Di
hari ulangtahun yang ke 18, saya berada jauh di seberang lautan daripada
keluarga dan sahabat handai. Kebiasaannya, apabila di Batu Pahat pun,saya tidak
pernah menyambutnya dengan majlis khas seperti menjemput sahabat handai atau
acara keraian. Selalunya,saya sendiri akan membuat kek coklat yang berlapis
'icing' dan coklat urai resepi keluarga yang telah saya buat sejak berada di
sekolah rendah lagi. Masih lagi saya ingat pada masa kecil dahulu belum ada
alat elektrik yang memudahkan dan mempercepatkan proses memukul mentega dan
telur. Lalu,mentega dipukul dengan garfu dan putih telur yang diasingkan
daripada kuning telur juga akan dienjutkan dengan alat yang dapat
mengembangkannya dan dicampurkan gula halus secara beransur. Sambil itu, proses
membuat coklat icing juga diteruskan dan bersedia untuk disapu dan dihias ke
atas kek yang telah siap dimasak itu. Kek resepi keluarga ini akan saya bawa ke
sekolah untuk dikongsi bersama-sama rakan-rakan.
Selain kek coklat ini, saya juga akan membawa roti celup telur berinti sardin yang arwah Atok Mok saya panggil 'bantal peluk Saloma'. Oh usah tanya saya bagaimana mereka dapat nama itu kerana saya tidak tahu!
Berbalik kepada kisah saya di Sydney pada 12 Februari,pada sebelah malam 'Art Excursion', saya dikunjungi bapa saudara saya, Uncle Pes yang ada urusan di Sydney. Beliau membawakan hadiah dan kad ucapan dari sahabat daripada Batu Pahat. Saya rasa terharu sekali dan kenang sehingga kini. Seperti yang tertera dalam foto di atas,(akan disertakan kemudian) saya mendapat kad ucapan daripada Lala, Mak, Nita,Lin, Zaeinah, Zaeidah, June, Ira, Ida dan Faridah.
Terima kasih untuk ingatan dan menggembirakan saya pada 13 Februari 1990!
No comments:
Post a Comment