mengerjakan solat di sini. Namun andai kesakitan yang dirasa dan andai ditakdirkan mati tersepit di sini,apalah lagi yang hendak diminta. Berbahagialah dapat mati di taman syurga Raudhah,kata lintasan hati. Saya berganjak ke sebelah kanan. Alhamdulilah ruang kali ini agak luas untuk saya bersolat dengan selesa dan penuh kusyuk, seperti hanya saya sahaja di sana,menyerah diri,mohon ampun dan mohon hajat dimakbulkan.
Saturday, June 27, 2009
Umrah-Catatan Hari Pertama
1.40pm,1 Jun 2009,Lapangan Terbang Antarabangsa Changi,Singapura
Semuanya sedang menunaikan solat. Saya sedang duduk menanti sendirian. Pintu D41 telah dibuka sekarang,1.45pm. Saya menanti dalam keadaan agak resah. Cuba merakam dengan kata-kata apa yang dilihat. Manusia berjalan ke pelbagai arah tujuan.
7.05pm,1 Jun 2009,dalam penerbangan ke Sri Lanka dalam Sri Lankan
Cuba mencoretkan apa yang berlaku semalam. Sampai di Lapangan Terbang Bandaranaike pada jam 5.15pm waktu Colombo. Menunggu lagi.
Saya cuba rekodkan segala yang berlaku seberapa banyak yang boleh. Dalam perjalanan yang lepas,seringkali saya membiarkan saat-saat berlalu tanpa dicatat. Saya sedar betapa bernilainya untuk menangkap dan merekod setiap saat kerana apabila ianya telah berlalu perasaan yang cuba dirakamkan tidak akan dapat digambarkan dan gambaran rasa pada saat itu akan hilang atau akan berubah apabila catatan dibuat berdasarkan memori sahaja.
3.25pm,2 Jun 2006,dalam pesawat UL218,waktu Colombo
Pesawat bersedia untuk berlepas ke Jeddah dan jarak ke destinasi adalah 4657km.
Penerbangan di Jeddah diiringi rasa debar yang perlahan. Sedikit gentar,menanti saat kaki menjejak kan kaki ke Tanah Haram. Terkenangkan dosa-dosa yang lalu. Gentar dengan ujian Allah yang bakal ditempuhi.
Berdialog hati dengan Allah...(tidak dipapar)
6.00pm,2 Jun 2009,dari jendela ini,aku terpegun melihat ciptaanMu Ya Allah.
Awan putih kelihatan begitu mempesonakan dan terilhamlah berikutnya...
Apabila awan berhimpun berlatarkan langit biru
Anganku tersusun melakar cara mendekatiMu
Gentarnya membilang dosa
Ampunku pohon taubat diterima
Mohon balasan tidak menyiksa
Wahai yang Maha Mengetahui,
aku jadi takut untuk memohon hajatku dimakbulkan
dek kelalaian dan kealpaanku
aku rasa seperti tidak layak meminta-minta
namun aku percaya dengan sifat Al-Rahman dan Ar-Rahimmu
sebagai hambaMu yang lemah
yang hanya berkuasa memohon kepada yang Maha Pencipta
aku mohon Ya Allah, segala niatku yang terbaik bagi diriku,Kau kabulkanlah
dan aku reda sekiranya niatku tidak Kau tunaikan
Kau Maha Mengetahui
dan aku reda tanpa rasa kecewa
Ya Allah,
berilah aku petunjuk dan hidayah,
naluri dan gerak rasa yang sentisa membuat sesuatu keranaMu
bukan kerana mengharap balasan berlipat ganda
Gerakkan hatiku...
Tiba di lapangan terbang jam 6.45pm waktu Jeddah
Berbaris dari jam 7.30pm sehingga 8.30pm dan naik ke dalam bas sekitar jam 9.00pm.
Saat menunggu dapat memperhatikan perangai manusia, terutama sekali tentang tahap kesabaran masing-masing. Perjalanan hari ini agak panjang. Menurut penerangan mutawif ,ada 6 jam perjalanan lagi. Sekarang kami semua berada di dalam bas menanti paspot dikembalikan semula.
...entri berikutnya bersambung kisah tiba di Madinah
Friday, June 26, 2009
Umrah,antara Rindu dan Tekad
Anak saya, Arif Nukman,10 tahun, juga mempunyai caranya tersendiri. Kelazimannya dia akan melukis setiap hari. Saya memang menggalakkannya kerana saya juga pernah begitu satu waktu dahulu. Sejak kembali dari Tanah Suci Mekah ,setiap hari saya perhatikan dia akan melakar gambar Kaabah lengkap dengan Hajarul Aswad,Pancuran Emas,Multazam dan Hijir Ismail. Lakaran di atas kertas putih dengan marker pen dakwat hitam. Lakaran di atas papan putih beserta penerangan dan di saat saya sedang menaip sekarang dia sedang sibuk mewarnakan pancuran emas untuk dicantumkan ke replika Kaabah yang telah dicat hitam ke atas sebuah kotak kecil.
Beberapa malam yang lalu sewaktu saya menidurkan mereka,kami membincangkan kerinduan suasana di Makkah dan Madinah lagi. Sengaja saya menduga dengan berkata kepada Afiqah dan Arif,”Tahun hadapan ibu dan ayah sahaja yang akan pergi. Kalau nak ikut juga kena kumpul duit sendiri. Tahun ini semua dapat pergi sebagai hadiah hari jadi dari ibu."
“Berapa kena bayar,Ibu?”
“Sekurang-kurangnya 6 ribu.”
Kedua-dua mereka mencongak ,mendarab dan membahagi jumlah yang perlu dikumpul sehari,sebulan dan seterusnya didarab dengan 18 bulan untuk mencukupkan jumlah tersebut pada hujung tahun hadapan.
Arif berkira-kira untuk menjual ais krim Malaysia yang pernah sekali sekala dibuatnya sendiri dan dibawa ke sekolah untuk dijaja pada rakan-rakannya. Ada perasa Milo dan ada juga perasa Ribena dan dijual 20 sen sebatang. Dia menghitung lagi jumlah yang perlu dijual untuk mendapat sekurang-kurangnya RM10 sehari untuk mendapat sekitar RM200 sebulan.
“Hari-hari jual ais krim? Ada ke orang nak beli?” saya menduga lagi.
“Apa kata jual lukisan,”cadang saya. Satu ketika permintaan terhadap koleksi lukisan kartunnya boleh tahan tinggi dan dia menjual hasil kerja tangannya sekitar 50 sen sehingga RM1.00 sehelai saiz A4. Lukisan tangan tersebut kemudiannya akan diwarnakan oleh para pembelinya,iaitu rakan sekolahnya.
Saya mengalih perhatian kepada Afiqah pula dan bertanyakan cara dia hendak mengumpul wang sebanyak itu. Kalau aset Arif merupakan koleksi lukisannya, ‘harta’ Afiqah pula adalah koleksi novelnya yang berjumlah melebihi 100 buah. Rakan sekolahnya sering ‘pinjam percuma’ dan ada juga ke tahap yang ‘memunya’. Banyak juga boleh dikumpul kalau dikenakan bayaran mengikut hari.
"Cuba fikirkan cara lain lagi untuk kumpulkan belanja ke sana.Buatlah perjanjian dengan adik beradik ayah( Adib ada 2 orang kakak dan 4 orang abang), setiap A dalam subjek diberi ganjaran dalam bentuk wang,tentukan jumlahnya. Tak boleh satu dua cara saja untuk dapatkan wang. Cuba fikir lagi!"
Kedua-duanya bertekad setiap bulan hasil keuntungan ‘perniagaan’ tersebut di simpan ke dalam akaun tabung haji masing-masing.
Tersenyum bahagia saya melihat mereka terdorong dan bersemangat mengumpul wang dan bertekad berkunjung ke Makkah dan Madinah lagi.
Friday, June 19, 2009
Perasaan Eksklusif Umrah Pertama
Kini saya mengerti sepenuhnya mengapa ramai yang berulangkali ingin menjadi tetamuNya. Saya amat bersyukur diberi perasaan sebegini. Perasaan sebegini yang Allah serapkan dalam jiwa. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kosa kata yang biasa biasa dan kata sifat yang tiada dalam mana-mana kamus manusia.
Gembira,seronok,best,hebat,syahdu ,indah semuanya tidak menepati gambaran rasa. Malah,kata kata tersebut terlalu biasa.
Saya mengalami perasaan eksklusif yang dikurnia Ilahi kepada hambaNya.
Sekembalinya saya ke Malaysia,saya jadi suka untuk tidur walau kadangkala sukar untuk tidur. Bukan kerana kepenatan atau akibat tidak cukup tidur,tetapi kerana dalam tidur saya dapat mimpi yang amat indah.
Malam ketiga kembali ke Malaysia, saya bermimpi bersolat di Raudhah,kemudian menjingkit jingkit cuba melihat mimbar Rasulullah dan makam Saidatina Aishah. Tulisan,warna dan hiasan terukir jelas di mata saya.
Malam semalam saya bermimpi lagi.
Saya memasuki suatu bilik yang mempunyai jendela kayu usang namun apabila menjengah ke luar tingkap saya terpandang menara dan kubah hijau di makam Rasulullah. Kemudian azan berkumandang di dalam mimpi.
Setiap solat saya kini terpandang pintu Multazam,pancuran emas dan Kaabah.
Bagaimana boleh rasa seakan rindu sebegini ?
Saya katakan ‘seakan rindu’ kerana saya pasti ia lebih dari rindu.
Kalau boleh ingin saya katakan kepada setiap orang yang saya jumpa pengalaman dan perasaan ini.
Apa yang boleh saya sarankan ialah pasanglah niat dan berdoa dan PERGILAH KE SANA untuk merasai perasaan ekslusif ini! Subhanallah Alhamdullah Allahuakbar!
Coretan jurnal perjalanan saya akan dikongsi andai tergerak hati memindahkannya ke sini.
Nota: Baru pulang ke UiTM Segamat 14 Jun dan kini di Shah Alam sejak 17 Jun, mengikuti kursus 3hari di UiTM Malaysia,Shah Alam yang berakhir 4.30pm dan bersambung program ‘teambuilding’ mulai 8.30 pm tadi dan berakhir pada Ahad,21 Jun ini.
Dari meja di Bilik A3508D,UiTM Puncak Alam mengharapkan tidur saya nanti diiring mimpi di sana lagi.
