1 Syawal tahun lalu di hadapan rumah yang menghimpun banyak kenangan pahit manis. Rumah yang tidak sabar kami huni walaupun elektrik masih belum lengkap dipasang waktu itu. Lilin dinyalakan menjelang malam.
Sejak tahun 1983,kami 3 beranak telah berpindah ke rumah murah 2 bilik ini,di Jalan Bruas,Taman Makmur setelah berpindah randah sejak saya kecil. Walaupun ruang terhad untuk bercucuk tanam tetapi masih ada pokok-pokok yang tersusun di hadapan rumah sebagai hiasan.
Di dalam foto tahun lalu ini,Abah memegang buku ‘Setelah Hujan Turun’ yang terkandung tulisan saya di Bab 1 bertajuk ‘Pesanan Terakhir Lukisan Luka’.
1 Syawal tahun lalu,Abah menyarung jubah pemberian saya. Senada pula dengan warna kulit buku.
1 Syawal tahun lalu,kami bersolat Aidil Fitri di surau Taman Makmur dan tidak ke masjid seperti tahun-tahun sebelumnya. Abah tidak larat ke masjid. Di surau berhampiran rumah sahaja kami bersolat. Tidak jauh. Boleh berjalan kaki sahaja kami ke surau. Abah pernah menjadi pengerusi untuk beberapa tahun di surau ini. Tahun lalu,kami solat di sana sahaja.
Seperti selalu,usai solat,duduk melutut mencium tangan dan melafazkan permohonan maaf.
1 Syawal tahun lalu,agak berbeza.
Usai bersalaman,Abah memeluk saya.
Erat dan sehingga terbit air mata.
Ada kata-kata yang tertahan seketika tetapi terluah jua.
1 Syawal tahun lalu,telah ditentukan Syawal terakhir buatnya.
Begitu juga Mak.
Semoga diampunkan dosa mereka berdua yang telah mendidik dan membesarkan saya.
Semoga mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
Bacaan surah Al-Fatihah buat mereka, Nolan bin Nani dan Ungku Hamidah Ungku Abdullah.
(30.1.1941-23.2.2020)
(4 bulan pemergian Abah)
9 bulan pemergian Mak.
(25.4.1950-4.9.2019)
*Banyak yang tersimpan di ingatan.
Beransur-ansur akan saya catat dan kongsikan.
No comments:
Post a Comment