17 Januari
Foto di atas adalah daripada telefon bimbit saya sendiri,di dalam kapal terbang sementara menanti berlepas. Sekelumit rasa gementar yang dapat dikawal segera. Sedikit risau kerana itu adalah penerbangan pertama kali selepas saya menjalani pembedahan AVM. Sebelum pembedahan, saya dinasihatkan oleh doktor untuk tidak menaiki kapal terbang atau 'roller coaster'. Ada sejarah melibatkan kematian seorang yang ada AVM ketika menaiki 'roller-coaster'. Pun begitu, merujuk doktor pakar, saya sekarang sudah boleh melakukan aktiviti itu. Bahkan,"bungee jumping" pun saya sudah boleh melakukannya. Lalu, 17 Januari 2014 ibarat eksperimen pertama saya. Destinasi dekat sahaja,Subang ke Kota Bahru, mengikuti rombongan meminang anak saudara suami. Saat tiba dan menanti di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah,saya dapat lihat imbasan kenangan di situ. 24 tahun yang lalu! Ya,tarikh 17 Januari juga merupakan tarikh penerbangan pertama saya,ke luar negara. Petikan dari buku 'Kembara Tukar Budaya Australia'. Kepiluan terasa bagai geseran tayar pesawat. Bak hati turut sama digeser menanti saat diterbangkan ke awan. Seiring tayar pesawat bergeser beberapa saat sebelum berlepas dan akhirnya terbang di awan biru. Desingan berakhir. Selamat tinggal semua. Dari jendela pesawat, semua ditinggalkan semakin lama perlahan-lahan semakin mengecil. Sayu berbaur teruja. Penerbangan pertama seumur hidup!
No comments:
Post a Comment