Balai perlepasan lapangan terbang Subang itu bukanlah tempat yang asing dan pertama kali dikunjungi. Bertahun-tahun ia menjadi tempat melihat orang lain ke luar negara, iaitu melihat 2 orang sepupu yang melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Adakala menghantar pergi dan ada masanya saat menjemput mereka pulang. Hanya melihat dari jauh. Hadnya setakat ruangan yang dibenarkan. Hanya surat tulisan tangan saya yang mampu mengembara jauh ke negara lain setakat itu.
Bagaimanakah agaknya berada di dalam kapalterbang? Melihat awan daripada jarak dekat? Melihat bentuk mukabumi daripada langit? Oh membeli tiket kapalterbang bukanlah seperti membeli tiket bas atau keretapi! Hanya yang berkemampuan dapat peluang itu. Sama ada dari segi wang ringgit atau kebijaksanaan. Sama ada lahir dalam keluarga berada atau dikurniakan hadiah biasiswa untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM. Beruntunglah bagi mereka yang berkemampuan dari segi wang ringgit. Bagi yang tidak, perlu berusaha keras dan berlumba-lumba mendapatkan kecemerlangan akademik sebagai paspot tambahan ke luar negara. Sudah tentu rezeki dan ketentuan Tuhan juga.
Ketentuan buat saya agak berbeza. Peluang untuk hidup dan belajar di negara asing selama setahun bagai mimpi jadi nyata. Sebelum itu saya hanya ke luar negara setakat di seberang tambak Johor, iaitu Singapura sahaja, ketika menziarah saudara mara atau sekadar membeli belah cuci mata. Bukanlah suatu yang asing buat rakyat Johor menyeberang ke kota singa di hujung minggu. Dalam Malaysia sendiri begitu banyak negeri yang belum saya jejakkan kaki lagi. Usahkan ke Sabah dan Sarawak, dalam negeri Johor juga masih terhad kunjungan saya. Di luar kawasan,hanyalah ke Kuala Lumpur menziarahi saudara mara pada musim cuti sekolah.
Pun begitu, cita-cita mengembara ke negara lain adalah dalam senarai teratas dalam perkara yang saya mahu lakukan. Justeru itu, subjek geografi menjadi salah satu matapelajaran yang saya cintai. Setiap negara yang saya pelajari, mahu saya lawati dan alami sendiri. Seringkali saat melakar peta dan mewarnakannya, fikiran saya akan turut menggambarkan visualnya.
Hari ini dalam sejarah buat saya. 17 Januari 1990 - Lapangan terbang Subang - 12 orang pelajar yang telah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia sebulan sebelumnya telah terpilih sebagai duta kecil Malaysia dalam program pertukaran pelajar ke Australia selama setahun.
Permohonan itu melalui beberapa tapisan. Bermula dengan permohonan oleh kurang lebih 6000 pemohon pada tahun 1989 yang melalui pemilihan di peringkat sekolah seluruh negara, kemudian disenarai pendek untuk ditemuduga di peringkat negeri,diikuti dengan pemilihan di peringkat kebangsaan. 3 hari sebelum penerbangan, sesi orientasi berlangsung selama 3 hari,iaitu pada 12 Januari sehingga 14 Januari, di Kuala Lumpur,iaitu di pejabat Antarabudaya Malaysia di Jalan Lebuh Ampang. Sesi temuduga melalui beberapa peringkat berjaya dilepasi dan akhirnya terpilih mewakili Malaysia dan saya pula bertuah apabila mendapat tajaan sepenuhnya oleh Malaysian Australian Business Council.
Jam tangan dikerling, 8:30am. Penerbangan yang singkat. 45 minit sahaja. Ralit memerhatikan awan sehinggakan saya dikejutkan oleh pengumuman kapten tentang ketibaan di lapangan terbang Changi, Singapura. Kami tidak mewah waktu, perlu bergegas menuju ke balai berlepas pesawat British Airways pula. Detik itu, sedikit rasa kesal menerjah. Buah tangan yang saya bawa untuk keluarga angkat bersaiz besar dan menarik tumpuan ramai. Menarik tumpuan bukanlah masalah, tetapi saiznya yang besar agak melambatkan pergerakan saya. Namun ada sekelumit bangga saat tangan kanan saya memegang bahagian kayu rangka wau itu,berlatar kuning bercorak batik setinggi paras bahu itu ditempah khas untuk keluarga angkat saya.
Ia menemani saya sepanjang perjalanan ke Sydney.
Gerakan pantas kami berlima seterusnya menuju ke arah pesawat British Airways yang akan berlepas pada jam 10:25am. Sebaik melangkah ke dalam, saya dapat rasakan semua mata tertumpu ke arah kami yang mungkin kelihatan seperti model untuk pakaian beragam tradisi, seorang lelaki lengkap bersongkok dan berbaju Melayu, bersampin dan 4 orang anak gadis berbaju kurung dan ditambah pula dengan saya berskaf menutup kepala. Tidak pernah saya berada di suatu tempat dipenuhi ‘orang putih’seramai itu. Satu kapalterbang jumlahnya termasuk staf krewnya sekali! Hanya kami berlima daripada Malaysia.
Kejutan budaya pertama!
No comments:
Post a Comment