Cuti
sekolah masih bersisa walaupun pertukaran jangka pendek saya di Nowra, lawatan
ke Canberra, Goulburn dan Snowy Mountains telah berakhir. Keluarga angkat di
Sydney, seperti selalu,berada di Razorback pada musim cuti.
Apakah
kebarangkalian bertemu sahabat sekolah rendah di kota Sydney? Langsung tidak
terlintas! Ya, pertembungan bagai mimpi, mendengar bahasa Melayu ditutur,
setelah 3 bulan tenggelam dan terendam dalam budaya berbeza,berberbahasa
Inggeris sepanjang masa. Satu kejutan yang indah,menerbitkan ria yang sukar
terlafaz.
Suhaili
Wahid,sahabat sekolah sekelas agama di sekolah agama Kg Kenangan Dato Onn dan
sedarjah juga di Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mariam, Batu Pahat, Johor
kini berada di hadapan mata,di tengah-tengah pengunjung Australian Museum pada
20 April 1990. Siapakah dapat menduga?
Pertembungan
pertama itu berlarutan melalui corong telefon di antara Malaysia Hall dan
Illawong sekali sekala. Akhirnya membawa kepada jemputan ibu angkat saya ke
rumah desa kami di Razorback pada 9 Julai. Kehidupan seorang pelajar yang sibuk
dengan persediaan matrikulasi Australia seperti Suhaili semestinya berbeza
dengan pelajar High School Certificate yang tinggal bersama keluarga angkat
seperti saya. Tumpuannya pastilah kepada akademik sedangkan saya pula perlu
seimbangkan dengan pengalaman pertukaran budaya dengan keluarga angkat dan
masyarakat setempat selain tidak meninggalkan pengalaman akademik di sekolah.
Ditemani seorang
rakan lagi, Puteri namanya,saya mengiringi mereka untuk menghirup suasana desa,
menonton acara lembu dilelong,berbicara dengan kuda-kuda belaan,kambing dan
lembu, bersiar-siar di kawasan kejiranan, dikejar seekor anjing, berjalan ke
jeram di belakang rumah dan menikmati hidangan pai daging lazat buatan ibu
angkat,hangat dari ketuhar. Bertambah enak,semuanya dihidangkan dan dimakan di
hadapan pendiang untuk memanaskan badan yang dingin. Sebagai kudapan, hidangan
manisan coklat brownies,juga buatan ibu angkat saya sendiri.
Di dalam
keenakan, menyusup suatu rasa lain. Saya rasa bisa seluruh badan dan suhu badan
mulai meningkat! Oh tidak! Saya kena cengkering. Lagi? Walaupun setelah
menganggap saya tidak akan mengalaminya kerana menurut emak, saya telah
mengalaminya semasa kecil, saya tetap terkena juga. Rasa lemah merayap ke
seluruh anggota. Sering dengan rasa bersalah. Suhaili dan Puteri dihantar ke
stesen Campbelltown setelah 3 malam bersama-sama apabila keadaan saya semakin
teruk.
Hujung
minggu yang seringkali padat buat saya sejak 6 bulan kini jadi lesu. Saya
kembali ke rumah kota di Illawong dan tinggal sendirian di rumah.
Begitulah,saat
suka suka saya yang bertukar duka dan longlai.
No comments:
Post a Comment